Pages

Tuesday, March 13

Obstacles to Success


Pada 9 Mac yang lalu, satu perjumpaan dengan guru-guru SK Senderut telah diadakan di PPD Lipis. Perjumpaan yang bermula pada pukul 3 petang itu bertujuan mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi di SK Senderut. Masalah yang dihadapi di sekolah tersebut dan beberapa sekolah asli yang lain ialah pencapaian akademik yang masih di tahap yang rendah. Jumlah murid yang mendapat 5E dalam peperiksaan UPSR masih ramai. Setelah belajar di sekolah selama 6 tahun, murid-murid ini masih belum menguasai kemahiran membaca dan mengira dengan baik. Apa masalahnya? Perkara inilah yang cuba dikupas dan difahami dengan baik dalam perjumpaan tersebut.

Pentadbir dan guru-guru SK Senderut telah diberi peluang meluahkan isi hati masing-masing berkenaan 'batu besar' yang menjadi penghalang kepada usaha mereka untuk membawa perubahan kepada murid-murid. Beberapa orang guru telah mengambil peluang ini untuk menyatakan permasalahan yang mereka hadapi dan sebahagian yang lain sekadar berdiam diri dan mengangguk-ngangguk tanda setuju. Daripada banyak-banyak yang diperkatakan itu, saya dapati ada 3 perkara utama yang sering diulang-ulang oleh guru-guru dan pentadbir SK Senderut. Tiga perkara tersebut ialah (1) Ketiadaan guru pakar, (2) Daya ingatan murid-murid asli yang tidak kuat, hari ini ajar esok lupa dan (3) Kemudahan asrama yang tidak mencukupi.

Di dalam post terdahulu http://kgsklipis.blogspot.com/2010/05/sk-senderut.html saya telah menceritakan tentang kesukaran perjalanan untuk sampai ke SK Senderut. Hanya dua jenis kenderaan sahaja yang boleh digunakan untuk sampai ke sekolah tersebut iaitu kenderaan pacuan 4 roda dan motosikal. Keadaan permukaan jalan yang tidak rata, berlubang dan berlumpur itu mengundangkan berbagai masalah dan bahaya. Baru-baru ini kenderaan yang ditumpangi oleh guru-guru sekolah tersebut telah terbalik dan menyebabkan salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan sehingga terpaksa dirawat di hospital. Alhamdulillah, dalam perjumpaan ini tidak ada seorang guru pun yang menjadikan kesukaran perjalanan dan masalah berjauhan dengan keluarga sebagai alasan mereka tidak dapat perform dengan baik. Barangkali kesukaran dan kesulitan yang dialami itu telah dapat diringankan sedikit sebanyak melalui bayaran elaun RM1000 yang mereka perolehi pada setiap bulan. Selebihnya tentulah kesedaran bahawa di sinilah rezeki mereka ditakdirkan.

Di sini saya cuba untuk respond terhadap masalah-masalah yang telah dibangkitkan oleh guru-guru SK Senderut itu. Adakah masalah-masalah tersebut merupakan 'batu besar' yang menjadi penghalang kepada usaha mereka selama ini atau yang disangka 'batu besar' itu sebenarnya sekadar batu kerikil di tepi jalan sahaja.

1) Ketiadaan guru pakar - 21 daripada 34 orang guru SK Senderut adalah guru siswazah. Mereka telah mendapat didikan dan latihan sebagai seorang guru di universiti dan IPGM. Dengan didikan dan latihan itu, sudah pastilah mereka memiliki ilmu yang tinggi untuk disampaikan kepada murid-murid. Cuma mereka kekurangan pengalaman. Pengalaman pula bukanlah sesuatu yang boleh dipelajari dalam sehari dua sebaliknya perlu ditempuhi bertahun-tahun. Selepas mengajar setahun dua di sekolah asli, diharapkan guru-guru ini sudah boleh mengenalpasti kaedah terbaik dan mencipta cara efektif untuk mengajar anak-anak orang asli ini. Inilah guru pakar sebenar yang tidak diberi kenaikan gred tetapi akan membawa perubahan kepada sekolah. Mungkin mereka bukan pemeriksa kertas peperiksaan yang boleh melahirkan 5A dalam UPSR, namun sekurang-kurangnya dapat memastikan tiada yang mendapat 5E.


2) Daya ingatan yang lemah - Sosiobudaya dan pemakanan mungkin memberi kesan kepada tindak balas otak. Orang cina sangat gemar makan tauhu dan minum air soya. Mengikut kajian soya merupakan sumber makanan yang dapat membantu pertumbuhan tubuh yang cergas dan mental yang cerdas (Jus Mate 5 Dr Romzi menggunakan kacang soya sebagai bahan utamanya). Untuk menukar budaya dan cara pemakanan bukanlah sesuatu yang mudah. Cuba bayangkan orang Kelantan dilarang makan budu dan orang Pahang dilarang makan tempoyak...emm, susah tu. Walau bagaimana pun, yang penting guru-guru janganlah berputus asa. Teruslah laksanakan tugas mengajar dan mendidik anak-anak ini, walaupun kenyataannya sangat sukar. The important thing is...you need to try.


3) Kemudahan asrama yang tidak mencukupi - Kata Dato' Seri KPPM "fikirlah apa yang kita ada, jangan fikir apa yang kita tiada". Dalam situasi kewangan yang agak gawat ini, tentu agak sukar untuk menyediakan kemudahan terbaik di asrama SK Senderut. Namun, janganlah jadikan kekurangan ini sebagai penghalang kepada usaha kita untuk membawa perubahan. Pada zaman Jepun dahulu, ketika beras sukar didapati, orang-orang Melayu menanam ubi kayu sebagai ganti. Maksudnya, kita harus tahu dan pandai bertindak untuk mengatasi sesuatu kelemahan atau kekurangan yang wujud. Kita tidak boleh sekadar berkata "Ah! macam mana budak nak belajar elektrik pun tak ada." Untuk menunggu kemudahan elektrik 24 jam di Senderut mungkin 10 atau 20 tahun lagi. Apakah anak-anak asli ini perlu menunggu 10 atau 20 tahun lagi untuk mula belajar?


Kepada semua guru-guru di SK Senderut, anda semua adalah guru-guru pakar yang terbaik. Anda tidak akan mudah berputus asa kerana anda ada jati diri yang tinggi dan memiliki pemikiran yang kreatif untuk mengatasi segala kelemahan dan kekurangan di dalam sana. Jangan lihat masalah sebagai masalah tetapi lihatlah sebagai peluang. Bantulah Guru Besar sekolah anda. Beliau tidak boleh bertindak secara 'Lone Ranger' untuk memecahkan 'batu besar' ini. Bantuan dan sokongan anda semua amat-amat beliau perlukan. Percayalah...we understand the problems you have faced.

No comments: