Pages

Friday, November 14

Program Peningkatan Kualiti Sekolah-Sekolah Murid Asli Lipis

Salam untuk semua,


Semalam (November 14) berlangsung Mesyuarat Peningkatan Kualiti Sekolah-Sekolah Murid Asli Daerah Lipis. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dato' Rosdi Ismail, Pengarah Pendidikan Pahang ini turut dihadiri oleh jabatan-jabatan lain seperti JAKOA, Jabatan Kesihatan dan Pejabat Daerah.


Satu program yang berfokuskan kepada peningkatan kehadiran murid asli ke sekolah akan dilaksanakan mulai November 2014 hingga April 2015. Empat sekolah murid asli telah dikenalpasti untuk melaksanakan program ini iaitu SK Titom, SK Lenjang, SK Betau dan SK Senderut. Program ini nanti memerlukan penglibatan aktif empat pihak iaitu Pejabat Kesihatan, JAKOA, Tok Batin dan Guru Besar. 

Sasaran yang ingin dicapai ialah kehadiran 90% murid asli ke sekolah menjelang bulan April 2015. Jabatan Kesihatan berperanan untuk memberi khidmat bantu penjagaan kesihatan kepada penjaga dan murid, JAKOA akan menyediakan pengangkutan, bantuan kewangan dan khidmat motivasi, Tok Batin akan berusaha mempengaruhi ibu bapa menggalakkan anak-anak hadir ke sekolah dan mereka sendiri menghadiri kelas KEDAP. Guru Besar pula berperanan memantau pelaksanaan program ini untuk guru-guru, memastikan semua murid terlibat dan persekitaran sekolah sentiasa kondusif.


Dato' Pengarah menyerahkan Sijil Memorandum of Understanding kepada Encik Shamsudin Basir, Guru Besar SK Betau sebagai simbol pelancaran program ini. Prestasi semasa kehadiran murid SK Betau ialah 71.47% (134 orang murid tidak hadir setiap hari). Rasanya tiada masalah Cikgu Din nak capai KPI yang ditetapkan oleh Tuan Pengarah tu.


Encik Zainal Abidin Mohamad, Guru Besar SK Lenjang nampaknya tidak menghadapi cabaran besar untuk mencapai 90% sasaran yang ditetapkan kerana prestasi semasa sekolah ini ialah 80.34%. Nak cari 9.66% lagi je Cikgu Zainal.


Tugas berat sedang menanti Encik Abd Manaf Mat, Guru Besar SK Senderut kerana prestasi semasa sekolah ini yang agak jauh daripada sasaran yang ingin dicapai. Kehadiran murid setiap hari ke sekolah ini cuma 67.02% sahaja. Namun beban ini bukan hanya ditanggung oleh Cikgu Manaf seorang sahaja tetapi semua pihak yang terlibat dalam program ini. Semoga apa yang diluahkan oleh Cikgu Manaf berkaitan kemudahan fasarana di sekolah tersebut akan diberi perhatian oleh Tuan Pengarah.


Guru Besar SK Titom yang baharu dan masih muda, Encik Hami Fazli Khamis diharapkan dapat menggerakkan program ini dengan jayanya. Prestasi kehadiran semasa iaitu 71.47% rasanya boleh dipertingkatkan dengan kerjasama JAKOA, terutama bagi menyediakan pengangkutan kepada murid-murid yang tinggal jauh dari sekolah.


Tuan Haji Misnan Haji Mohd Damin, Pegawai Pendidikan Daerah Lipis menyampaikan cenderamata kepada En. Sembunyi, Pegawai Jabatan Kebajikan Orang Asli Lipis (JAKOA). Semoga JAKOA dapat membantu kita untuk mengadakan kempen agresif bagi mengajak ibu bapa serta komuniti orang asli terlibat dalam program murni ini.


Harapan yang tinggi juga kita sandarkan kepada Jabatan Kesihatan untuk turut bersama-sama kita merealisasikan sasaran 90% kehadiran murid asli ke sekolah menjelang April 2015.

No comments: