Pages

Monday, October 4

SK Titom

Tahniah kepada Encik Ramli bin Mokhtar, Penyelia Sukan PPD Lipis kerana telah dilantik sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Titom mulai 1 September 2010. Beliau menggantikan Encik Roslan bin Abd Rahim yang bertukar ke Sekolah Kebangsaan Gintong, Jerantut. Semoga dengan segala pengalaman yang ditimba semasa bertugas sebagai Penyelia Sukan di Pejabat Pelajaran Daerah Lipis, Encik Ramli dapat membangunkan SK Titom ke tahap yang boleh dibanggakan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa, bertugas di sekolah pedalaman mempunyai cabaran dan dugaan yang sangat besar. Perjalanan untuk sampai ke sekolah tersebut pun sudah menjerihkan apatah lagi terpaksa mengajar murid-murid asli yang berbeza bahasa komunikasinya. Untuk berjaya di sekolah-sekolah seperti ini, kita bukan sahaja perlu ada iltizam yang tinggi malah daya tahan diri yang kuat. Harapan kita, Encik Ramli adalah calon terbaik untuk membawa perubahan kepada sekolah tersebut.

Pada tahun 2008 saya ke SK Titom dengan menaiki helikopter untuk majlis penyerahan kunci asrama sekolah tersebut. Perjalanan dari bandar Kuala Lipis ke SK Titom cuma 45 minit sahaja.

Pada tahun 2009 saya bersama rombongan Timbalan Menteri Pelajaran, Dato' Fuad Zakarshi ke SK Titom dengan menaiki kenderaan pacuan 4 roda. Kalau dengan heli cuma 45 minit, naik kenderaan darat ni, mahu 3 jam baru sampai. Duduk kat belakang memang teruk la..mana nak balance body lagi, nak mengelak dahan pokok la. Bila sampai rambut dah bertukar jadi 'brownish' dan rasa macam nak patah pinggang. Harap-harap abang Ramli kita boleh tahan semua ni.

Rezeki lagi...

Selagi tak habis bulan Syahwal, memang jenuhlah kita menikmati juadah-juadah seperti lemang, nasi impit, sate dan macam-macam lagi. Banyak pihak termasuk jabatan-jabatan dan individu-individu tertentu mengadakan rumah terbuka. Tidak ketinggalan, Pejabat Pelajaran Daerah Lipis juga mengadakan rumah terbuka pada 1 Oktober 2010 yang lalu. Majlis yang diberi nama Sambutan Hari Raya Aidil Fitri Warga Pelajaran Daerah Lipis itu dikelolakan oleh Kelab Staf PPD dan beberapa buah sekolah. Seperti tahun-tahun yang lalu, juadah-juadah untuk disajikan kepada para tetamu disumbangkan oleh sekolah-sekolah menengah di daerah Lipis.

Tetamu VIP yang hadir, Dato' Abu Jamal (Pegawai Daerah Lipis), Dato' Abdul Rahman bin Mohamad (ADUN Padang Tengku) dan beberapa orang wakil jabatan.

Pengetua SMK Kerambit, Tuan Haji Syed Mohamad, Pengetua SMK Padang Tengku, Pn. Rozita dan Pengetua SMK Orang Kaya Haji, Hajah Rosidah bersama beberapa orang tetamu sedang menikmati juadah yang disediakan

En. Hussaini Hj. Ibrahim (Setiausaha Kelab Staf) merupakan orang kuat yang berusaha memastikan sambutan hari raya tahun ini berjalan dengan lancar. Bagi pihak AJK Kelab staf, saya merakamkan jutaan terima kasih kepada beliau.

Di kesempatan ini, saya selaku Pengerusi Kelab Staf PPD Lipis, ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi sumbangan dalam bentuk kuih-muih, peralatan dan tenaga serta wang ringgit dalam menjayakan majlis ini. Semoga budi baik tuan / puan hanya Allah SWT sahaja membalasnya.


Sunday, October 3

Kursus oh kursus & indahnya tasik Kenyir

Dari 27 hingga 30 September 2010, saya dan En. Zainal Kamarudin (Penyelia Pembangunan PPD Lipis) telah menghadiri Kursus Perundangan Tanah Zon Timur di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu, Marang. Kursus selama 4 hari ini memberi fokus kepada langkah-langkah pengambilan balik tanah dan penjagaan tanah-tanah yang dimiliki oleh PTP (Pesuruhjaya Tanah Persekutuan). Kursus ini amat bermakna kepada saya sebagai Pegawai Aset. Saya berharap kursus-kursus sebegini akan diadakan dari masa ke semasa.

Dalam perjalanan ke Marang (menggunakan jalan Felda Aring - Kuala Berang) kami singgah di Pengkalan Gawi, tasik Kenyir untuk makan tengah hari. Banyak juga kedai-kedai makan di sini. Jalan Felda Aring agak teruk kerana berlubang-lubang akibat lori-lori balak dan bijih besi yang terlebih muatan. Namun jalan baru dalam proses pembinaan. Semoga dengan siapnya jalan baru itu nanti perjalanan dari Kuala Lipis ke Terengganu akan lebih cepat.
Rumah bot yang terdapat di Tasik Kenyir. Bot-bot ini boleh disewa untuk memancing di sekitar tasik. Untuk mengetahui kadar sewaannya bolehlah bertanya saudara Kamarul (019-9846012). Kalau nak ringankan kos, bolehlah berkongsi sehingga maksima 15 orang.
Kaunter tiket bot di Pengkalan Gawi, tasik Kenyir. Kepada yang berminat untuk memancing bolehlah datang ke sini. Katanya tasik ni banyak ikan kelah.

Bergambar di Jeti Marang. Jeti ini digunakan untuk ke Pulau Kapas. Tambang pergi balik ke Pulau Kapas RM30.00 untuk bot perlahan dan RM40.00 untuk bot laju. Sesiapa yang nak tempah bot dan chalet di Pulau Kapas bolehlah berhubung dengan saudara Man di no. telefon 019-9221859

Jamuan Raya Kelab Staf PPD Lipis

Pada malam 25 September 2010 (Sabtu), jamuan raya Kelab Staf PPD Lipis telah diadakan di Pusat Kokurikulum Kampung Lalang, Penjom. Kedudukan yang agak jauh dari jalan utama menyebabkan ramai ahli kelab tidak dapat hadir. Walau bagaimana pun kemeriahan tetap dirasai dengan riuh rendah anak-anak staf yang hadir. Menu special pada malam tersebut ialah kambing bakar, lemang dan nasi impit. Majlis ini tentu lebih menyeronokkan jika semua ahli dapat menghadirkan diri. Semoga pada masa-masa akan datang, kita akan mendapat komitmen yang lebih daripada semua ahli.

Thursday, September 23

Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri

Assalammualaikum dan salam sejahtera
Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Majlis Sambutan Hari Raya Aidil Fitri Warga Pelajaran Daerah Lipis dengan segala hormatnya menjemput semua Pengetua, Guru Besar, Guru Penolong Kanan, guru dan kakitangan pelajaran daerah Lipis ke majlis tersebut seperti ketetapan berikut :
Tarikh : 01 Oktober 2010 (Jumaat)
Masa : 3.00 hingga 5.00 petang
Tempat : Pejabat Pelajaran Daerah Lipis
Semoga kehadiran tuan / puan akan memeriahkan lagi majlis ini.
Sekian, terima kasih.

Sunday, September 19

Kenduri Tahlil & Jamuan Hari Raya

Pada hari sabtu (19 Sept) yang lalu, saya sekeluarga pulang ke Kampung Mela (sebuah kampung di daerah Lipis) bagi mengadakan kenduri tahlil dan jamuan hari raya di rumah arwah Chu Bian (bapa saudara isteri saya). Rumah itu kini didiami oleh Pak Cik Atan iaitu adik kepada arwah Chu Bian yang selama ini bergelandangan di Kelang, Selangor. Turut balik untuk majlis tersebut ialah kakak-kakak dan adik-adik ipar serta anak-anak saudara. Majlis yang diadakan secara gotong-royong bersama penduduk kampung Mela itu berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan bagi menjayakan majlis ini.

Penduduk kampung Mela bergotong-royong memasak lauk-pauk

Mak Saudara, ipar-ipar dan anak-anak saudara turut membantu bagi meringankan kerja-kerja pada hari tersebut

Bacaan tahlil

best betul orang Mela masak ikan patin gulai tempoyak, sedap weh

dah penat memasak, boleh le kita merasa pula

Sedap betul gayenya, sampai ada yang menambah tu

Sunday, September 12

Balik Kampung

Sempena Aidil Fitri tahun ni, saya ambil cuti 3 hari awal iaitu pada 7 September (Selasa) untuk pulang beraya di kampung. Kampung saya terletak di Kampung Pelubang, Mukim Bukit Tinggi, Jitra Kedah. Kami sekeluarga bertolak dari Kuala Lipis tepat pukul 1.00 tengah hari dan sampai di Kedah pada pukul 10.00 malam. Perjalanan melalui jalan Betau ke Ringlet dan turun ke Simpang Pulai sepatutnya lebih cepat, namun perjalanan sering terganggu kerana anak kedua saya, Ruzaini Imran asyik muntah sahaja. Dia tidak tahan dengan jalan yang berbengkang-bengkok antara Brinchang ke Simpang Pulai. Kesian betul tengok dia, sampai menangis-nangis.
Alhamdulillah, perjalanan di lebuh raya agak lancar kerana kereta masih belum banyak. Mungkin orang-ramai masih belum pulang beraya di kampung. Pulang awal 2 hari sebelum sambutan hari raya Aidil Fitri, memberi peluang kepada saya berbuka puasa bersama kedua-dua ibu bapa saya. Kepulangan saya telah menggembirakan hati mereka, ianya tergambar melalui riak ceria wajah mereka. Kesempatan balik awal ini juga saya gunakan untuk bershoping baju raya anak-anak di Sauoq Al-Bukhari, Alor Setar dan membeli beras pulut di Bukit Kayu Hitam.
Pada hari raya pertama, kami tidak ke mana-mana hanya menunggu tetamu datang ke rumah sahaja. Ramai juga jiran-jiran dan sanak saudara datang. Pada hari raya kedua, saya membawa emak saya berjalan-jalan ke rumah ibu-ibu dan bapa-bapa saudara. Seronok juga dapat jumpa sepupu-sepupu yang dah lama tak jumpa. Ada yang dah tak kenal pun. Pada hari raya ketiga, kami bertolak balik ke kuala Lipis.
Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana merahmati perjalanan pulang kami sekeluarga. Tiada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Nasib baik ada 'packing' juadah untuk berbuka kalau nak harap berbuka kat RNR memang tak merasa la, orang ramai sangat.

Sesekali berbuka kat tepi lebuh raya seronok juga

dah lama tak balik, banyak perubahan kat kampung

malam raya kalau tak main mercun dan bunga api rasa tak meriah pula. Ibu bapa kena la 'monitor' anak-anak, takut putus jari lak nanti

Emak saya, Che Taman binti Ishak sedang membalut ketupat. Umurnya dah 73 tahun.

Selamat hari raya Aidil Fitri

Wednesday, September 1

Tika Ramadan di penghujungnya...

Di kesempatan yang ada ini, saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua warga pendidik daerah Lipis serta pengunjung-pengunjung laman blog ini. Semoga Syahwal tahun ini dapat kita raikan dalam suasana yang gembira dan penuh kasih sayang. Kepada yang memandu untuk pulang beraya di kampung, berhati-hati dan bersabarlah agar kita selamat sampai.