Pages

Wednesday, November 19

Selamat bersara tuan Pengetua

Salam buat semua,
Pada 13 November 2014, bertempat di Hotel Centrepoint, Kuala Lipis telah berlangsung Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 warga pendidikan daerah Lipis. Majlis diserikan dengan kehadiran Dato' Mustafa Long, ADUN kawasan Padang Tengku.

Seramai 141 orang penerima anugerah telah hadir. Terima kasih kepada guru-guru yang telah bersara kerana turut hadir. Kepada semua penerima APC, semoga kecemerlangan yang telah ditunjukkan sepanjang tahun 2013 akan diteruskan ke tahun-tahun mendatang.

Terima kasih kepada semua ahli jawatankuasa yang telah bertungkus lumus untuk memastikan masjlis ini berjalan dengan lancar. Simple tetapi tetap meriah.

Pada 13 November 2014, teman telah dijemput ke SK Lanai untuk sama-sama memeriahkan Majlis Graduasi Kelas Dewasa Orang Asli dan Pribumi (KEDAP)

Tetamu khas Dato' Jaafar, Pengarah IPGM Tengku Ampuan Afzan menyampaikan ucapan serta merasmikan majlis ini. Tahniah kepada SK Lanai kerana berjaya menganjurkan majlis yang julung-julung kali diadakan ini. Harap-harap sekolah lain yang ada kelas KEDAP bolehlah mencontohi SK Lanai.

Best betul persembahan nasyid oleh murid-murid SK Lanai ni. Dengar kata dia orang ni dapat naib johan dalam pertandingan nasyid peringkat daerah. Kalau diasah bakat dia orang ni, boleh jadi johan tahun hadapan.

Pada malam 11 November 2014 berlangsung Majlis Sulaman Kasih Junjungan Budi sempena persaraan Tuan Haji Syed Mohamed bin Syed Agil, Pengetua SMK Orang Kaya Haji di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lipis.

Terima kasih kerana sudi menjemput kami daripada Pejabat Pendidikan Daerah Lipis.

Tuan Haji Misnan, Pegawai Pendidikan Daerah menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Tuan Haji Syed Mohamed. Selamat bersara tuan haji, semoga sentiasa sihat dan bahagia di samping keluarga.

Pada  petang 11 November 2014, PPD Lipis telah menerima kunjungan rombongan daripada PPD Gombak.

Pn. Zarina Manja, Pegawai Kualiti PPD Lipis sedang menyampaikan taklimat berkaitan EKSA. Sebelum itu, Tuan Haji Misnan telah menyampaikan taklimat berkaitan pelaksanaan PrOD di daerah Lipis.

Tuan Haji Misnan menyampaikan cenderamata kepada Pn. Dayang Fatimah, Pegawai Pendidikan Daerah Gombak. Ada ruang nanti kita berkunjung ke PPD Gombak pula ya...

Bergambar bersama YB Dato' Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II sempena Majlis Sambutan Bulan Bahasa yang diadakan di IPGM TAA Kuala Lipis pada 27 Oktober yang lalu.

Bersalam dengan Tuan KPPM dan Timbalan KPPM. Emm...bukan senang nak dapat bersalam dengan orang-orang besar KPM.

Friday, November 14

Program Peningkatan Kualiti Sekolah-Sekolah Murid Asli Lipis

Salam untuk semua,


Semalam (November 14) berlangsung Mesyuarat Peningkatan Kualiti Sekolah-Sekolah Murid Asli Daerah Lipis. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Dato' Rosdi Ismail, Pengarah Pendidikan Pahang ini turut dihadiri oleh jabatan-jabatan lain seperti JAKOA, Jabatan Kesihatan dan Pejabat Daerah.


Satu program yang berfokuskan kepada peningkatan kehadiran murid asli ke sekolah akan dilaksanakan mulai November 2014 hingga April 2015. Empat sekolah murid asli telah dikenalpasti untuk melaksanakan program ini iaitu SK Titom, SK Lenjang, SK Betau dan SK Senderut. Program ini nanti memerlukan penglibatan aktif empat pihak iaitu Pejabat Kesihatan, JAKOA, Tok Batin dan Guru Besar. 

Sasaran yang ingin dicapai ialah kehadiran 90% murid asli ke sekolah menjelang bulan April 2015. Jabatan Kesihatan berperanan untuk memberi khidmat bantu penjagaan kesihatan kepada penjaga dan murid, JAKOA akan menyediakan pengangkutan, bantuan kewangan dan khidmat motivasi, Tok Batin akan berusaha mempengaruhi ibu bapa menggalakkan anak-anak hadir ke sekolah dan mereka sendiri menghadiri kelas KEDAP. Guru Besar pula berperanan memantau pelaksanaan program ini untuk guru-guru, memastikan semua murid terlibat dan persekitaran sekolah sentiasa kondusif.


Dato' Pengarah menyerahkan Sijil Memorandum of Understanding kepada Encik Shamsudin Basir, Guru Besar SK Betau sebagai simbol pelancaran program ini. Prestasi semasa kehadiran murid SK Betau ialah 71.47% (134 orang murid tidak hadir setiap hari). Rasanya tiada masalah Cikgu Din nak capai KPI yang ditetapkan oleh Tuan Pengarah tu.


Encik Zainal Abidin Mohamad, Guru Besar SK Lenjang nampaknya tidak menghadapi cabaran besar untuk mencapai 90% sasaran yang ditetapkan kerana prestasi semasa sekolah ini ialah 80.34%. Nak cari 9.66% lagi je Cikgu Zainal.


Tugas berat sedang menanti Encik Abd Manaf Mat, Guru Besar SK Senderut kerana prestasi semasa sekolah ini yang agak jauh daripada sasaran yang ingin dicapai. Kehadiran murid setiap hari ke sekolah ini cuma 67.02% sahaja. Namun beban ini bukan hanya ditanggung oleh Cikgu Manaf seorang sahaja tetapi semua pihak yang terlibat dalam program ini. Semoga apa yang diluahkan oleh Cikgu Manaf berkaitan kemudahan fasarana di sekolah tersebut akan diberi perhatian oleh Tuan Pengarah.


Guru Besar SK Titom yang baharu dan masih muda, Encik Hami Fazli Khamis diharapkan dapat menggerakkan program ini dengan jayanya. Prestasi kehadiran semasa iaitu 71.47% rasanya boleh dipertingkatkan dengan kerjasama JAKOA, terutama bagi menyediakan pengangkutan kepada murid-murid yang tinggal jauh dari sekolah.


Tuan Haji Misnan Haji Mohd Damin, Pegawai Pendidikan Daerah Lipis menyampaikan cenderamata kepada En. Sembunyi, Pegawai Jabatan Kebajikan Orang Asli Lipis (JAKOA). Semoga JAKOA dapat membantu kita untuk mengadakan kempen agresif bagi mengajak ibu bapa serta komuniti orang asli terlibat dalam program murni ini.


Harapan yang tinggi juga kita sandarkan kepada Jabatan Kesihatan untuk turut bersama-sama kita merealisasikan sasaran 90% kehadiran murid asli ke sekolah menjelang April 2015.

Saturday, November 8

Terima kasih ayah...

Salam untuk semua,
Oktober 14, di anjung tingkat 4, Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar
Kubuang jauh-jauh pandangan ke ufuk barat, saat mentari kian runduk
Di atas katil 21 Wad Kenanga, terbaring kaku sekujur tubuh yang sudah beberapa hari tidak sedar
Insan banyak berjasa ini, sedang jenuh menarik nafas...bagaikan itulah yang terakhir
Ritma jantungnya jelas tidak teratur di monitor cardiotocograph
Aku memerhati mega merah di kaki langit...senja akan datang mengambil giliran
Di sudut hatiku cemas berbicara, Tuhan...panjanglah umur ayahku

Oktober 19, panggilan dinihari jam 2.15 pagi, mengejutkan aku dari lena
Nama kakakku terpapar pada skrin telefon bimbit
Aku sudah dapat menelah apa yang akan beliau lafazkan
suara yang terputus-putus diselang seli dengan esakan sudah cukup mengambarkan apa yang berlaku
Di katil 21 Wad Kenanga, Malaikat Izrail datang menunaikan tanggungjawabnya
2.05 pagi, doktor mengesahkan ayah sudah meninggal dunia
Aku mengejutkan isteri dan anak-anak
Berkemas lebih kurang, kami bertolak balik sekitar jam 3.00 pagi
Perjalanan hampir 10 jam pulang ke kampung begitu memenatkan
Aku ingin segera sampai...
Berpeluangkah aku untuk menatap wajah ayah buat kali yang terakhir
Tuhan menentukan segala-galanya, saat aku melangkah masuk ke dalam rumah, hanya bahagian muka ayah sahaja yang masih belum ditutup dengan kain kapan. 
Aku, isteri dan anak-anak mengambil giliran mencium dahi dan pipi ayah.

Sepanjang perjalanan pulang, tiada setitis air mata terbit dari kelopak mataku Begitu juga saat mengucup dahi ayah untuk kali pertama dan terakhir
Aku masih kuat untuk mengatasi rasa sedih yang mencengkam
cuma...saat jenazah ayah diusung keluar, kesedihan tak dapat lagi dibendung.
Air mata deras mengalir di pipi...ayah akan pergi untuk selamanya.

Sewaktu kecil dahulu, aku kurang bercakap dengan ayah. Sikap ayah yang serius menyebabkan aku tak berani meminta apa-apa daripada beliau. Namun, apa yang aku hajatkan selalunya dapat melalui emak. Emaklah penghubung antara aku dan ayah. Kadang-kadang aku cemburu melihat adik bermanja dengan ayah. Namun aku tahu, ayah juga sayang padaku...
Aku masih ingat lagi ketika belajar di Darjah Enam SKAAT Tok Jalai, dalam Majlis Penyampaian Hadiah hujung tahun, aku menerima 3 hadiah iaitu markah terbaik subjek Ilmu Alam, Pendidikan Seni dan Tempat Kedua dalam kelas. Dua malam sebelum majlis itu aku mengadu kepada emak seluar sekolahku koyak, nanti malu nak naik pentas ambil hadiah. Petang keesokannya aku lihat ayah pulang dari pekan bersama seluar baru, hanya tuhan yang tahu betapa gembiranya aku waktu itu. Ketika majlis berlangsung, aku sangat berharap ayah datang. Berkali-kali aku mengintai di luar tingkap mengharapkan susuk tubuh ayah muncul. Ya...dari kejauhan aku lihat ayah menyandarkan basikalnya disepohon pokok dan melangkah masuk di belakang dewan. Ketika nama dipanggil, aku bangun dan dengan bangga naik ke pentas. Saat itu aku ingin melihat wajah ayah, aku mahu dia turut bangga kerana namanya juga disebut bersama namaku. Mungkin senyuman ayah yang inilah paling aku ingat. Selesai majlis, aku mencari ayah untuk kutunjukkan hadiah yang diterima. Aku ke pokok di tempat ayah menyandar basikalnya...ayah sudah tiada, dia sedang mengayuh basikalnya pulang...

Usaha dan pengorbananmu, ayah...pasti aku ingat sampai bila-bila.


Terima kasih ayah...semoga rohmu tenang di sana.