Pages

Tuesday, January 28

Hamdan Harun di SMK Seri Lipis : Bagai sirih pulang ke gagang

Selamat kembali ke daerah Lipis Tuan Haji Hamdan bin Harun, Pengetua SMK Seri Lipis. Kepulangan tuan 'bagaikan sirih pulang ke gagang'. Dahulu ketika sekolah ini mula dibuka, tuanlah antara tenaga pengajar terawal yang bertugas di sekolah ini. Hari ini, tuan kembali semula ke sekolah ini untuk meneruskan kelangsungan harapan dan cita-cita yang tuan sematkan bersama rakan-rakan dahulu. Semoga pengalaman bertugas sebagai Timbalan PPD Lipis dan Pengetua di SMK Kuala Tembeling menjadi sokongan kuat kepada tuan untuk mengemudi sekolah ini agar sampai ke destinasi yang dituju.

Hari ini, teman mengiringi En. Nor Ahmad Abdul Rahim, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah dan En. Amran Kamal, Penolong Pengarah (Vokasional) melawat Sekolah Model Khas K9 SK Betau.

Tujuan lawatan ini ialah untuk melihat perjalanan kelas Pendidikan Asas Vokasional (PAV) di K9 Betau ini. Teman berharap dengan lawatan ini, permasalahan yang dihadapi di K9 ini dapat dibawa ke tengah oleh kedua-dua pegawai Jabatan Pelajaran Pahang ini.


Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Friday, January 17

Timbalan PPD Cameroon Highlands

Tahniah kepada Encik Hassan Basri bin Shamsuddin, Penolong PPD Pengurusan Akademik (Sains & Matematik) yang telah dilantik sebagai Timbalan PPD Cameroon Highlands. Semoga pelantikan ini memberi semangat baru kepada anda untuk terus menumpah bakti bagi meningkatkan mutu pendidikan negara terutama di daerah Cameroon Highlands. Pengalaman dan pengetahuan yang ditimba sepanjang memegang jawatan GPK Pentadbiran di SMK Benta dan Penolong PPD di Pejabat Pendidikan Daerah Lipis tentunya menjadi bekalan ampuh untuk anda memperanankan jawatan baru ini. Kepada Encik Hassan Basri, never say goodbye. Semoga satu hari nanti, anda akan kembali memimpin kami di daerah Lipis.

Semalam teman menghadiri Mesyuarat Rayuan Pertukaran Guru di SMK Temerloh. Rasanya inilah mesyuarat sehari yang paling panjang pernah teman hadiri. Bermula jam 8.30 pagi berlarutan hingga jam 7.00 petang. Emm...banyak kes rayuan pertukaran guru yang terpaksa diselesaikan. Daerah Lipis kehilangan dua orang guru sahaja, termasuk seorang guru Bahasa Inggeris. Walau bagaimana pun, teman bersyukur sangat kerana 11 orang guru telah diluluskan ke daerah Lipis. Dengan kemasukan 11 orang guru ini, semua sekolah menengah di daerah Lipis mendapat guru yang cukup. Cuma keperluan opsyen sahaja yang tidak dapat dipenuhi. Kepada 11 orang guru tersebut, selamat datang ke daerah Lipis. Semoga anda semua menerima keputusan penempatan ini dengan penuh kesyukuran. Jika sekolah yang ditempatkan itu agak jauh sedikit, redhalah...tak perlu datang berjumpa teman untuk menukar sekolah. Ramai yang memohon ke daerah Lipis terutama guru-guru Kelantan yang ingin transit sebelum mendapat peluang untuk balik ke Kelantan. Sebahagiannya terpaksa ditempatkan ke daerah lain. Bagi pasangan suami isteri ada yang ditempatkan hingga ke daerah Rompin, Pekan dan Bera. Oleh itu, bagi yang berjaya memasuki daerah Lipis, ingatlah...anda adalah insan yang bertuah.


Pada hari Rabu lepas, teman bersama Tuan PPD dan Penyelia Kanan Sekolah Rendah dikehendaki hadir ke Putrajaya untuk taklimat National Blue Ocean Strategy (NBOS). Taklimat diadakan di Dewan Sebaguna Aras 9, Blok E12, Komplek E, Kementerian Pelajaran Malaysia. NBOS ini menumpukan kepada 4 bidang kajian iaitu Bebanan Tugas Guru, Ketidakpadanan Opsyen Guru, Saiz Kelas Yang Ideal dan Pertindahan Pengkalan Data. Hari ini, guru-guru mengadu kerana dibebani dengan tugas-tugas perkeranian, seperti pengisian data secara online, merekod pencapaian pelajar dan sebagainya. Untuk mengatasi masalah ini, pihak kementerian akan memperkenalkan Program Rintis pengambilan seramai 8,732 Pekerja Sambilan Harian (4,918 PT N17 dan 3,814 FT N17). Pekerja sambilan ini akan dibayar gaji harian sebanyak RM54.00. Tugas mereka nanti ialah membantu guru-guru menyelesaikan tugas-tugas perkeranian seperti pengisian data online, borang-borang maklumat pelajar dan sebagainya. Enam buah negeri terlibat dalam Program Rintis ini iaitu Kedah, Pahang, Melaka, Selangor, Sabah dan Sarawak. Semoga dengan adanya pekerja sambilan ini nanti, guru-guru dapatlah memberi sepenuh perhatian kepada mempertingkatkan mutu pengajaran masing-masing. Masa-masa 'terluang' yang sebelum ini terpaksa digunakan untuk tugas-tugas pengrekodan, dapatlah dimanfaatkan untuk mentelaah buku, membuat research melalui internet, diskusi kumpulan dan sebagainya bagi memantapkan strategi pengajaran masing-masing. 

Nota Kaki :
Awal persekolahan baru-baru ini, teman telah memantau sebuah sekolah. Ketika melewati sebuah kelas, teman tengok seorang guru sedang duduk di meja guru menongkat dagu, sambil memandang keluar tingkap. Jauh pandangannya...sehingga tidak sedar teman memasuki kelas tersebut. Beliau hanya tersedar apabila ketua kelas mengarahkan semua pelajar bangun. Oleh kerana teman tidak berhajat untuk memantau beliau, teman sekadar bertanya perihal subjek yang diajar dan tempoh perkhidmatan beliau di sekolah tersebut sahaja. Ketika meninggalkan kelas tersebut hati teman tertanya-tanya, dengan papan tulis yang 'bersih' dan pelajar yang kelihatan hanya menyenarai sesuatu di atas kertas...apakah yang sedang diajar oleh guru ini? 

Sunday, January 12

GAGAL merancang adalah merancang untuk GAGAL

Tahniah kepada En. Azhar bin Teh, GPK Pentadbiran SK Lubuk Kulit di atas pelantikan sebagai Guru Besar SK Chegar Perah. Bagi pihak PPD Lipis, teman sangat berharap agar anda menerima pelantikan ini dengan hati yang terbuka dan bersedia untuk mengharungi segala macam cubaan dan cabaran yang bakal dihadapi nanti. Teman percaya dengan pengetahuan dan pengalaman yang ada, anda mampu membawa sekolah ini ke tahap yang boleh dibanggakan. "Rome wasn't built in a day", masa diperlukan untuk mencipta kecemerlangan. Janganlah rasa tertekan dengan harapan yang disandarkan kepada anda. Sebaliknya, merancanglah dengan betul dan menangilah hati anak-anak buah agar mereka sanggup bertungkus lumus bersama anda dalam memacu kecemerlangan sekolah ini. 

Pada 7 Januari yang lalu, teman ke Kuantan untuk menghadiri Mesyuarat ABM Perjawatan. Mesyuarat diadakan di Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan. Oleh kerana keesokannya ada satu lagi mesyuarat yang perlu dihadiri, maka semua Penolong PPD Menengah terpaksalah bermalam di bandar Kuantan. Kesempatan ini kami gunakan untuk mengadakan jamuan ramah mesra di Sara Thai Kitchen (berhadapan dengan Hotel Grandcontinental). Turut hadir dalam jamuan ini ialah En. Nor Ahmad, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah.

Makanan kat restoran nie sedap-sedap belaka. Cuma teman tak dapat nak makan banyak. Perut dah sendat sangat. Maklumlah, petangnya dah pekena mee celup kat restoran sebelah hotel penginapan teman.

Keesokannya, telah berlangsung Mesyuarat Post Mortem Penempatan Sekolah Rancangan Khas (SRK). Mesyuarat telah dipengerusikan oleh En. Rosdi Ismail, Pengarah Pendidikan Pahang. Turut hadir ialah Tuan Haji Wan Hamid, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah dan Tuan Haji Ramzan, Ketua Sektor Pendidikan Islam. Mesyuarat yang berlangsung hampir 3 jam itu membincang isu-isu berkaitan penempatan murid Tingkatan 1 ke SRK. Sebelum itu, semua Penolong PPD Menengah dikehendaki melaporkan status penempatan SRK bagi setiap daerah.

Selepas mesyuarat tamat, teman terus bergegas ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Bengkel Perancangan Strategik PPD Lipis yang diadakan di Hotel Plaza. Perancangan adalah suatu perkara yang perlu jika ingin berjaya. GAGAL merancang adalah merancang untuk GAGAL. Ungkapan ini sering kita dengar terutama ketika menghadiri kursus atau taklimat motivasi. Atas sebab itulah, maka Tuan PPD Lipis mengambil inisiatif untuk menggerakkan semua unit bagi melahirkan sebuah Perancangan Strategik yang mantap dan boleh dilaksanakan.

Semua Ketua Unit dan pegawai-pegawai berkaitan dikehendaki hadir. Tuan PPD, Haji Misnan dan Timbalan PPD, En. Rosli Mubin juga turut hadir. Bengkel ini bertujuan untuk melengkapkan perancangan strategik yang telah dihasilkan oleh semua unit. Perancangan Strategik setiap unit dibentangkan kepada Tuan PPD dan Timbalan PPD untuk diberi komen dan dibuat pembetulan. Nasib temanlah, Unit Pengurusan Sekolah kena bentang dulu. Emm...banyak le perkara yang kena komennya. Insyaallah, teman dan anak-anak buah akan cuba betulkan semula kesalahan-kesalahan yang dikomen oleh Tuan PPD itu.

Dua hari berbengkel, kepala dah naik berasap dah. Masing-masing nampak tertekan untuk menghasilkan Perancangan Strategik yang memenuhi kehendak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) . Melihat situasi itu, Tuan PPD mencadangkan diadakan perlawanan bowling pada malam kedua itu. Maka bertempat di Ampang Superbowl Berjaya Times Square semua peserta bengkel mengambil peluang untuk menghilangkan tekanan masing-masing. Esok kita pening pula untuk menyiapkan Takwim PPD Lipis 2014.

Thursday, January 2

Sukarnya membuat keputusan


Sukarnya membuat keputusan...itulah yang teman rasakan saat ini. Berada di kedudukan ini, teman tidak dapat lari daripada membuat keputusan. Menguruskan 'manusia' bukanlah sesuatu yang mudah. Setiap orang ada keinginan yang ingin dicapai. Guru ingin bertukar ke sekolah yang lebih dekat dengan rumah, kalau boleh bunyi loceng sekolah dapat didengar sampai di rumah. Ibu bapa pula mahu menempatkan anak-anak di sekolah terbaik, walaupun berkali-kali teman terangkan bahawa penempatan akan dibuat berdasarkan kekosongan. Keinginan tetap keinginan. Selagi tidak dipenuhi, hati tidak akan merasa puas. Selaku guru dan juga seorang bapa, teman faham akan situasi ini. Namun, tidak semua keinginan dapat dipenuhi. Pilihan terpaksa dibuat, ada yang berjaya dan ada yang tidak berjaya. Rezeki adalah ketentuan Allah SWT. 


Sudah banyak kursus yang teman hadiri berkaitan langkah-langkah membuat keputusan. Di Institut Aminuddin Baki ketika mengikuti kursus National Professional Qualification for Headship (NPQH) ada course khas mengajar negotiation skills dan How To Make Decisions. Namun apa yang dipelajari dengan apa yang berlaku di alam nyata dua perkara berbeza. Belum tentu apa yang dipelajari itu dapat diguna pakai ketika menguruskan kehendak 'manusia' ini. Sesungguhnya pengalaman juga yang banyak membantu teman dalam menanggani situasi ini. Cuma apa yang teman harapkan ialah apa sahaja keputusan yang telah dan akan dibuat, janganlah sampai memutuskan persahabatan. Hidup ini semakin pendek, kita tidak punya masa untuk bermusuhan. Bersabar dan terimalah dengan hati yang terbuka. Teman telah cuba melakukan yang terbaik. Terpulanglah bagaimana anda semua menerima dan memahaminya.

SELAMAT TAHUN BARU 2014