Oktober 14, di anjung tingkat 4, Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar
Kubuang jauh-jauh pandangan ke ufuk barat, saat mentari kian runduk
Di atas katil 21 Wad Kenanga, terbaring kaku sekujur tubuh yang sudah beberapa hari tidak sedar
Insan banyak berjasa ini, sedang jenuh menarik nafas...bagaikan itulah yang terakhir
Ritma jantungnya jelas tidak teratur di monitor cardiotocograph
Aku memerhati mega merah di kaki langit...senja akan datang mengambil giliran
Di sudut hatiku cemas berbicara, Tuhan...panjanglah umur ayahku
Oktober 19, panggilan dinihari jam 2.15 pagi, mengejutkan aku dari lena
Nama kakakku terpapar pada skrin telefon bimbit
Aku sudah dapat menelah apa yang akan beliau lafazkan
suara yang terputus-putus diselang seli dengan esakan sudah cukup mengambarkan apa yang berlaku
Di katil 21 Wad Kenanga, Malaikat Izrail datang menunaikan tanggungjawabnya
2.05 pagi, doktor mengesahkan ayah sudah meninggal dunia
Aku mengejutkan isteri dan anak-anak
Berkemas lebih kurang, kami bertolak balik sekitar jam 3.00 pagi
Perjalanan hampir 10 jam pulang ke kampung begitu memenatkan
Aku ingin segera sampai...
Berpeluangkah aku untuk menatap wajah ayah buat kali yang terakhir
Tuhan menentukan segala-galanya, saat aku melangkah masuk ke dalam rumah, hanya bahagian muka ayah sahaja yang masih belum ditutup dengan kain kapan.
Aku, isteri dan anak-anak mengambil giliran mencium dahi dan pipi ayah.
Sepanjang perjalanan pulang, tiada setitis air mata terbit dari kelopak mataku Begitu juga saat
mengucup dahi ayah untuk kali pertama dan terakhir
Aku masih kuat untuk
mengatasi rasa sedih yang mencengkam
cuma...saat jenazah ayah diusung keluar, kesedihan tak dapat lagi dibendung.
Air mata deras mengalir di pipi...ayah akan pergi untuk selamanya.
Sewaktu kecil dahulu, aku kurang bercakap dengan ayah. Sikap ayah yang serius menyebabkan aku tak berani meminta apa-apa daripada beliau. Namun, apa yang aku hajatkan selalunya dapat melalui emak. Emaklah penghubung antara aku dan ayah. Kadang-kadang aku cemburu melihat adik bermanja dengan ayah. Namun aku tahu, ayah juga sayang padaku...
Aku masih ingat lagi ketika belajar di Darjah Enam SKAAT Tok Jalai, dalam Majlis Penyampaian Hadiah hujung tahun, aku menerima 3 hadiah iaitu markah terbaik subjek Ilmu Alam, Pendidikan Seni dan Tempat Kedua dalam kelas. Dua malam sebelum majlis itu aku mengadu kepada emak seluar sekolahku koyak, nanti malu nak naik pentas ambil hadiah. Petang keesokannya aku lihat ayah pulang dari pekan bersama seluar baru, hanya tuhan yang tahu betapa gembiranya aku waktu itu. Ketika majlis berlangsung, aku sangat berharap ayah datang. Berkali-kali aku mengintai di luar tingkap mengharapkan susuk tubuh ayah muncul. Ya...dari kejauhan aku lihat ayah menyandarkan basikalnya disepohon pokok dan melangkah masuk di belakang dewan. Ketika nama dipanggil, aku bangun dan dengan bangga naik ke pentas. Saat itu aku ingin melihat wajah ayah, aku mahu dia turut bangga kerana namanya juga disebut bersama namaku. Mungkin senyuman ayah yang inilah paling aku ingat. Selesai majlis, aku mencari ayah untuk kutunjukkan hadiah yang diterima. Aku ke pokok di tempat ayah menyandar basikalnya...ayah sudah tiada, dia sedang mengayuh basikalnya pulang...
Usaha dan pengorbananmu, ayah...pasti aku ingat sampai bila-bila.
Terima kasih ayah...semoga rohmu tenang di sana.
No comments:
Post a Comment