Akhirnya...14 tahun selepas mengikuti kursus National Professional
Qualification For
Headship Diploma Programme (NPQH) di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands selama setahun dan kemudian mengikuti pula Program Pensiswazahan Guru Besar di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim selama 2 tahun setengah, hasrat menjadi pemimpin sekolah akan tercapai. Tahkala tempoh perkhidmatan masih berbaki 10 tahun lagi, teman memberanikan diri untuk menyahut cabaran baru ini. Tanggungjawab dan beban tugas, barangkali hampir sama sahaja dengan jawatan yang teman pegang sekarang. Namun, lain padang tentu lain belalangnya.
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) melalui Anjakan 5 iaitu 'Memastikan pemimpin sekolah berprestasi tinggi di setiap sekolah' yang mensyaratkan semua calon yang akan dipertimbangkan untuk jawatan Pengetua dan Guru Besar mempunyai sijil NPQH atau NPQEL telah membangkit semula keinginan teman untuk mencuba nasib sebagai pemimpin sekolah. Walaupun semangatnya tak sehebat 14 tahun yang lalu, namun dorongan serta galakan rakan-rakan mengheret teman berhadapan panel penemuduga pada 20 Ogos yang lalu.
Gambar : Berkongsi debaran bersama saudara Shawaludin Abu dan saudara Borhan Long, saat menunggu giliran untuk ditemuduga di BTPN Pahang.
Alhamdulillah...3 bulan selepas ditemuduga, kami bertiga termasuk dalam senarai yang lulus. Ketika dihubungi oleh pegawai dari Unit Naik Pangkat JPN Pahang untuk meminta kami datang ke JPN pada 2 Disember 2014, teman dapat merasakan bahawa masanya sudah tiba.
Gambar : Berkongsi debaran sekali lagi, saat menunggu giliran nama dipanggil untuk menerima surat penempatan. Teman pasrah di mana sahaja...
Menerima surat pelantikan daripada En. Rosdi Ismail (Dato'), Pengarah Pendidikan Pahang. Terima kasih Tuan Pengarah, Tuan Ketua Sektor, Tuan Ketua Penolong Pengarah dan Ketua Unit Pengurusan Sekolah Rendah JPN Pahang...budi baik tuan-tuan semua hanya Allah sahaja yang mampu membalasnya. Terima kasih juga buat Tuan Haji Misnan bin Haji Mohd Damin, Pegawai Pendidikan Daerah Lipis yang telah memberi tunjuk ajar sebagai panduan kepada kami ketika berhadapan dengan panel penemuduga dahulu. Tahniah teman ucapkan kepada sahabat teman saudara Shawaludin Abu yang dilantik sebagai Guru Besar SK Kampung Raja dan saudara Borhan Long sebagai Guru Besar SK Jeram Landak.
Teman pula telah ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Pagar Sasak. 39 km dari Pejabat Pendidikan Daerah Lipis. Kalau memandu laju barangkali 30 minit boleh sampai. Sepanjang berhidmat sebagai Penolong PPD Menengah, hanya 2 kali teman ke sekolah ini. Satu untuk majlis jamuan hari raya dan yang keduanya ketika menyertai pertandingan woodball persahabatan antara staf PPD dengan SK Pagar Sasak. Mengikut data, sekolah ini mempunyai 18 orang guru, 5 orang kakitangan sokongan dan 159 orang murid. Semoga teman dapat melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberi ini dengan cemerlang. Pengetahuan yang diperolehi 14 tahun yang lalu, barangkali tidak sepadan lagi dengan perkembangan pendidikan masakini. Teman mesti belajar dengan cepat agar mampu menggalas tanggungjawab sebagai agen transformasi pendidikan. Sesungguhnya...teman bukanlah yang terbaik tetapi teman ingin menjadi antara yang terbaik...bantulah teman untuk merealisasikan hasrat ini.
15 Disember 2014, teman memulakan tugas di SK Pagar Sasak. Semoga mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada mantan Guru Besar, Tuan Haji Ishak Mohamad yang bertukar ke SK Relong.
Di sini...cabaran baru bermula.
TUGAS-TUGAS AKHIR SEBAGAI PENOLONG PPD MENENGAH
Menghadiri Mesyuarat Verifikasi Data eOperasi Sekolah-Sekolah Menengah Negeri Pahang bersama sahabat teman saudara Arif Umar di Capitol Hotel, Kuala Lumpur pada 27 hingga 29 November 2014.
Di hotel yang sama pada 7 hingga 10 Disember 2014, teman bersama Pegawai ICT PPD Lipis, saudara Khairul Azli menghadiri Mesyuarat Pemilihan Murid-Murid Sekolah Rancangan Khas.
No comments:
Post a Comment