Pages

Friday, January 25

Usaha kita...

"Sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak memberi manfaat kepada manusia lain" -Al Hadith

Petang tadi, saya bersama Tuan PPD menghadiri Mesyuarat Keciciran Murid-Murid Orang Asli di SK Limau Purut. Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah En. Mohd Fadhil bin Abdul Rafar, Pengetua SMK Kerambit dan En. Ahmad Azman bin Johari, Guru Besar SK Limau Purut. Mesyuarat yang diadakan pada jam 3.30 petang itu khusus membicarakan masalah keciciran murid-murid Orang Asli SK Limau Purut yang tidak meneruskan pengajian ke Tingkatan 1 di SMK Kerambit. Tahun ini sahaja seramai 8 orang murid Tahun 6 SK Limau Purut yang membuat pengesahan untuk bersekolah di SMK Kerambit tidak hadir untuk melapor diri. Ke mana mereka pergi? Menurut wakil Orang Asli yang hadir, 3 daripadanya telah ke Kuala Lumpur untuk bersekolah di sana, manakala 5 lagi tidak bersekolah dan hanya 'main-main' kat rumah. Emm...kalau dah sedap bermain tu, payah pula nak ajak ke sekolah ni.

Wakil Orang Asli yang hadir, En. Jalil bin Badrillah (Batin), En. Mahmud bin Nazri dan En. Salehudin bin Rahman. Antara isu yang diketengahkan oleh mereka ialah masalah pengangkutan. Murid-murid tidak dapat ke sekolah kerana tiada pengangkutan untuk ke SMK Kerambit yang jaraknya sekitar 14 km dari Limau Purut. Kemudahan pengangkutan yang disediakan oleh JAKOA setakat ini hanya dari kampung Temetong ke SK Limau Purut sahaja. Van yang disediakan itu pun sempit dan sudah agak uzur.

Tuan PPD berjanji akan cuba berbincang dengan Pengarah JAKOA Negeri Pahang untuk menyediakan van bagi membolehkan pelajar-pelajar ini bersekolah. Diharapkan dengan usaha-usaha yang bakal diambil ini, nasib pelajar-pelajar Orang Asli ini akan terpelihara.

Ini adalah kenderaan pacuan 4 roda yang membawa murid-murid Orang Asli ke SK Senderut. Mungkin kenderaan seperti ini jugalah yang diperlukan oleh pelajar-pelajar Orang Asli kampung Temetong untuk ke SMK Kerambit.

Kepada saudara Ahmad Azman Johari, Guru Besar baharu SK Limau Purut, semoga tuan dapat melangsungkan kerja baik yang telah dirintis oleh Puan Zaini Taibi terutamanya dalam menjalin hubungan akrab dengan masyarakat sekitar. Harapan kami, tuan dan guru-guru dapat memainkan peranan sebagai agen perubahan dengan menjadikan pendidikan sebagai medium ke arah menaiktaraf kehidupan dan pembangunan intelek masyarakat Orang Asli di sekitar Limau Purut.

Kepada Puan Zaini binti Taibi, kami di PPD Lipis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada puan kerana berjaya membawa perubahan kepada SK Limau Purut. Walaupun usia perkhidmatan puan di situ agak singkat, namun beberapa kejayaan telah dicapai. Penganjuran pertandingan memasak sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2012 telah memperlihatkan komitmen dan hubungan baik puan dengan guru-guru SK Limau Purut. Program gotong-royong bersama masyarakat telah berjaya merapatkan hubungan pihak sekolah dan ibu bapa. Ternyata bahawa puan telah berjaya memenangi hati masyarakat sekitar. Kami juga difahamkan puan telah turun padang ke kampung-kampung untuk mengatasi masalah keciciran yang berlaku terutama dalam kalangan murid-murid Orang Asli. Semoga semangat ini akan dapat diteruskan di SK Batu 9 yang juga mengharapkan sentuhan ajaib puan.

Friday, January 18

Never say goodbye

Hi Tea "Seribu Kenangan Menggamit Memori" sempena majlis perpisahan Tuan Haji Hamdan bin Harun, mantan Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah Lipis. Tahniah kepada Tuan Haji Hamdan kerana telah dilantik sebagai Pengetua SMK Kuala Tembeling. Semoga ilmu dan pengalaman yang ditimba selama 9 tahun bertugas di PPD Lipis menjadi panduan dalam melaksanakan tugas sebagai pentadbir sekolah.

"Kehadiran kita di sesuatu tempat, kalau tidak dapat menyenangkan jangan sampai menyusahkan orang". Kata-kata Tuan Haji Hamdan ini perlu kita semua renungkan. Muhasabahlah diri masing-masing. Apakah selama ini kita hanya sibuk mempertikaikan kerja orang lain. Setiap apa yang dilakukan oleh orang lain ada sahaja yang tidak kena di mata kita. Sedarkah kita bahawa perbuatan kita itu melunturkan semangat rakan-rakan dalam organisasi. Bagaimana dengan kerja kita pula? Apakah kita telah melaksanakan tugas kita dengan baik, hingga tiada cacat celanya? Sebagai ahli dalam sesebuah organisasi, kita sepatutnya membantu rakan-rakan dengan ikhlas dan penuh rasa tanggungjawab. Hulurlah tangan saat rakan kita rebah agar dia mampu untuk bangun kembali.

Sesuatu yang baik pada pandangan orang lain, barangkali tidak baik pada kita. Begitulah juga yang baik pada kita belum tentu baik pada pandangan orang lain. Itulah adat dunia, semuanya tentang persepsi. Kisah sekumpulan orang buta pergi melihat gajah adalah contoh terbaik untuk kita fikirkan. Bagi yang memegang ekor, mengatakan gajah itu kecil sahaja. Manakala yang memegang perut, mengatakan gajah itu besar macam dinding dan yang memegang kaki pula mengatakan gajah seumpama tiang. Apa sahaja keputusan atau tindakan yang dilakukan oleh rakan-rakan kita berdasarkan persepsi mereka dan kita tentulah tidak boleh mengatakan keputusan itu salah. Dan jika kita pula dipertanggungjawabkan untuk membuat keputusan atau tindakan berkaitan tugas tersebut, mampukah kita membuatnya dengan baik dan diterima oleh semua orang? Percayalah...making a decision is not easy.

Untuk menjayakan sesebuah organisasi, setiap pendukungnya haruslah bersatu hati dan bergerak ke arah yang sama. Jarum jam tidak pernah berhenti untuk memberi kita ruang mempertikaikan itu dan ini. Apa-apa keputusan yang telah dibuat oleh organisasi, terimalah dengan hati terbuka. Janganlah kerana keputusan itu tidak selari dengan kehendak kita, maka kita mengambil sikap tidak mahu terlibat. Insyaallah...akan tiba masanya nanti, kita pula diberi peluang membuat keputusan dan merencana tindakan. Jika kita mahu orang memahami dan menerima keputusan kita nanti, maka eloklah belajar dari sekarang untuk memahami dan menerima keputusan orang lain. Prinsip asas dalam berorganisasi ialah memberi kerjasama dan kegagalan menginterpretasikan prinsip ini akan memberi impak negatif terhadap masa depan sesebuah organisasi.

Kepada Tuan Haji Hamdan, never say goodbye. Semoga ruang untuk tuan kembali bertugas di daerah Lipis akan terbuka jua nanti. Kepakaran dan pengalaman tuan amat diperlukan bagi menguatkan barisan kepimpinan pendidikan daerah Lipis. Bila saat itu tiba nanti...kami akan menyambut tuan dengan penuh rasa kesyukuran.

Tuesday, January 15

Keranamu...K9 Betau

"Momentum harus dipacu agar setiap yang terlibat perlu bergegas melaksanakan peranan masing-masing. Tiada lagi masa untuk bertanya tentang punca kuasa atau kesediaan diri. Nasib pribumi ini semakin jelas berada di tangan kita. Wahai warga SK Betau, kerahlah seluruh khudrat anda semua, bergerak sederap bagi memaknakan kehadiran. Walaupun kita bermula lewat, namun harapannya kita akan berada di hadapan"

Hari ini, saya membawa enam orang pekerja yang diambil dari beberapa buah sekolah di Lipis ke IPGM Kampus Pendidikan Teknik Cheras untuk memindahkan peralatan-peralatan PAV ke Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) SK Betau. Bertolak dari PPD Lipis jam 8.00 pagi, kami sampai di Cheras sekitar jam 11.30 pagi. Proses memunggah peralatan-peralatan tersebut mengambil masa hampir tiga jam. Pukul 2.30 petang lori-lori yang sarat dengan muatan bertolak ke SK Betau. Saya telah menghubungi Guru Besar SK Betau agar menyediakan beberapa orang pekerja untuk menurunkan peralatan-peralatan tersebut apabila lori-lori itu sampai di Betau nanti.


Terima kasih buat En. Mokhtar (SK Clifford), En. Rohaizad (SMK Clifford), En. Hashim (SJKC Penjom), En. Ali (SJKC Penjom), En. Amiruddin (SJKC Penjom), En. Suliman ( SMK Chung Hwa) dan En. Azman (Pemandu PPD) di atas pertolongan memunggah barang-barang ke dalam lori. Sumbangan anda semua pasti tercatat dalam sejarah penubuhan K9 di SK Betau ini.


Terharu benor teman nengok penolong-penolong sukarela nie bekerja. Tiada yang mengeluh, malah tanpa sebarang arahan mereka melaksanakan peranan masing-masing. Ada yang mengemas, ada yang mengangkat...emm thank you very much. Harapkan teman, tak tau la...pinggang dah tak berape molek. 

Dua buah lori digunakan dalam proses pemindahan ini. Terima kasih kepada JPN Pahang kerana sudi membantu menyediakan sebuah lori walaupun permohonan dibuat ‘last minute’


Penubuhan K9 di Betau yang dilakukan dalam tengka masa yang singkat benar-benar menguji kekuatan dan kesabaran kita. Sepanjang sebulan ini, fokus kita terdorong ke arah itu demi memastikan projek yang diwar-warkan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika melancarkan Program Transformasi Pendidikan Orang Asli di SK Betau pada Jun 2012 yang lalu direalisasikan dengan jayanya. Oleh itu, momentum harus dipacu agar setiap yang terlibat perlu bergegas melaksanakan peranan masing-masing. Tiada lagi masa untuk bertanya tentang punca kuasa atau kesediaan diri. Nasib pribumi ini semakin jelas berada di tangan kita. Wahai warga SK Betau, kerahlah seluruh khudrat anda semua, bergerak sederap bagi memaknakan kehadiran. Walaupun kita bermula lewat, namun harapannya kita akan berada di hadapan.

Thursday, January 10

Perutusan Tahun 2013 KPM

Hari ini, saya bersama Tuan Haji Misnan menghadiri Majlis Perutusan Tahun 2013 Kementerian Pelajaran Malaysia yang diadakan di Dewan Plenari (PICC) Putrajaya. Atur cara bermula seawal jam 7.45 pagi. Oleh itu, kami terpaksa bertolak dari Kuala Lipis pada pukul 4.00 pagi. Singgah sebentar di RNR Gombak untuk solat subuh dan sarapan. Kami sampai di PICC pada pukul 7.15 pagi dan merupakan orang yang terawal memasuki Dewan Plenari.

Perutusan Tahun 2013 KPM disampaikan oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran. Turut hadir ialah Datuk Ir. Dr. Wee Ka Siong, Timbalan Menteri Pelajaran 1, YB Dr. Haji Mohd Puad Zarkashi, Timbalan Menteri Pelajaran 2, Dato' Dr. Rosli bin Mohamed, Ketua Setiausaha KPM dan YBhg Tan Sri Ghafar bin Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.

Majlis perutusan tahun ini mendapat sambutan luar biasa. Tempat duduk tidak mencukupi bagi tetamu yang hadir. Bagi yang datang lewat, mereka terpaksa ditempatkan di dewan lain dan hanya mengikuti perutusan TPM melalui tayangan litar tertutup sahaja.

Selesai program di PICC kami terus ke IPGM Kampus Pendidikan Teknik Cheras untuk identify peralatan-peralatan yang boleh digunakan bagi pengajaran subjek PAV (Pendidikan Asas Vokasional). IPGM ini akan berpindah ke lokasi baru di Bandar Enstek, Nilai. Lokasi sekarang akan diserahkan kepada HUKM. Oleh itu, semua peralatan yang ada akan diagih-agihkan kepada sekolah -sekolah yang memerlukannya. Kami bercadang untuk mengambil peralatan-peralatan yang berkaitan dengan penyediaan makanan dan menservis motosikal. Ini kerana hanya dua bidang ini sahaja yang ditawarkan di Sekolah Model Khas Komprehensif K9 SK Betau. Turut membantu mengenalpasti peralatan-peralatan tersebut ialah Puan Raudah Majid dari Bahagian Perkembangan Kurikulum dan tiga orang guru dari SK Betau iaitu En. Hamdan, En. Shukran dan En. Padli. Mereka bertiga sebelum itu telah pergi ke BPK untuk mendengar taklimat berkaitan subjek PAV.

Teman respect betul kat Tuan PPD. Beliau begitu bersemangat untuk memastikan projek K9 di SK Betau ini betul-betul berjaya. Bagi guru-guru di SK Betau dan yang bakal dibawa ke sana, harap-harap anda semua menjadikan kesungguhan Tuan PPD ini sebagai peningkat semangat agar tidak merasa kecewa dan mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran mendidik anak-anak Orang Asli ini. Ingat...mereka juga berhak mendapat pendidikan terbaik daripada kita.

Rambang juga mata melihat banyak sangat barang nie. Harap-harap dapatlah digunakan oleh cikgu-cikgu di SK Betau nanti.

Pagi semalam saya menghadiri mesyuarat MPSM kali pertama 2013 yang diadakan di Lipis Centrepoint Hotel. Mesyuarat ini bertujuan membincangkan beberapa isu semasa dan melantik Jawatankuasa baharu kerana YDP MPSM Lipis, En. Haidzir bin Hussin telah ditukarkan ke SM Sultan Alam Shah. Cadangan En. Hamid, Pengetua SMK Merapoh agar Tuan Haji Syed Mohamad bin Syed Agil dilantik sebagai YDP yang baharu diterima sebulat suara.

Selain bermesyuarat, perjumpaan ini juga diadakan bagi meraikan pertukaran En. Haidzir bin Hussin, Pengetua SMK Clifford, Tuan Haji Harun bin Dali, Pengetua SMV SHAS Kuala Lipis (bertukar ke Perlis) dan pertukaran En. Hamdan bin Harun, Timbalan PPD Lipis yang dilantik sebagai Pengetua di SMK Kuala Tembeling. Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan tahniah kepada Hajah Rosidah Kamaluddin, Pengetua SMK Orang Kaya Haji yang dilantik sebagai Pengetua SMK Clifford dan Cik Normadiah, GPK 1 SMK Tersang yang dilantik sebagai Pengetua di SMK Panglima Garang Abdul Samad. Emm...selamat bertugas untuk semua orang. Semoga 2013 menjanjikan sesuatu yang bermakna buat kita semua.

Pada 3 Januari yang lalu, Kelab Staf PPD telah mengadakan majlis ringkas bagi meraikan harijadi pegawai dan staf yang dilahirkan pada bulan Januari. Kepada Tuan Haji Misnan, Hussaini, Bullah, Firdaus, Abang Ya dan Ina, selamat harijadi, semoga dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

“Barangsiapa senang untuk dipanjangkan umurnya dan diluaskan rezekinya serta dihindarkan daripada kematian yang buruk, maka hendaklah ia bertaqwa kepada Allah SWT dan menyambung silaturrahim.” 
(Hadis riwayat at-Tabrani)