Pages

Wednesday, April 17

Dari Tanah Rata ke Putrajaya

Semalam (Selasa 16 April), teman menggantikan Tuan PPD ke Mesyuarat Penyelarasan Persediaan Menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 P.078 Cameron Highlands. Mesyuarat diadakan di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands. Dalam mesyuarat itu, Pegawai Pengurus, Dato' Haji Ahmad (Pegawai Daerah) meminta kerjasama PPD untuk memastikan pihak sekolah yang terbabit sebagai pusat mengundi memberi kerjasama sepenuhnya kepada Ketua Pusat Mengundi (KPM) agar proses pilihan raya berjalan lancar. Antaranya ialah memastikan bilik darjah yang akan digunakan nanti dikosongkan dan dibaiki sebarang kerosakan terutama lampu dan kipas. Pintu pagar sekolah hendaklah dibuka selewat-lewatnya pukul 7.30 pagi kerana proses pengundian akan bermula tepat jam 8.00 pagi. Pengetua dan Guru Besar hendaklah memastikan pejabat sekolah dibuka bagi membolehkan KPM menggunakan kemudahan telefon dan sebagainya. Emm...tahun ni teman tak terlibat sebagai petugas pilihan raya. Bolehlah ronda-ronda melihat gelagat pengundi. 

Sempat juga snap gambar sebelum balik. Cantik betul pokok bunga depan pintu masuk Pejabat Daerah dan Tanah Cameron nie.

Ketika menghidupkan telefon sejurus bangun tidur pagi tadi, teman dapati ada 2 message masuk. Satu message pada pukul 10.52 malam dan satu lagi pada pukul 1.32 pagi. Oleh kerana tidur awal, teman tak perasan Kedua-dua message tersebut. Message pertama oleh Tuan PPD dan message kedua oleh  Tuan Timbalan PPD. Kedua-dua masage itu meminta teman menghadiri satu majlis di PICC Putrajaya pada pukul 10.00 pagi. Waktu itu dah pukul 5.30 pagi. Hai...rasa-rasa sempat ke teman berkejar ke Putrajaya nie? Dalam duk timbang-timbang tu, orang umah teman kata 'sempat lagi ni kalau bertolak sekarang'. Mendengar kata-kata semangat tu, teman terus bergegas mandi dan pakai baju (nasib baik baju dah gosok semalam). Kebetulan subuh dah masuk, terus solat dan pekena nescaffe secawan dan terus bergerak ke Putrajaya. Alhamdulillah...teman sampai ke PICC tepat jam 9.30 pagi. Ketika melangkah masuk ke Dewan A, hadirin baru selesai menyanyikan lagu 'Negaraku'.

Majlis yang teman hadiri ini ialah Perjumpaan khas Transformasi Minda Pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2015. Majlis ini turut dihadiri YBhg Tan Sri Abd Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dan Dato' Mazlan, Pengarah BPSH. Intipati penting yang hendak disampaikan dalam majlis ini ialah peranan yang wajib dimainkan oleh semua PPD bagi memastikan PPPM dilaksanakan dengan jayanya. Semua PPD mestilah faham, menghayati dan bertekad untuk melaksanakannya.

Dalam ucapan Tan Sri juga, beliau mengharapkan guru-guru tidak terlibat secara aktif berkempen untuk pilihan raya yang akan datang ini. lahirkan sokongan kita kepada mana-mana parti hanya melalui peti undi sahaja. Tak perlulah bersusah payah memanjat tiang telefon untuk menggantung bendera. Dalam SKT kita tak ada dinyatakan tugas-tugas tersebut. Berilah tumpuan sepenuhnya kepada usaha untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar kita. Kisah seorang guru menghina anggota keselamatan yang bertugas mempertahankan negara di Lahad Datu adalah contoh 'kegagalan' menjadi guru terbaik. Bolehkah kita mengharapkan guru seperti ini untuk menjayakan PPPM?

YBhg. Tan Sri Abd Ghafar Mahmud bersalaman dengan hadirin sebelum meninggalkan majlis. Syahdu juga teman bila Tan Sri tanya 'Li dari mana?' Walaupun teman tahu dia membaca name tag teman, namun itulah besarnya pengaruh 'nama' apabila disebut secara 'mesra'. Teringat teman semasa bermesyuarat di Intekma Resort Shah Alam 14 tahun yang lalu. Sejurus selepas mendaftar, tiba-tiba seseorang menanya teman dari belakang 'Li dah minum?'. Bila berpaling teman lihat seseorang yang tidak dikenali. Bila mesyuarat bermula, dan dia mempengerusikan mesyuarat, baru teman tahu bahawa beliau ialah Ketua Penolong Pengarah PSPN Selangor. Teman tahu beliau membaca nama teman di borang pendaftaran. Hakikatnya, menyebut nama seseorang adalah PENTING.

Friday, April 12

Penempatan Tingkatan 6 Tahun 2013

Pagi tadi teman menghadiri taklimat kemasukan pelajar tingkatan enam 2013 yang diadakan di PPD Cameroon Highlands. Turut hadir ialah semua GPK Tingkatan 6 sekolah-sekolah daerah Bentong, Raub, Lipis dan Cameroon Highlands. Pembantu Tadbir sekolah-sekolah terbabit juga dijemput untuk mendengar taklimat ini kerana mereka merupakan barisan hadapan yang akan bersemuka dengan ibu bapa pelajar apabila pendaftaran tingkatan enam bermula nanti.

Encik Nor Ahmad, Ketua Penolong Pengarah menyampaikan ucapan alu-aluan sebelum diambil alih oleh En. Tajul Arifly bagi menerangkan tatacara kemasukan pelajar-pelajar tingkatan enam tahun 2013. Semoga proses kemasukan ke tingkatan enam pada tahun ini berjalan lancar tanpa berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

TARIKH KEPUTUSAN KELAYAKAN KEMASUKAN KE 
TINGKATAN 6 BAWAH
24 APRIL 2013

KEPUTUSAN BOLEH DISEMAK MELALUI :
SEKOLAH ASAL SEMASA MENDUDUKI  SPM 2012
LAMAN WEB KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
www.moe.gov.my
SMS ( MOE<JARAK>T6<JARAK>NO.KP @ ANGKAGILIRAN) 
HANTAR 15888

TARIKH MULA PENDAFTARAN :
8 MEI 2013 (RABU)

Daftar
di sekolah yang ditawarkan

Terima surat tawaran yang dicetak melalui laman web KPM
Semak Kad Pengenalan Pelajar
Pihak JPNP/PPD hanya mengeluarkan surat tawaran untuk kes tercicir,rayuan dan bukan warganegara.

KEPADA SEMUA SEKOLAH TINGKATAN 6
SILA MUAT TURUN PANDUAN KEMASUKAN TINGKATAN 6
( Pada ruangan 'Download Form and Material' atau klik pada url di bawah)


Thursday, April 11

Mencari sinar di Kuala Lanar

Selama dua hari (10 & 11 April 2013), pegawai-pegawai daripada PPD Lipis berkampung di SMK Kuala Lanar bagi mengadakan penyeliaan bersepadu. Penyeliaan ini melibatkan 5 unit iaitu Unit Akademik, Pengurusan Sekolah, Pembangunan Kemanusiaan, ICT serta Pembangunan dan Perolehan. Pemilihan sekolah ini adalah atas permintaan Tuan Haji Misnan, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis. Barangkali keputusan ini beliau ambil setelah melihat prestasi SMK Kuala Lanar dalam peperiksaan SPM serta STPM yang lalu agak kurang menyerlah.

Setiap unit menyelia bidang masing-masing.

Teman dan group UPS menyelia bidang pengurusan dan pentadbiran, kewangan serta persekitaran sekolah. Terima kasih kepada En. Aziz, GPK 1 yang banyak membantu dari segi menyediakan bahan-bahan berkaitan penyeliaan ini. Kesian melihat beliau ke hulu ke hilir mencari fail. Semoga apa-apa teguran yang telah teman buat berkaitan bidang tugas GPK 1 tidak 'menyentuh hati' beliau. Teman sebenarnya respect dengan En. Aziz nie, orang lama yang banyak pengalaman. Teman sendiri banyak menelefon beliau bertanyakan sesuatu hal berkaitan pengurusan sekolah yang teman kurang arif. Semoga En. Aziz menjadi pembantu terbaik kepada Pengetua bagi mengemudi sekolah ke destinasi yang dituju.

Penyeliaan ini bukan bertujuan untuk mencari salah sesiapa tetapi berniat murni untuk membantu SMKKL mengenalpasti kekuatan serta kelemahan diri agar gerak kerja selepas ini lebih terpandu dan mencapai sasarannya.

Petang tadi, majlis pelaporan hasil dapatan penyeliaan telah diadakan di Dewan Wacana Minda, PPD Lipis. Semua warga SMK Kuala Lanar telah dijemput untuk mendengar teguran serta cadangan penambahbaikan bagi semua bidang yang telah diselia. Emm...malam isnin yang lalu teman menonton movie 'Master and Commander' yang dibintangi oleh Russel Crowe. Filem itu mengisahkan bagaimana sukarnya seorang kapten sebuah kapal menguruskan pegawai-pegawai serta anak-anak kapal. Walau bagaimana pun dengan kewibawaan serta ketegasan, beliau berjaya mengawal suasana di atas kapal itu serta berjaya memimpin anak-anak kapal untuk mengalahkan musuh yang sekali ganda besarnya. Seandainya tuan Pengetua SMK Kuala Lanar, En. Ahmad Yusuf menonton filem ini, barangkali boleh dijadikan inspirasi.

Semoga hasil dapatan serta syor penambahbaikan yang disampaikan dalam majlis ini, dipandang serius oleh semua guru-guru SMK Kuala Lanar. Teman harap mereka semua sentiasa berfikiran positif.  Dengan fikiran yang positif, guru-guru ini dapat menjalani segala sesuatu tanpa dibebani oleh seribu fikiran buruk. Anak-anak murid adalah amanah kita semua.

Tuesday, April 9

Selamat Bersara Tuan Pengetua

Pagi tadi teman bersama Timbalan PPD, En. Rosli Abd Mubin menghadiri mesyuarat MPSM Cawangan Lipis di SMK Padang Tengku. Semua Pengetua hadir kecuali Pengarah Kolej Vokasional SHAS Kuala Lipis (setakat ni jawatan Pengarah belum diisi lagi)

Selain membincangkan perkara-perkara berkaitan pendidikan di sekolah menengah, mesyuarat ini turut mengambil peluang untuk meraikan pertukaran YM Raja Ibrahim bin Raja Shahdan, Pengetua SMK Benta dan persaraan En. Zulkifli bin Ismail, Pengetua SMK (Felda) Sungai Koyan. YM Raja Ibrahim bertukar ke SMK Shahbandar Hussin, Raub. Manakala, En Zulkifli pula bersara awal iaitu pada umur beliau 56 tahun.

Timbalan YDP MPSM Cawangan Lipis, En. Ahmad Yusuf menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada En. Zulkifli.

Pada mesyuarat kali ini juga diadakan Majlis Pelancaran Laman Blog MPSM Lipis. Majlis telah disempurnakan oleh Timbalan PPD. Bagi yang ingin melawat laman blog ini bolehlah ke url http://mpsmlipis.blogspot.com

Pada 8 April yang lalu, teman bersama Timbalan PPD telah hadir ke Mesyuarat Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Tahun 2013. Oleh kerana tahun ini daerah Pekan akan menjadi tuan rumah, maka mesyuarat pertama ini telah diadakan di PPD Pekan. Mesyuarat dipengerusikan oleh En. Rosdi Ismail, Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang. Selaku tuan rumah tahun lepas, teman dikehendaki membentangkan laporan Perayaan Hari Guru Peringkat Negeri Tahun 2012. Nasib baik la, teman ada juga bersedia dengan powerpoint.

Tuesday, March 26

Tahniah buat sahabat-sahabat

Bermula semalam, semua Penolong PPD Pengurusan Sekolah Menengah negeri Pahang dikehendaki berada di PPD Kuantan untuk membuat penyemakan akhir terhadap data e-Operasi. Tujuan perjumpaan ini ialah untuk membetulkan data-data yang tersilap isi atau terlupa untuk diisi oleh pihak sekolah.  Emm...banyak juga ralat yang terpaksa teman betulkan.

En. Nor Ahmad, Ketua Penolong Pengarah yang baharu menggantikan Dr. Haji Tajuddin, buat pertama kalinya mempengerusikan Mesyuarat Pengurusan Sekolah Menengah.

Pada sebelah malamnya telah diadakan majlis bagi meraikan sahabat-sahabat yang telah dinaikkan pangkat. Antara yang diraikan ialah Dr. Haji Tajuddin, mantan KPP Sektor Pengurusan Sekolah yang dilantik menjadi Pengetua SMK Bukit Sagu, En. Rosli Mubin, Penolong PPD Menengah Jerantut yang dinaikkan pangkat menjadi Timbalan PPD Lipis, En. Mohamed Bakar, Penolong PPD Kuantan dilantik sebagai Timbalan PPD Kuantan dan En. Ahmad Shukree Doya, Penolong PPD Menengah Raub dilantik sebagai Timbalan PPD Cameroon Highlands.

Tuan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, En. Wan Abd Hamid bin Wan Mohamad sedang menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada sahabat-sahabat yang diraikan. Tahniah kepada semua sahabat yang telah dinaikkan pangkat. Semoga anda semua dapat melaksanakan tugas yang diamanah itu dengan sebaik mungkin.

Petang tadi telah diadakan aktiviti riadah iaitu pertandingan bowling. Bila dah pening-pening menengok data, molek la release tension sikit. Kali nie teman kurang bernasib baik, hanya mampu berada di tempat ke-10 je.

Minggu lepas, bermula dari 19 hingga 22 Mac 2013, teman berada di Hotel MS Garden, Kuantan kerana menghadiri Mesyuarat Pemurnian Modul TNA Pemimpin Sekolah Berkeperluan Khusus. Teman telah ditempat dalam kelompok Sekolah Orang Asli. Bersama dalam kumpulan teman ialah En. Suhaimi (dari BPSH), En. Jamil (dari IAB) dan En. Akib bin Huat (Guru Besar SK Tasik Chini). Teman respect betul kat En. Akib, sekolah dia dah dua tahun berturut-turut dapat 'New Deal'. Kalau sekolah asli di Lipis dapat mencontohi SK Tasik Chini nie, pasti keputusan UPSR daerah Lipis akan berbeza daripada sekarang.

Ucapan tahniah dan selamat datang buat En. Rosli bin Mubin, Penolong PPD Pengurusan Sekolah Menengah Jerantut yang telah dilantik sebagai Timbalan PPD Lipis. Semoga dengan kehadiran tuan dapat memantapkan tenaga kerja PPD Lipis. Ketika menjawat jawatan Penolong PPD Menengah, En. Rosli merupakan tempat untuk kami pegawai-pegawai yang baru dilantik ini membuat rujukan.

Friday, March 1

Taklimat Guru Interim di Bukit Rangin

Hari ini teman menghadiri Program Taklimat dan Penyampaian Surat Penempatan Guru Interim di SMK Bukit Rangin Kuantan. Seramai 150 orang graduan pendidikan terlibat dalam program ini. Daerah Lipis mendapat 14 orang Guru Interim untuk mengisi kekosongan perjawatan yang masih ada. Teman harap semua 14 orang guru ini akan dapat berkhidmat di sekolah-sekolah yang telah ditetapkan. Walaupun telah ada daripada mereka datang berjumpa teman meluahkan kesulitan yang terpaksa mereka hadapi sekiranya menerima tawaran Guru Interim ini. Maklumlah, sebahagiannya dah berkeluarga, terpaksa nak kena tinggal suami, isteri dan anak-anak. Benarlah kata pujangga, 'guru umpama lilin, membakar diri demi menerangi orang lain'. Kepada guru-guru ini, bacalah sajak 'Guru oh Guru' karya Usman Awang. Jadilah pengorbanan anda nanti benar-benar berbaloi.

Berdisiplin cikgu-cikgu muda kita ni. Berbaris dengan penuh kesabaran untuk mendaftar. Dari segi pakaian semua dapat A. Lelaki segak berbaju lengan panjang bertali leher dan perempuan pula berbaju kurung sopan, siap name tag sekali. Kecuali seorang cikgu perempuan tu, tak tau kenapa dia pakai seluar? 

Encik Wan Hamid bin Wan Mohamad, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran Pahang menyampaikan surat penempatan kepada Geraduan Pendidikan yang dilantik sebagai Guru Interim. Selepas penyerahan surat ini, semua Guru Interim ini dikumpulkan mengikut daerah di mana mereka akan berkhidmat. Penolong PPD Menengah diberi kesempatan 15 minit untuk bertemu dan menyampaikan nasihat kepada guru-guru muda ini. Alhamdulillah, kesempatan yang diberi ini, teman gunakan sebaik mungkin untuk menjelaskan kepada mereka senario pendidikan di Lipis dan peranan yang mereka mesti laksanakan di sekolah nanti. Paling penting yang cuba teman tekankan ialah disiplin dan penampilan diri. Harapan teman, semua Guru Interim ini dapat berkhidmat sebaik mungkin demi kecemerlangan pendidikan daerah Lipis.

Semalam, sebelum ke Kuantan teman menghadiri Mesyuarat Penetapan Sekolah Saluran Tingkatan 6 di SMK Maran. Mesyuarat di pengerusikan oleh En. Wan Abdul Hamid Wan Mohamad, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah.

Untuk kemasukan pelajar lower six tahun ini, teman bercadang hendak membuat sedikit perubahan Feeder Schools. Perubahan ini terpaksa dilakukan kerana mengambil kira kapasiti asrama yang mampu ditawarkan oleh ketiga-tiga sekolah Tingkatan 6 di daerah Lipis iaitu SMK Clifford, SMK Seri Lipis dan SMK Kuala Lanar. Teman jangkakan perubahan yang dibuat ini akan mengundang kontroversi seperti juga yang berlaku pada setiap tahun. Selagi mana SMK Clifford dilihat sebagai sekolah elit dan yang terbaik di daerah Lipis, maka semua orang begitu obses untuk memastikan anak-anak mereka dapat belajar di sekolah tersebut. Berbagai cara digunakan untuk merealisasikan hasrat mereka itu sehingga ada yang sanggup meminta sokongan daripada Yang Berhormat ADUN dan Ahli Parlimen. Dua tahun yang lalu, setelah surat tawaran Tingkatan 6 dikeluarkan, seramai 12 orang pelajar yang ditempatkan di SMK Kuala Lanar menyerbu pejabat teman untuk bertukar ke SMK Clifford. Teman kabor kat dia orang, pertukaran hanya akan dilayan selepas sebulan. Apa lagi, melentinglah pelajar-pelajar pradewasa ini, sehingga ada yang mengugut nak pergi Jabatan Pelajaran Pahang. Ingatkan saja nak gertak teman je, rupa-rupanya betul...cerita PPD tak bagi tukar selagi tak cukup sebulan sampai juga ke pengetahuan Pengarah. Puas teman nak justifikasikan tindakan teman tu. Emm...nama pun tawaran, kalau tak nak, tak payahlah terima.

Bersantai di Wangsa Walk

Dah out station dua hari, semalam bawalah family pergi jalan-jalan kat Kuala Lumpur. Malas nak pening-pening masuk pusat bandar, jadi teman bawalah dia orang pergi Wangsa Walk kat Wangsa Maju. Teman tak pernah lagi sampai kat pusat membeli belah ni. Duk dengar cerita daripada sahabat teman je, En. Syamsul Rizal Idris,  (Guru Data Opmen SMK Clifford).

Yang bestnya kat sini ialah kewujudan Octopus Sushi & Thai Restaurant. Imran suka sangat makan sushi terutama sushi tuna mayonis. Kalau bercuti kat Kuantan mesti nak pergi Restoran Sushi No Ya kat Berjaya Megamall.

Banyak restoran dan kiosk makanan terdapat di Wangsa Walk. Kalau berjalan jauh ni, perut mudah lapar. Bolehlah cuba mana-mana menu yang special kat sini. Anak bongsu teman tengah membeli makanan kegemarannya, marshmellow. Kalau kat Cameroon Highlands bolehlah beli marshmellow bersalut coklat.

Sunday, February 24

Sarana Ibu Bapa & Sarana Sekolah

"Anak Nadi Aspirasi Kita - Pendidikan Anak Tanggungjawab Bersama"

Hari ini teman menghadiri Majlis Pelancaran Sarana Ibu Bapa & Sarana Sekolah Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Majlis ini bermula jam 9.30 pagi dan berakhir pada jam 4.00 petang. Setiap daerah diwakili oleh 3 orang pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah dan 6 orang ahli PIBG bagi 5 buah sekolah terpilih.

Majlis ini sepatutnya dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Namun, atas sebab-sebab yang tidak diketahui beliau telah diwakili oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong.

Teman mewakili Tuan PPD Lipis yang tidak dapat hadir kerana terlibat dengan taklimat pengurus pilihan raya. Turut hadir bersama teman ialah Tuan Haji Zulfahkri Idris, Penolong PPD Perhubungan dan Ustaz Ismail Yahya, Penyelia Agama Islam. Emm...sempat juga la teman posing kat luar dewan.

Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah sebagai inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta ke arah bersatu dan menyokong satu matlamat iaitu membantu murid berjaya. Penglibatan anda mampu mengubah sistem pendidikan negara ke arah kecemerlangan dan kemenjadian murid seperti yang diharapkan. Program ini adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.

Thursday, February 7

Opmen : mungkin ini yang akhir

Saya baru sampai dari Kuala Lumpur sekitar jam 6.00 petang tadi. Saya bersama sahabat saya, En. Syamsul Rizal Idris (Guru Data SMK Clifford) menghadiri Mesyuarat Verifikasi Data Opmen Bilangan 1/2013 di Plaza Hotel, Kuala Lumpur. Sepatutnya En. Ariff Omar selaku JU Opmen Daerah yang menemani saya ke mesyuarat ini tetapi beliau terpaksa pula menghadiri satu mesyuarat di Summit Hotel USJ. Walaupun tanpa Ariff, saya bersama dengan Syamsul mencuba dengan sedaya yang boleh untuk memastikan data daerah Lipis tepat dan terkini. 
Sudah beberapa kali terdengar bahawa Opmen (Operasi Menengah) ini akan ditamatkan dan fungsinya akan diambil alih oleh eOperasi. Namun, aplikasi ini masih lagi digunakan untuk mendapatkan maklumat tentang pengisian guru di sekolah-sekolah menengah. Dan kali ini pun masih terdengar suara-suara mengatakan bahawa ini merupakan perjumpaan terakhir bagi verifikasi data Opmen. Emm..mungkinkah kali ini betul-betul akan terjadi? Nampaknya semua Penolong PPD Menengah dan JU Opmen Daerah mesti bersedia untuk menghadapi apa-apa perubahan yang akan berlaku.

En. Wan Abdul Hamid, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah sedang menyampaikan Ucaputama. Pesanan beliau yang perlu diingat ialah 'semua orang mesti mempunyai responsibility terhadap data yang diberi. Data yang tidak tepat akan memberi gambaran yang tidak betul terhadap keperluan guru di sesebuah lokasi'

Pada petang Isnin yang lalu, bertempat di Sekolah Model Khas Komprehensif (K9) SK Betau telah berlangsung Mesyuarat Pelan Pembangunan Pendidikan Orang Asli Daerah Lipis. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Misnan bin Haji Mohd Damin, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis itu, membincangkan dua perkara utama yang saban waktu diperkatakan tahkala menyentuh perihal pencapaian pendidikan pelajar-pelajar Orang Asli. Dua perkara tersebut ialah masalah ponteng sekolah dan prestasi rendah. 
Selepas perbincangan yang panjang lebar, dua tindakan yang dikenalpasti bagi menangani situasi ini ialah ibu bapa penjaga perlu diberi kesedaran tentang kepentingan ilmu pengetahuan dan masa depan anak-anak mereka dalam dunia yang semakin berubah ini. En. Achom Luji, salah seorang aktivis masyarakat Orang Asli memohon agar pihak-pihak yang bertanggungjawab turun ke grassroots untuk memberi motivasi kepada ibu bapa pelajar-pelajar Orang Asli ini agar mereka akan berusaha memastikan anak-anak mereka mahu ke sekolah. Tindakan kedua yang diminta oleh Tuan PPD ialah penubuhan pasukan 'Task Force' bagi membantu dan memantau pelaksanaan program P&P di sekolah-sekolah Orang Asli.