Pages

Thursday, April 24

Audit ISO dan Malam Cinta Rasul

19 April 2014, teman mewakili Tuan PPD ke Majlis Perasmian Penutup Mesyuarat Agung PIBG dan Anugerah Kecemerlangan SMA Al-Maidah Addiniah, Padang Tengku. YDP PIBG sekolah ini ialah YB Dato' Mustafa Long, ADUN Padang Tengku. Majlis disempurnakan oleh YH Dato' Mohd Hairi, Setiausaha Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang. Di sekolah ini terdapat 5 orang guru yang dibekalkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Pahang). Baru-baru ini, seorang daripada 5 orang guru tersebut telah bertukar. YB Dato' Mus, ada mengutuskan surat kepada PPD untuk mendapatkan ganti guru tersebut. Teman telah merujuk dengan Unit Menengah JP Pahang untuk mendapat kepastian tentang penggantian semula guru tersebut. Bos teman memaklumkan bahawa tanggungjawab untuk menggantikan guru tersebut adalah di bawah Sektor Pendidikan Islam (SPI). Oleh itu, teman telah menghubungi SPI dan memaklumkan tentang perkara itu. Insyaallah...perkara ini akan diambil tindakan oleh pihak SPI.

Pada malamnya, sekali lagi teman mewakili Tuan PPD ke Majlis Cinta Rasul, Belia Lipis Berselawat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lipis. 

Emm...sesekali join orang muda dalam program dakwah sebegini bagus juga. Dalam kesibukan bekerja, kadang-kadang kita lalai dalam mengingati DIA yang satu. Sesekali haluan perlu diperiksa, andai ada tanda-tanda akan terpesong, perlu dikembalikan kepada laluan asalnya.

Pada 22 April 2014, PPD Lipis didatangi oleh 3 orang auditor dari negeri Selangor untuk audit dalam Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001 : 2008. Mereka akan berada selama 3 hari di PPD Lipis.

Hai, masing-masing nampak tegang je nie! Berdebar juga ya, walaupun dah lulus dalam praaudit dahulu. Takut-takut ada yang terlepas pandang.

Tension gayanya muka teman ni. Emm...manalah tak tension, auditor ni asyik cross check je. Ada yang terkantoi ni kang. Apa-apa pun, teman nak ucapkan berbanyak terima kasih kepada Cik Norhaidayu (PT yang menguruskan PK01 dan PK02 sekolah menengah). Nampaknya beliau telah bertindak cemerlang membantu teman dalam menguruskan situasi kritikal ini.

Tuan PPD menerima laporan auditan ISO oleh Ketua Juruaudit, Encik Mohd Zakir. Alhamdulillah, tiada NCR (non-conformance reportdikenakan kepada PPD Lipis. Cuma, terpaksalah menerima dengan hati terbuka 2 OFI (opportunities for improvement). Apa-apa pun tahniah kepada semua pemegang PK.

Bergambar sebelum ketiga-tiga juruaudit berlepas pulang ke Selangor. Selamat jalan dan terima kasih.

Saturday, April 12

Bersyukur saat diuji

" Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".
[At-Taghabun, 11]

Pada 8 April 2014, bertempat di PPD Lipis telah berlangsung Mesyuarat ABM Perjawatan 2015. Mesyuarat dipengerusikan oleh En. Helan Wahyudde bin Ali, Penolong Pengarah (Pengurusan Guru), Jabatan Pendidikan Pahang.

Semua GPK Pentadbiran dan Guru Data sekolah menengah dijemput hadir bagi menyiapkan anggaran perjawatan tahun 2015 bagi sekolah masing-masing. Mesyuarat ini turut disertai oleh 3 buah sekolah menengah daerah Cameron Highlands.

Pada hari Rabu, PPD Lipis dikunjungi oleh juruaudit ISO dari PPD Cameron Highlands. Mereka terdiri daripada En. Zakaria (KU Pengurusan Akademik), En. Adha (KU Pengurusan Sekolah) dan En. Badrul (KU Pembangunan Kemanusiaan). Mereka akan membuat praaudit sebelum pengauditan sebenar oleh JPN Selangor pada 21 April nanti.

En. Zakaria Samah, Penolong PPD Rendah sedang diaudit oleh En.Adha bagi PK01 (Penempatan Guru) dan PK02 (Pertukaran Guru). Semoga PPD Lipis mampu melepasi pengauditan ini dengan cemerlang. Harap-harap tak adalah yang kena NCR (Non-Conformance Report) atau OFI (Opportunities For Improvement).

Selesai praaudit pada hari khamis tu, teman terus bergerak ke Kuantan untuk menghadiri Mesyuarat Verifikasi ABM Perjawatan 2015 yang diadakan di PPD Kuantan. Tujuan mesyuarat ini ialah untuk meneliti semula permohonan perjawatan yang dibuat oleh sekolah-sekolah daerah masing-masing agar betul dengan keperluan tahun 2015.

Bertemu dengan sahabat-sahabat PPPDM dari 11 daerah di negeri Pahang ini, dapatlah diambil kesempatan untuk berbincang isu-isu semasa berkaitan pengurusan sekolah.

Pada 8 hingga 10 April yang lalu telah berlangsung program Outreach Pendidikan Khas di SK Senderut. Teman tidak terlibat dalam program ini. Namun, teman rasa bangga melihat sahabat-sahabat dalam organisasi bersusah payah hingga sanggup bermalam jauh di pedalaman sana. Tahniah kepada Hajah Rashidah binti Md Arif, Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang kerana sudi hadir dalam program tersebut.

Semoga program yang dilaksanakan ini, mampu menjadi pendorong kepada guru-guru serta murid-murid SK Senderut ke arah mempertingkatkan pencapaian sekolah. Program-program seumpama ini menjadi bukti bahawa pendidikan anak-anak pribumi di daerah Lipis turut diberi keutamaan. Hari ini, terpulanglah kepada masyarakat orang asli sendiri untuk mengubah nasib mereka. Mereka tidak boleh selamanya bergantung harap kepada bantuan kerajaan semata-mata, sebaliknya usaha bersungguh-sungguh daripada diri mereka sendiri amat diperlukan.

Di kesempatan ini, teman ingin mengucapkan selamat bersara kepada Puan Zaini binti Taibi, Guru Besar SK Batu 9. Beliau telah bersara mulai 1 April yang lalu. Maaf kerana tidak dapat bersama di hari akhir puan di SK Batu 9. Semoga Allah memanjangkan usia dan memberi kesihatan yang baik kepada puan.

Saturday, April 5

Learning is fun di SK Betau

Semalam (April 5) bertempat di SK Betau telah berlangsung majlis penutup program 'Learning is Fun' anjuran bersama OUM, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) dan Jabatan Pendidikan Pahang. Program ini melibatkan 100 orang pelajar orang asli dari empat buah sekolah iaitu SK Betau sendiri, SK Lenjang, SK Kuala Koyan dan SK (LKTP) Sungai Koyan. 100 orang pelajar ini ditemani oleh seorang ahli keluarga masing-masing. Program ini bermula pada petang hari Jumaat lagi. Seramai 25 orang kaunselor sekolah-sekolah daerah Lipis telah dilantik sebagai fasilitator program ini.

Program 'Learning is Fun' ini merangkumi 5 aktiviti iaitu aktiviti Literasi, Numerasi, Lagu & Cerita, Treasure Hunt dan aktiviti Sains. Matlamatnya ialah untuk memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar dan ibu bapa bahawa sekolah itu penting. Aktiviti ini juga relevan kepada kehidupan harian mereka.

Tetamu istimewa bagi majlis penutup program ini ialah YH Dato' Mazlan bin Mohamad, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. Pengarah Pendidikan Pahang diwakili oleh Tuan Haji Jailani bin Haji Ludin, Ketua Sektor Pengurusan Akademik. Turut hadir En. Nor Ahmad bin Abd Rahim, Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan Sekolah. Emm, segak masing-masing memakai Mulang. Hai...GB Betau, mana selendangnya?

YH Dato' Mazlan dan Haji Misnan (PPD Lipis) mencuba bakat mengetuk buluh centung. Tak apa Dato', tak betul rhythm pun tak apa, asalkan berbunyi.

Selain wakil OUM, BPSH dan JPN, semua Guru Besar DUN Jelai juga dijemput hadir dalam majlis penutupan ini.

Pelajar dan ibu bapa orang asli yang mengambil bahagian dalam program 'Learning is Fun' ini. Semoga program ini, mampu membuka mata ibu bapa orang asli akan kepentingan pendidikan kepada anak-anak mereka.

YH Dato' Mazlan Mohamad dan Prof. Dr. Widad Othman (wakil OUM) menyampaikan hadiah dan bergambar dengan pemenang-pemenang program ini.

YH Dato' Mazlan mengambil kesempatan bertemu dengan guru-guru baharu yang ditempatkan di SK Betau. Mereka merupakan guru baharu yang ditempatkan pada 1 April 2014 yang lalu. Banyak amanat yang Dato' sampaikan kepada mereka. Insyaallah...mereka ini akan menjadi pendidik yang berwawasan dan punya daya kreatif yang tinggi. Semoga di tangan mereka, anak-anak orang asli ini akan mengecap kejayaan seperti warganegara Malaysia yang lain juga.

Tuesday, April 1

Aturlah langkahmu wahai pendidik muda...

Mac 27, teman menghadiri mesyuarat penempatan guru baharu di Hotel Plaza Kuala Lumpur. Dua hari sebelum itu, En. Zakaria Samah, Penolong PPD Rendah menghadiri mesyuarat yang sama di Crystal Crown Kepong. Misi kami ialah untuk mendapatkan tambahan guru bagi mengisi kekosongan perjawatan di daerah Lipis.

Alhamdulillah, semalam (April 1) bertempat di Komplek Dagangan Mahkota Kuantan mereka melapor diri serta mendengar taklimat guru baharu yang disampaikan oleh pegawai-pegawai dari Unit Menengah dan Rendah, Jabatan Pendidikan Pahang.

Teman harap dengan tambahan 5 orang guru di sekolah menengah dan 46 orang di sekolah rendah, kita mampu memacu kecemerlangan pendidikan daerah Lipis ke tahap yang membanggakan.

Tuan Haji Wan Abdul Hamid bin Wan Mohamad, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Pahang sedang menyampaikan surat penempatan kepada guru-guru baharu yang berjaya ditempatkan di negeri Pahang.

Pagi ini (April 2), seramai 13 orang guru baharu yang ditempatkan di tiga buah sekolah pedalaman Orang Asli iaitu SK Senderut, SK Titom dan SK Lenjang berkumpul di PPD Lipis. Mereka akan dihantar ke sekolah-sekolah berkenaan dengan menggunakan 3 buah kenderaan pacuan empat roda.

Yang lelaki dalam gambar di atas macam happy je. Yang perempuan entah le, macam nak menangis pun ada. Apa-apa pun bertenanglah wahai pendidik muda. Segala dugaan dan cabaran yang bakal ditempuhi nanti, laluilah dengan penuh kesabaran dan keredaan. Yakinlah...sesungguhnya Allah SWT telah mentakdirkan rezeki anda di situ.

Sampai di sekolah nanti, pandanglah wajah bakal anak-anak murid anda itu. Renung ke dalam anak mata hitam mereka. Betapa mereka jauh ketinggalan dari segi kemajuan berbanding kita. Barangkali mereka tidak sebangsa dan seagama kita, namun hak mereka untuk mendapat didikan kelas pertama tidak harus dipersiakan.

Wahai pendidik muda, nasib pribumi ini semakin jelas berada di tangan kitaKerahlah seluruh khudrat anda semua, bergerak sederap bagi memaknakan kehadiran. Tugas memanusiakan manusia ini, bukanlah tugas mudah. Bulatkan tekad dan teguhkan azammu, sesungguhnya...kalianlah pemangkin perubahan.