Pages

Monday, June 27

Petang yang sukar...

Belum pun genap 2 tahun bertugas di daerah Lipis, beliau telah diarahkan bertukar. Sukar untuk mempercayainya...namun itulah ketentuan takdir. Life is unexpected. Barangkali tenaga dan idea beliau lebih diperlukan oleh daerah Cameron Highlands bagi meningkatkan pencapaian akademik daerah tersebut. Namun rasanya jauh di lubuk hati beliau masih belum puas berbakti kepada daerah Lipis ini. Tanggal 24 Jun, iaitu hari terakhir beliau berkhidmat di PPD Lipis menyaksikan segalanya. Airmata Basirun tumpah jua...beliau bagaikan tidak mampu menyudahkan ucapan akhirnya kerana dada terasa sebak dan airmata sukar ditahan lagi. Saat bersalaman dan berpelukan dengan staf PPD Lipis, sekali lagi emosi sukar dikawal...beliau yang kelihatan garang dengan kumis tebalnya tewas pada godaan kasih sayang anak-anak buahnya. Haji Basirun bin Abdullah Hasim, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis melangkah pergi...namun legasinya akan terus dikenang.


Tuan PPD bergambar bersama-sama Pengetua sekolah-sekolah menengah daerah Lipis

Memori terakhir bersama Majlis Guru Besar (MGB) daerah Lipis

Tuan Haji Basirun menyerahkan Nota Serah Tugas kepada En. Hamdan Harun, Timbalan PPD Lipis yang akan menanggung tugas sehingga PPD baru dilantik.

Mengetip kad perakam waktu buat kali terakhir di Pejabat Pelajaran Daerah Lipis

Kepada Tuan Haji Basirun...semoga kecemerlangan yang tuan tunjukkan di Lipis akan terus tuan praktikkan di Cameron Highlands. Kami, warga pendidikan Lipis mendoakan kejayaan tuan.

Thursday, June 23

Pemantauan SISP

Hari ini rombongan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah yang baru, Encik Wan Abdul Hamid bin Wan Mohamad mengadakan pemantauan ke SMK Clifford. Fokus pemantauan ialah untuk melihat perjalanan SISP (Sekolah Indera Shahbandar Pahang). Ini merupakan lawatan pertama Encik Wan Hamid ke daerah Lipis setelah menjawat jawatan Ketua Sektor. Turut hadir bersama beliau ialah Encik Rosdi bin Ismail (Ketua Sektor Jaminan Kualiti), Tuan Haji Tajuddin (KPP Pengurusan Sekolah), Tuan Haji Rozali (KPP Jaminan Kualiti) dan beberapa orang pegawai dari kedua-dua sektor.


En. Haidzir bin Husin, Pengetua SMK Clifford sedang memberi taklimat berkaitan profil dan pencapaian sekolah.

Sebahagian pegawai dan guru-guru yang hadir mendengar taklimat

Sunday, June 19

Pertandingan Penulisan Khat

Dalam duk kalut dengan kerja-kerja opis, kenalah juga entertain tugas-tugas kemasyarakatan. Memang la...kalau boleh bila balik kerja tu nak landing terus, tak nak lagi keluar-keluar rumah. Pada hari cuti pula, kalau dah dapat surat khabar tu, memang berat betul nak ke mana-mana. Walau bagaimana pun, atas rasa tanggungjawab hidup bermasyarakat nie, kenalah juga saya melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti masyarakat. Sekurang-kurangnya dapat juga kenal jiran-jiran kita, tidaklah asyik duk angkat tangan dalam kereta je.
Dah hampir 4 tahun saya join Kawasan Rukun Tetangga Sri Tempoyang-Permai. Dalam pergerakan nie rasanya saya la yang paling muda, yang lain kebanyakan orang-orang pencen belaka. Pengerusinya Dato' Haji Mohd Baharin bin Harun, bekas Pengarah IPGM Tengku Ampuan Afzan Kuala Lipis. Timbalan Pengerusi Haji Ahmad Saman ( Guru Besar pencen ), Setiausaha Haji Ahmad Hasan ( Guru Besar pencen ) dan Bendahari pula Haji Mohamad Uda ( Guru Besar Pencen jugak ). Saya pula dah hampir 2 penggal kena jadi Pengerusi Rakan Muda.
Pada 18 Jun 2011 ( Sabtu ) yang lalu, KRT kami telah menganjurkan Pertandingan Khat di perkarangan Muzium Warisan Lipis. Pertandingan ini dianjur bersama dengan Majlis Daerah Lipis. Seramai 13 orang peserta telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini.


Sebahagian peserta yang mengambil bahagian. Pelik juga nie...semua peserta adalah dari kaum hawa, mana pergi kaum adam? Nak kata tak pandai tulisan jawi, ramai yang dah jadi ustaz. Tak cukup promosi kut.


3 orang hakim yang dijemput khas. Tuan Haji Ibrahim Bilal Mat, Ustaz Namlur Seman dan Ustaz Hashim Lubuk Kulit. ( Ustaz Namlur tu rakan pejabat saya sebelum beliau bersara )

Tuan Haji Ahmad Saman, Timbalan Pengerusi KRT Sri Tempoyang-Permai sedang menyampaikan hadiah kepada para pemenang. Hadiah pertandingan disediakan oleh Majlis Daerah Lipis.

Pemenang Pertandingan :
1. Siti Zaleha Md Yassin ( KRT Bandar Baru ) 89%
2. Ruziah Haji Mansur ( KRT Mela ) 87%
3. Kairuhani Hassan ( KRT Padang Tengku ) 86%
4. Ruhana Ramli ( KRT Cheneras Jaya ) 85%

Tuesday, June 7

Mengimbau Nostalgia di Kota Bharu

Hem...ke mana anda pergi sempena cuti sekolah dua minggu ni? Mungkin ada yang mengambil kesempatan untuk pulang bercuti ke kampung halaman menemui ibu dan bapa atau ke tempat-tempat menarik di negara kita ini. Mulanya saya tidak berhajat hendak bercuti ke mana-mana, memandangkan poket tak berapa nak kembung. Namun bila anak bongsu saya asyik bertanya 'Ke mana hendak pergi bercuti, abah?' maka setelah membuat perkiraan budget, saya memutuskan untuk membawa mereka bercuti ke Kota Bharu, Kelantan. Apabila merancang untuk bercuti dua perkara yang menjadi pertimbangkan saya iaitu lodging and food. Jika kita merancang untuk low cost vacation, rasanya Kota Bharu adalah lokasi yang paling tepat. Di sekitar bandar Kota Bharu dan Wakaf Che Yeh terdapat banyak hotel budget (rate di bawah RM100) yang boleh dipilih. Walau bagaimana pun dalam musim percutian nie, kenalah booking awal-awal. Seperti yang kita semua tahu, makanan di negeri Kelantan antara yang termurah jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain. Selain itu, saya juga 'excited' hendak ke Kota Bharu kerana pada tahun 1986 hingga 1988 (dah hampir 20 tahun) saya pernah berkursus di Maktab Perguruan Kota Bharu, Pengkalan Chepa. Semoga percutian ini dapat mengimbau kembali nostalgia semasa bergelandangan di bumi Cik Siti Wan Kembang suatu masa dahulu.

AHAD, 5 Jun 2011


Sampai di Kota Bharu, kami terus check in di Destiny Hotel yang terletak di tepi sungai Kelantan, Jalan Post Office Lama bersebelahan Pelangi Mall. Bilik Deluxe Family cuma RM79.90 sahaja. Walau pun bertaraf hotel budget, namun facilities yang disediakan kira ok la juga (cuma takde swimming pool dengan breakfast je)

Di hadapan hotel tesebut ada riverside promenade yang cantik dan bersih. Pada malam hari kawasan ini akan bertukar wajah menjadi riverside cafe. Best tu...pekena teh tarik sambil menikmati hembusan angin sungai yang nyaman.

Selepas berehat dan melelapkan mata hampir 2 jam di dalam bilik hotel, perut terasa lapar pula. Selepas mandi dan solat kami ke perkarangan Stadium Sultan Mohamad IV untuk minum petang. Sayangnya tak banyak gerai makanan yang dibuka pada petang itu. Lapar punya hal, kami masuk jelah salah satu gerai kat situ. Mee sup dia boleh tahan juga la (harap2 janganlah dia tarok ajinamoto thailand banyak2...boleh migrain teman)


Janji dengan anak-anak nak beli seluar dan baju seorang dua helai. Ingat nak beli kat Mydin je...murah sikit, tapi duk melilau mencari Mydin tak jumpa-jumpa pula. Anak bongsu saya dah heret masuk Parkson (Kota Bharu Trade Centre). Kena jugalah berabih kat situ...tak ape la, sekali sekala.

ISNIN, 06 Jun 2011


Bergambar di hadapan salah satu mercu tanda Kota Bharu, Sultan Ismail Petra Arch.

Bersama Ruzaini Imran di hadapan Bangunan Muzium Adat Istiadat Diraja (Istana Jahar).

Laman Siti Khadijah. Banyak betul orang berniaga kat sini, daripada jam tangan dan hiasan untuk kaum wanita sampailah barang-barang mistik yang mencabar kelogikan minda. (khusyuk betul anak bongsu teman melihat 'keris berdiri'). Kat Laman Siti Khadijah nie banyak juga warung makanan tetapi pastikan awal sebab makanannya cepat habis.

Selesai bersarapan kami bertolak ke Pengkalan Chepa untuk melawat Maktab Perguruan Kota Bharu (IPGM Kota Bharu). Setelah 20 tahun tidak menjenguk ke sini, banyaklah perubahan yang dapat dilihat. Sayu pula bila mengingati hari pertama melapor diri kat sini dahulu. (dalam post yang akan datang saya akan cerita dengan panjang lebar kenangan sepanjang berkursus di MPKB )

Lepas melawat maktab, saya bawa anak-anak ke Cabang 3, Pengkalan Chepa nak tunjukkan rumah sewa saya sewaktu berkursus dahulu. Rumah teres SEDC, no. 6 nie nampaknya dah begitu usang sekali. Dua tahun setengah mendiami rumah ini, banyak betul kenangan yang tidak dapat dilupakan. Kat belakang rumah ini ada surau tabliq, petang-petang jemaah surau tu akan berjalan ke setiap rumah memberi tazkirah. Bila nampak dia orang datang ramai yang 'lari' ...tinggal la saya sorang duk mendengar ceramah dia orang.


Balik dari Pengkalan Chepa, kami terus ke KB Mall. Orang umah bercadang hendak membeli beg fardhu ain untuk anak bongsu saya. Terasa lapar, kami menjamu selera di salah sebuah gerai di situ. (tengok menu laksa utara tu...terbangkitlah selera, namun bila teman dah makan tu, adus lain benor...manissss!


Selepas berehat sekejap di hotel, kami bertolak ke Pantai Cahaya Bulan (Waktu saya kursus guru kat sini, pantai nie dikenali sebagai Pantai Cinta Berahi).


Petang-petang di tepi pantai pekena ict (ikan celup tepung), udang dan ketam terasa enak sekali. Harganya pun taklah mahal sangat, RM2 bagi setiap item.


Ruzaini Imran dah tak tahan melihat air laut. Nak juga main ombak, hem...basah jugalah seluarnya.



Orang kata kalau datang ke Kota Bharu tak pergi ke Wakaf Che Yeh tak sah. Walau pun dah agak keletihan, saya pujuk juga anak-anak berkunjung ke sana. Tak ada apa yang hendak dibeli, cuma nak jalan-jalan melihat pelbagai jenis barangan dijual di sana.

Dah penat pusing-pusing seluruh pasar malam Wakaf Che Yeh nie, kami menjamu selera di salah sebuah gerai di situ. Pekena nasi ayam dan nasi goreng kampung best juga. Selesai menjamu selera kami terus pulang ke hotel. Esok ingat nak bertolak balik ke Kuala Lipis awal sikit...maklumlah cuti sekolah nie, takut banyak kereta pula kat jalan raya.

Wednesday, June 1

Selamat Bersara Abang Ayub

Semalam (1 Jun 2011) merupakan hari terakhir Encik Md Ayub bin Zakaria berkhidmat di PPD Lipis. Setelah berkhidmat selama 36 tahun 5 bulan dan 14 hari, beliau akan bersara wajib mulai hari ini sebagai Pembantu Luar (S11). Abang Ayub yang saya kenali merupakan seorang yang pendiam tetapi jika diajak berbual terutama berkaitan pengurusan aset atau pendidikan di sekolah asli beliau boleh bercerita berjam-jam. Abang Ayub mula berkhidmat pada 16 Januari 1974 sebagai guru di sekolah orang asli di bawah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Perak. Setelah berkhidmat hampir 7 tahun di negeri Perak, beliau mohon bertukar ke negeri Pahang pada 31 Disember 1980. Antara sekolah-sekolah asli yang pernah beliau berkhidmat ialah SK Lanai, SK Lenjang dan SK Senderut. Pada 1 Januari 1996 beliau telah di serap ke Kementerian Pelajaran dan ditempatkan di PPD Lipis sehinggalah tarikh persaraan beliau ini. Kepada abang Ayub, kami ucapkan selamat bersara dan semoga berbahagia dengan kehidupan baru yang bakal ditempuhi.

Nasihat terakhir abang Ayub kepada kita semua ' Jangan menilai seseorang berdasar luaran sahaja. Seseorang itu mungkin kelihatan tidak mesra pada air mukanya, namun setelah kita mengenali hati budinya ternyata dia seorang yang berbeza daripada tanggapan asal kita'


Abang Ayub banyak membantu saya semasa saya dikehendaki menguruskan aset PPD Lipis dahulu. Semua laporan pengurusan aset dan stok ppd beliaulah yang menyediakannya, saya cuma tandatangan sahaja.