Hari isnin, 24 Mei yang lalu saya membawa anak ke Hospital Temerloh untuk appointment. balik dari Temerloh anak-anak ajak singgah di Kuala Gandah. Sebenarnya saya dah pernah bawa dia orang ke 'Elephant Orphanage Sanctuary' dan Deerland Kuala Gandah ni. Namun, kebetulan untuk mengisi masa lapang, dalam perjalanan balik ke Lipis, kami singgahlah di Deerland Kuala Gandah. Deerland ni merupakan 'private zoo' yang terletak lebih kurang 10 minit perjalanan dari susur keluar lebuhraya (Lanchang). Untuk masuk ke zoo ni, pelancong akan dikenakan bayaran sebanyak RM5 bagi orang dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak. Haiwan yang terdapat di dalam zoo ini tidaklah banyak sangat. Namun, apa yang menariknya tentang zoo ini ialah kita boleh berada rapat dengan haiwan-haiwan ini. Kita boleh memberi rusa makan, bergambar dengan ular sawa dan memegang beruang.
Sunday, May 30
Program BAKSU Jabatan Pelajaran Pahang
Badan Kebajikan dan Sukan Jabatan Pelajaran Pahang (BAKSU) telah memilih Lipis sebagai destinasi program amal mereka bagi tahun ini. Program yang dikenali sebagai Konvoi Amal Bermotosikal itu tiba di Kuala Lipis pada 21 Mei 2010. Peserta konvoi seramai hampir 70 orang itu telah disambut oleh pegawai-pegawai PPD Lipis dan wakil MGB Lipis di hadapan SMK Kerambit dan seterusnya diiring hingga ke IPGM Tengku Ampuan Afzan. Pada 22 Mei, peserta konvoi ini telah mengadakan kerja amal dan sukan rakyat di Kampung Kemahang. Keesokan harinya sebelum bertolak balik ke kuantan, peserta konvoi ini telah diraikan oleh YB Dato' Abdul Rahman, ADUN Padang Tengku di Kampung Tempoyang. Tepat pukul 10.30 pagi, peserta konvoi ini telah bertolak balik.
YB Dato' Abdul Rahman melepaskan peserta-peserta Konvoi Amal Bermotosikal Jabatan Pelajaran Pahang
Wednesday, May 26
Hari Guru Warga PPD Lipis
Pada 21 Mei 2010 (Jumaat) Kelab Staf PPD Lipis telah menganjurkan sambutan Hari Guru. Semua warga PPD Lipis termasuk kakitangan bukan guru terlibat dalam sambutan ini. Program yang bermula pada pukul 8.30 pagi itu didahului dengan nyanyian lagu 'Negaraku' dan 'Guru Malaysia' oleh semua pegawai dan staf. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan PPD dan ceramah motivasi oleh En. Rushdan Nordin, Kaunselor PPD Lipis. Selepas berhenti rehat untuk minum pagi, majlis diteruskan dengan penceritaan pengalaman oleh 3 orang pegawai yang berpengalaman, diklamasi sajak dan berbalas pantun. Majlis diakhiri dengan cabutan nombor bertuah dan bertukar-tukar hadiah. Program yang julung-julung kali diadakan ini walaupun agak ringkas namun cukup bermakna bagi semua warga PPD Lipis.
Pegawai-pegawai dari kalangan guru menyanyikan lagu 'Guru Malaysia'
Tuan Haji Basirun, PPD Lipis memotong kek sempena sambutan Hari GuruPenyampaian sajak oleh Azrul & Geng
En. Abd Manaf menyampaikan sajak 'Hati Seorang Guru' dengan penuh semangat
Acara berbalas pantun yang disertai oleh En. Rokeman, En. Hazimin, En. Ramli, Puan Zaini, Puan Farina dan Cik Norhidaiyu
Tuesday, May 18
SK Senderut
Semalam (18 Mei 2010) saya bersama Pn. Zaini (Penyelia Kokurikulum) dan Pn. Samsiah (Penyelia ICT) telah melawat SK Senderut (sekolah orang asli). Tujuan lawatan tersebut ialah untuk mengenalpasti lokasi tapak untuk pembinaan kabin bilik darjah. Turut sama dalam lawatan tersebut ialah kontraktor terbabit dan Pembantu Teknik Awam, Jabatan Pelajaran Pahang. Kami bertolak dari PPD Lipis pada pukul 8.30 pagi dan sampai ke SK Senderut pada pukul 11.30 pagi. Perjalanan masuk ke sekolah tersebut dari simpang jalan utama (Simpang Tersang) sejauh 35 km sangat mencabar. Hanya kenderaan pacuan 4 roda dan motosikal sahaja boleh melalui jalan tersebut. Jika hari hujan keadaan akan bertambah rumit, kenderaan pacuan 4 rodapun mungkin tidak lepas. Kami bersyukur, walaupun langit agak gelap namun hujan tidak turun. Kesukaran jalan berlekuk-lekak itu agak terubat apabila dapat menyaksikan pemandangan yang menarik dengan sungai yang bersih. Sepanjang perjalanan itu juga, kami dapat menyaksikan perkampungan orang asli dan kebun tanaman mereka.
Sesampai di SK Senderut, kami disambut oleh tuan Guru Besar, Encik Ismail bin Haji Daud. Selepas berbual-bual di pejabat beliau, kami dibawa melihat tapak yang dicadangkan untuk pembinaan kabin tersebut. Pembinaan kabin yang akan menempatkan dua bilik darjah ini diharapkan dapat mengatasi masalah kekurangan bilik darjah di sekolah ini. Dengan jumlah murid hampir mencecah 600 orang keadaan bilik darjah di sekolah ini memang agak kritikal. Murid-murid terpaksa bersesak-sesak dalam bilik darjah yang sempit. Kami kemudiannya dibawa oleh Guru Besar ke dewan makan asrama untuk makan tengah hari.
Saya mengambil peluang lawatan ini untuk membuat sedikit pemantauan terhadap beberapa perkara terutama yang membabitkan komitmen guru-guru terhadap tugas masing-masing. Saya telah berbual-bual dengan beberapa orang guru untuk mendapat gambaran secara umum tentang proses P&P di sekolah tersebut. Seramai 17 orang guru lepasan ijazah (DG41) telah ditempatkan di sekolah ini. Semoga dengan ilmu yang mereka ada tahap pendidikan kanak-kanak orang asli ini dapat ditingkatkan. Kami bertolak balik pada pukul 2.00 petang. Takut juga nak balik lewat memandangkan langit semakin gelap, bimbang kalau-kalau tersangkut tengah-tengah hutan pula nanti. Dalam perjalanan pulang kami singgah sembahyang di Masjid Sungai Koyan dan 'pekena' teh tarik di salah sebuah gerai yang terdapat di situ. Pukul 6.00 petang kami sampai ke PPD Lipis.
.
Peta kedudukan SK Senderut .
kereta penuh lumpur (kena basuh kat kedai ni)(teringat cerita Haji Bakhil, Cikgu Murni...)
Berbincang dengan Guru Besar, En. Ismail b. Haji Daud
Menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak sekolahWednesday, April 28
Latihan Dalam Perkhidmatan (PPD Lipis)
Pada 24 dan 25 April 2010, Pejabat Pelajaran Daerah Lipis telah mengadakan Kursus Dalam Perkhidmatan yang bertajuk 'Leadership and Fitness For Officers'. Kursus yang memberi fokus kepada permainan woodball ini telah disampaikan oleh Cikgu Fairuz dari SMV Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Lipis. Kursus ini telah dihadiri oleh semua staff PPD Lipis kecuali beberapa orang pegawai yang terlibat dengan urusan rasmi yang lain. Kursus dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu teori dan praktikal. Bagi bahagian teori, kursus telah diadakan di Dewan Wacana Minda PPD Lipis, manakala bahagian praktikal pula diadakan di gelanggang woodball SMV SHAS. Tuan Haji Basirun (PPD Lipis) dan En. Hamdan (Timbalan PPD) turut juga menyertai kursus ini.
Cikgu Fairuz sedang menyampaikan ceramah beliau
Sebahagian staf yang hadirdengan tarian poco-poco
Kumpulan 8 ( saya, En. Ramli, Cik Illa dan Cik Aya ) menjadi johan pada perlawanan woodball kali ini. Tahniah semua.
Tuan Haji Basirun, PPD Lipis menyampaikan ucapan sempena majlis penyampaian hadiah. Beliau mencadangkan perlawanan woodball ini dijadikan perlawanan bulanan.Monday, April 19
Geruh
Di rembang Jumaat, 9 April 2010, anak saya Ikhwan Hariz (14 tahun) ditimpa musibah. Basikal yang dinaikinya telah bertembung dengan sebuah motosikal di jalan Tempoyang. Penunggang motosikal tersebut ialah pelajar tingkatan 4 sekolah yang sama dengan anak saya. Impak daripada pertembungan itu, anak saya telah patah tangan kanan dan retak tulang pipinya. Kesnya terpaksa dirujuk ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (HSHAS) kerana berlaku pendarahan hidung yang tidak henti-henti dan bengkak yang besar pada mata dan pipinya. Di HSHAS, anak saya telah dirawat oleh 5 doktor pakar iaitu pakar tulang, pakar mata, pakar hidung, pakar gigi dan pakar tekak. Saya dan isteri menemani anak saya ini sepanjang berada di HSHAS. Kami berada di sana selama 4 malam. Pada 13 April kami dibenarkan pulang tetapi diminta datang semula pada 19 April untuk pembedahan bagi memasukkan besi pada tangannya. Namun ketika saya pergi ke HSHAS pada 18 April, saya dimaklumkan semua 'operation theatre' tidak boleh digunakan kerana berlaku kerosakan pada sistem pendinginnya. Pembedahan terpaksa ditangguhkan ke minggu hadapan. Pihak hospital mencadangkan kes anak saya ini dirujuk semula ke Hospital Kuala Lipis. Saya bersetuju dengan cadangan ini, memandangkan ia berdekatan dengan tempat tinggal saya. Maka setelah mendapatkan semua dokumen yang diperlukan, saya pun membawa anak saya ke Hospital Kuala Lipis. Lebih kurang pukul 4.30 petang anak saya di masukkan ke wad Melur. Saya diberitahu oleh doktor bahawa pembedahan terpaksa ditangguhkan hingga hari Khamis (22 April) kerana anak saya mengalami selsema dan batuk.
Di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh (9 hingga 13 April 2010)
Firman Allah s.w.t :
" Berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang pada waktu ditimpa musibah, mereka berkata : Sesungguhnya kami adalah milik Allah, dan kepada-Nyalah kami akan kembali, mereka itulah yang akan mendapat keberkatan dan rahmat dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang memperolehi petunjuk."
(Surah Al-Baqarah, ayat 156 & 157)
Bersedia untuk masuk ke bilik pembedahan (22 April 2010)
Pada pukul 12.50 tengah hari (22 April) isteri saya menelefon memaklumkan bahawa anak saya sudah sedia untuk dibawa ke bilik bedah. Saya bergegas ke hospital dari tempat kerja yang cuma 5 minit perjalanan sahaja. Sesampai sahaja di hospital, saya lihat anak saya sudah terbaring di atas stretcher dengan kepalanya berbalut. Tepat jam 1.15 petang, anak saya ditolak masuk ke bilik bedah. Walaupun ini merupakan pengalaman kedua anak saya dibedah, namun rasa khuatir tetap menguasai fikiran saya. Tambahan lagi anak saya menangis mahu saya mengiringinya ke dalam bilik bedah. Ketika doktor meminta saya meninggalkan bilik itu, anak saya meminta saya mengesat air matanya. Sesungguhnya saat inilah yang paling sukar bagi saya. Dalam sendu suaranya menyebut 'abah tunggu ya', saya mengatur langkah berat meninggalkan bilik bedah itu. Tiada apa yang mampu dibuat selain berdoa dan berserah kepada Allah sahaja. Selepas menunggu selama 2 jam di luar bilik bedah, doktor memanggil saya masuk. Alhamdulillah, pembedahan sudah selesai dan anak saya sudah mula sedar. Dia mengadu kesakitan dan minta saya memangku tangannya. Sekitar pukul 3.20 petang, anak saya dibawa kembali ke wad Melur. Malam itu saya menemani anak saya di wad. Sepanjang malam dia mengadu kesakitan dan kerap muntah (mungkin kesan ubat bius masih terasa). Pada 24 April dia dibenarkan keluar wad.
Selepas pembedahan (22 April 2010)Firman Allah s.w.t :" Dan kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai dugaan; Dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan"
(Surah Al-Anbiya, ayat 35)
Empat hari selepas pembedahanRuzaini Imran dan Ikhwan Hariz sedang makan sate di cafeteria Hospital SHAS, Temerloh selepas appointment di Klinik Pakar ENT pada 26 April 2010 (Isnin)
Penghargaan dan Terima kasih
Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat menghulurkan pertolongan kepada anak saya Ikhwan Hariz. Kepada para doktor dan jururawat di Hospital Kuala Lipis dan HSHAS Temerloh yang telah merawat anak saya dengan penuh kesabaran, jutaan terima kasih saya ucapkan. Terima kasih juga kepada saudara mara dan sahabat handai yang datang menziarah. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas budi baik kalian semua. Doa saya, kalian semua dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.
Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang terlibat menghulurkan pertolongan kepada anak saya Ikhwan Hariz. Kepada para doktor dan jururawat di Hospital Kuala Lipis dan HSHAS Temerloh yang telah merawat anak saya dengan penuh kesabaran, jutaan terima kasih saya ucapkan. Terima kasih juga kepada saudara mara dan sahabat handai yang datang menziarah. Hanya Allah SWT sahaja yang dapat membalas budi baik kalian semua. Doa saya, kalian semua dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.
Catatan ini teman baca semula pada 17 Disember 2013, jam 10.32 malam.
Anak teman ini, kini sedang menuntut di Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatic, Kuala Lumpur. Ikhwan dalam proses mendapatkan Diploma Teknologi Maklumat. Semoga Allah SWT merahmati anak teman ini agar dia berjaya dalam hidupnya.
Wednesday, April 14
Pergi Tak Kembali
Pada pukul 8.59 pagi tadi (15/4/2010) saya menerima sms daripada Encik Halimi bin Ghazali, Penolong Pengarah (Aduan & Siasatan) Jabatan Pelajaran Pahang memaklumkan bahawa Encik Abd Hadi bin Mat Yassim, Penyelia Unit Rendah JPNP telah kembali kerahmatullah. Kali terakhir saya berjumpa beliau ialah pada bulan Februari yang lalu semasa hadir mesyuarat Aset di JPNP. Pemergian Encik Abd Hadi agak menyentuh perasaan saya kerana kami sama-sama pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Penjom pada tahun 1989. Pengalaman yang tidak dapat saya lupakan ketika bersama beliau ialah sewaktu kami terpaksa menyiapkan buku program sukan tahunan SK Penjom pada tahun 1990. Atas sebab-sebab tertentu, buku program tersebut terpaksa disiapkan pada malam sebelum sukan diadakan. Pada waktu itu mesin risograph belum ada lagi, jadi kami terpaksa menggunakan mesin gestetner yang digerakkan dengan menggunakan tangan. Kepada yang pernah menggunakan mesin ini tentu tahu betapa lecehnya menggunakan mesin manual ini. Macam-macam dugaan berlaku, yang paling teruk jika kertas stencil terkoyak atau terputus langsung. Namun dugaan yang paling hebat pada malam itu ialah apabila tiba-tiba sahaja 'blackout' jadi mengelabahlah kami, esok dah nak sukan. Arwah Cikgu Hadi kata tak apa, kita cari lilin. Maka pada malam itu, bertungkus lumuslah kami menyiapkan buku program tersebut dalam kesamaran cahaya lilin. Alhamdulillah, keesokannya buku itu diedarkan pada tetamu tanpa seorangpun tahu kesukaran menyiapkannya.
Kepada Allahyarham Cikgu Abd Hadi, semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan roh orang-orang yang beriman. Al-fatihah.
Membakar ayam sempena Jamuan Akhir Tahun 1989 Sekolah Kebangsaan Penjom
Dari kiri : En. Hasbi (sekarang Guru Besar SK Berchang), Allahyarham Cikgu Abd Hadi, Cikgu Kamaruzaman Mubin (dah pindah ke Johor), Ustaz Anwar Ismail (sekarang mengajar di SK Berchang), saya dan Encik Mohamad Zakaria (Guru Besar SK Penjom pada waktu itu, sekarang sudah bersara)
Dari kiri : En. Hasbi (sekarang Guru Besar SK Berchang), Allahyarham Cikgu Abd Hadi, Cikgu Kamaruzaman Mubin (dah pindah ke Johor), Ustaz Anwar Ismail (sekarang mengajar di SK Berchang), saya dan Encik Mohamad Zakaria (Guru Besar SK Penjom pada waktu itu, sekarang sudah bersara)
Tuesday, April 13
Pemantauan Bersepadu SK Kechau Tui
Pada 14 April 2010 (Rabu) saya bersama 11 orang pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah Lipis telah mengadakan pemantauan bersepadu di Sekolah Kebangsaan Kechau Tui, 27100 Padang Tengku. Pemantauan ini diketuai oleh Encik Hamdan bin Harun, Timbalan PPD Lipis. Pemantauan ini bertujuan membantu pihak pengurusan sekolah memantapkan organisasi sebagai sekolah yang berkesan dan menunjukkan peningkatan dalam semua segi. Selain itu, pemantauan ini juga untuk memaklumkan kekuatan yang ada di sekolah dan kelemahan yang perlu diurus dan ditangani secara bersistematik. Diharapkan pemantauan ini dapat menyuntik semangat ingin berjaya dalam kalangan guru-guru ke arah menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti.
Subscribe to:
Posts (Atom)






