Pages

Tuesday, December 7

Bah di Utara

Stesen minyak di Kepala Batas turut dinaiki air

Pada 4 November 2010, saya menerima panggilan telefon daripada salah seorang kakak saya, memaklumkan bahawa rumah ayah saya yang terletak di Kampung Pelubang, Mukim Bukit Tinggi, Jitra, Kedah telah dinaiki air. Terkejut amat saya, kerana selama saya dibesarkan di kampung itu belum pernah rumah itu dinaiki air. Memang banjir tahun ini agak luarbiasa. Selama ini jika banjir melanda, kampung Pelubang ni memang dinaiki air tetapi rumah ayah saya sentiasa terselamat. Namun kali ini, hampir satu kampung dinaiki air. Kakak saya beritahu semua penduduk kampung ditempatkan di masjid. Dua malam jugalah mereka terpaksa makan nasi kawah kat masjid tu. Bila air surut, keadaan memang mengharukan. Selain kekotoran yang dibawa masuk oleh air hampir semua perabut dan tilam yang tidak sempat diselamatkan telah rosak dan tidak boleh digunakan lagi. Bagi kedua mak dan ayah saya yang sudah tiada khudrat lagi, mengharapkan anak-anak dan cucu-cucu lah yang datang menolong membersihkan rumah.
Paling sedih apabila mereka terpaksa menyambut Hari Raya Aidil Adha seminggu selepas itu dalam keadaan yang amat tidak selesa. Saya berhajat untuk pulang pada hari raya itu untuk melihat keadaan yang berlaku dan menolong apa yang boleh. Namun atas sebab tugas, saya terpaksa membatalkan niat itu. Namun pada 26 November yang lalu saya mencuri sedikit masa untuk pulang menjenguk mereka. Sedih mata melihat tentu lebih sedih insan yang menanggungnya. Namun kita percaya setiap musibah tentu ada kebaikan di sebaliknya.

Emak saya, Che Taman binti Ishak (73 tahun) dan ayah saya, Abd Hamid bin Ismail (75 tahun)

Keadaan dapur yang tunggang-langgang. Kesian mak saya, kena kemas semula.

Kesan selepas banjir. Tanda coklat pada dinding tu, merupakan paras air naik.

Barang-barang dan peralatan-peralatan yang rosak terpaksa dibuang begitu sahaja. Kalau lalu di Taman Tabung Haji, Bukit Tinggi, Jitra kita akan lihat longgokan perabut, tilam dan pakaian yang dibuang orang ramai kerana rosak akibat banjir.

Monday, December 6

Memancing Di Kampung Kebun

Kat mana Kampung Kebun ni? Zaman saya kecil-kecil dulu kampung ni dikenali sebagai Kampung Ceruk Ketiak. Mungkin sebab nama itu kurang elok didengar, maka telah ditukar kepada Kampung Kebun. Kampung ini sebenarnya terletak bersebelahan dengan kampung saya iaitu Kampung Pelubang yang terletak dalam daerah Kubang Pasu, Kedah. Waktu zaman persekolahan dahulu saya sering mengikuti emak saya ke kampung ini untuk mencari kayu api. Waktu itu belum ada dapur gas lagi jadi kena la meronda serata kampung mencari ranting-ranting kayu getah yang mati untuk dijadikan kayu api.
Ketika pulang bercuti pada 26 November baru-baru ini, kakak ipar saya yang memang 'hantu' memancing telah ikut bersama. Hari kedua di kampung dia dah mula mengajak kami pergi memancing. Dah lama meninggalkan kampung halaman, saya dah tak tahu kat mana nak cari tempat memancing yang banyak ikan. Nasib baik ada anak-anak saudara yang juga suka memancing, merekalah yang mencadangkan kami memancing di Kampung Kebun. Kalau di Tersang 3 dulu, kakak ipar saya ni yang dapat ikan, kat Kampung Kebun ini, dia jugalah yang banyak dapat ikannya.



Sunday, December 5

Mesyuarat Sekolah Rancangan Khas (SRK) Pahang

Pada 30 November hingga 3 Disember 2010, semua Pegawai Unit Pengurusan Sekolah Pejabat Pelajaran Daerah berkampung di The Regency Hotel, Kuala Lumpur untuk mesyuarat pemilihan ke Sekolah Rancangan Khas (SRK) bagi sesi pengajian 2011. Selain saya, PPD Lipis telah diwakili oleh En. Rahmin, En. Ahmad Riduan, Ustaz Ismail, Ustaz Amran (mewakili SMK Clifford) dan En. Shamsuddin (mewakili SMK Seri Lipis). Mesyuarat ini bertujuan menentukan murid-murid yang layak untuk ditawarkan ke SRK. Di Daerah Lipis terdapat 2 sekolah SRK iaitu SMK Clifford dan SMK Seri Lipis. Semoga tahun ini tidak akan timbul sebarang kontroversi lagi tentang pemilihan ke SRK ini. Saya harap semua penjaga boleh menerima penempatan anak-anak mereka nanti.

Panorama tika fajar menyinsing dari kamar 1417, The Regency Hotel Kuala Lumpur

Jalan Raja Alang yang sentiasa hidup biarpun malam semakin larut. Di kiri kanan jalan para peniaga menjual pelbagai sayur-sayuran dan kuih-muih. Berada di sini seolah-olah berada di pekan sehari Kuala Lipis je. Mana tidaknya semua jenis sayur kampung boleh didapati di sini. Siput sungai pun ada.

Sunday, November 21

Pelancaran ISIS (Intergrated Student Information System)

Majlis Pelancaran Program ISIS, Portal Pengurusan Akademik Pejabat Pelajaran Daerah Lipis telah disempurnakan oleh YH Dato' Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Latiff, Pengarah Pelajaran Pahang pada 19 November 2010 di Dewan Tun Abdul Razak, Sekolah Menengah Clifford. Majlis yang bermula pada pukul 3.00 petang itu turut dihadiri Encik Zainuren bin Haji Mohd Nor, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Tuan Haji Mohd Nor bin Md Tahir, Ketua Sektor Pendidikan Islam dan Hajah Zabedah binti Haji Osman, Ketua Sektor Jaminan Kualiti. Alhamdulillah, walaupun masih dalam suasana menyambut Hari Raya Aidiladha, namun kehadiran para jemputan amat menggalakkan. Pihak PPD Lipis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan majlis ini. Walaupun tempoh persediaan agak singkat, cuma seminggu sahaja, namun atur cara majlis dapat dilaksanakan dengan lancar. Sememangnya terdapat kelemahan-kelemahan kecil di sana sini, namun secara keseluruhanya ianya nampak baik.

Ketibaan YH Dato' Pengarah di sambut oleh Tuan PPD Lipis dan para jemputan

Persediaan pentas agak sederhana, namun masih nampak meriah

Sebahagian jemputan yang hadir

Kiosk yang disediakan untuk memberi penerangan kepada tetamu VIP tentang pengoperasian ISIS

YH Dato' Pengarah dibawa melawat kiosk bagi mendapat gambaran jelas tentang ISIS

Encik Wan Zohairi (JU ISIS) sedang memberi taklimat kepada Encik Zainuren, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah

Bergambar beramai-ramai sebelum YH Dato' berlepas pulang ke Raub

Wednesday, November 17

Memancing di Tersang 3

Sempena cuti Hari Raya Aidiladha semalam, saya sekeluarga mengikuti biras saya ke rumah adiknya di Felda Tersang 3. Perjalanan ke Tersang 3 dari Kuala Lipis hanya memakan masa 35 minit sahaja (50 km). Seronok tengok kawasan perkampungan Felda ni, selain tanaman kelapa sawit kita boleh melihat tanaman buah-buahan di sini. Bagi anak-anak yang tidak pernah melihat pokok salak, bolehlah mengenali pokok yang penuh duri ni. Kalau ada buah yang dah masak boleh petik dan makan terus. Namun, yang paling menyeronokkan di sini tentulah pengalaman memancing di kolam. Bunyi kocakan air tahkala ikan melompat di permukaan air menimbulkan semangat yang bukan kepalang. Namun setelah hampir 2 jam memancing hanya 2 ekor ikan keli sahaja yang memakan umpan.

Mengambil buah salak ni kena berhati-hati. Banyak sangat duri. Kalau yang dah masak tu rasa manis tetapi kalau yang masih muda tu...kelat la.

Memancing ni kena la bersabar. Tambah-tambah pula waktu tengah hari. Ikan biasanya makan waktu pagi dan petang sahaja.

Dah naik lenguh Ruzaini Imran memancing, tak dapat-dapat ikan.

Jaga-jaga Mamat, nanti kena sengat ikan keli tu.

Setelah puas mengeliling kolam, akhirnya dapat juga la si Mamat ni, seekor ikan keli.

Besar weh...ikan keli ni. Masak apa sedap? Kalau tanya saya tentulah goreng berlada.

Tuesday, November 9

Trip to Kuching

Pada 23 hingga 25 Oktober 2010 yang lalu, saya bersama 5 orang rakan-rakan sejawatan ( Pegawai KGSK ) mengadakan lawatan ke Sarawak. Lawatan ini telah lama dirancang, sejak awal tahun lagi tetapi oleh kerana hendak menunggu harga tiket kapal terbang yang murah maka bulan Oktober baru dapat pergi. Kami berlepas dari LCCT pada pukul 3.50 petang dan sampai ke lampangan terbang Kuching sekitar jam 6.20 petang. Sepanjang di Kuching kami menginap di Hotel Harbour View. Petang itu, selepas berehat seketika kami mengunjungi pasar malam Satok. Pasar malamnya samalah dengan pasar malam di semenanjung, cuma banyak kraftangan tangan Sarawak dijual di sini. Untuk memudahkan pengangkutan semasa di sana, kami menyewa van Fregio dengan bayaran RM1200 untuk 3 hari (siap dengan pemandu sekali).
Bersama Mahadir (Temerloh) dan Faizal (Raub) kat LCCT...Sabar menunggu waktu berlepas
Dah sampai pun...pertama kali menjejakkan kaki di bumi Kenyalang. Bersama Bakri (Maran) dan Zaki (Bentong - selaku ketua rombongan)
Berhenti makan di salah sebuah gerai di Pasar Satok. Menu yang lain sikit kat sini ialah Nasi Ayam Penyek. Best juga la...banyak ulam.
Kalau nak beli barang-barang keluaran Indon, boleh la mengunjungi pasar Serikin. Perjalanannya hampir 1 jam juga la dari bandar Kuching. Semua peniaga kat sini orang Indon walaupun kawasan pasar ini sebenarnya dalam kawasan Malaysia. Yang bagusnya dia orang ni, bila kita tawar harga kemudian berubah fikiran tidak jadi beli, dia orang tak marah. Kalau kat Petaling Street buat macam ni...mau kena maki punya.
Bergambar di kedai pasu Yong Huat Heng
Di kedai kek lapis Dayang Salhah. Yang bestnya kat kedai ni, sebelum membeli, kita dibenarkan merasa dahulu kek-kek yang hendak dibeli. Terdapat pelbagai jenis kek lapis dengan bermacam nama dijual di sini. Antaranya ialah kek lapis masam manis, oreo dan yang terkini kek lapis Lady Gaga. Bakri ni merasa ke, makan tengah hari ni...
Bersantai di Waterfront sambil menonton seniman jalanan mengadakan persembahan. Mendengar bunyi flute dan kocakan air pendayung sampan serta sayup-sayup lagu sayang Sarawak dinyanyikan...betul-betul menyentuh perasaan.

Menaiki sampan untuk menyeberangi sungai Santubong. Perkara pertama yang perlu diberi perhatian bila kaki melangkah masuk ke dalam sampan ini ialah jaket keselamatan.
Di Perkampungan Budaya Negeri Sarawak. Bergambar di pintu gerbang sahaja, tak masuk kerana harga tiket agak mahal RM60 seorang.

Bergambar di Kuching Waterfront dengan berlatarkan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Dah letih berjalan kat Kuching, tiba la masa untuk mengucapkan selamat jalan. Waktu pergi tak sempat nak bergambar, waktu balik ambil peluang la bergambar puas-puas kat dalam kapal terbang. Bukan selalu dapat naik. Ketua rombongan kata 'the next trip' ke Kota Kinabalu...kena kumpul duit mulai sekarang la.

Sunday, November 7

Bersantai di Kuala Terengganu

Sempena cuti Deepavali baru-baru ini, saya membawa keluarga bercuti ke Terengganu. Perancangan untuk membawa anak-anak melawat Terengganu ini telah lama saya war-warkan kepada mereka. Sebab itulah, walaupun mendapat perkhabaran bahawa cuaca di Terengganu kurang elok, hujan setiap hari, saya nekad juga membawa mereka ke sana. Turut sama dalam percutian itu ialah mak mertua dan kakak ipar saya. Perjalanan dari Kuala Lipis ke Kuala Terengganu melalui jalan Felda Aring memakan masa hampir 6 jam. Perjalanan menjadi lambat kerana kerosakan jalan yang agak teruk di sepanjang jalan Felda Aring. Sampai di Kuala Terengganu kami terus 'check in' di hotel yang saya 'booking' melalui telefon.

Semalaman di Kuala Terengganu kami memilih untuk tinggal di YT Midtown Hotel. Hotel ni tarafnya dua bintang je tapi kebersihan dan kelengkapannya kira ok la. Dulu saya pernah menghadiri kursus ICT anjuran Jabatan Pelajaran Pahang kat sini. Hotel ni tengah buat promosi, rate semalaman cuma RM88 sahaja berbanding harga biasa RM130.

Selepas berehat hampir 2 jam bagi menghilangkan 'pening kepala' dengan keadaan jalan yang teruk tu, kami bergerak ke destinasi lawatan yang pertama, Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man. Untuk masuk ke dalam kawasan monumen masjid-masjid utama di dunia, kita dikenakan bayaran RM15 untuk orang dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak. Rasa kagum terputik dalam hati bila melihat keindahan monumen masjid-masjid yang terdapat di situ. Bergambar sakanlah kita orang. Dalam ralit berposing tiba-tiba hujan turun, berlari la mencari perlindungan. Nasib baik kami telah hampir menamatkan lawatan tersebut. Sementara menunggu hujan sidang, kami menjamu selera di cafe yang disediakan di situ.

Bergambar di hadapan replika Taj Mahal yang merupakan simbol kasih sayang Maharaja Mughal kelima, Shah Jehan kepada isterinya, Mumtaz Mahal.

Ruzaini Imran dan ibunya bergambar di hadapan replika Masjid Nabawi. Kawasan masjid ini merupakan kawasan kedua paling suci bagi umat Islam.

Ruzaini Imran bersama dengan ibu saudara ( Kak Yati ) dan neneknya ( Wan Esah )

Di hadapan Masjid Kristal


Selepas letih berjalan di Taman Tamadun Islam, kami mengunjungi Restoran Lempeng yang terletak di tepi pantai jalan menuju ke Marang. Bila dah datang Terengganu ni, menunya tentulah yang berkaitan dengan laut. Ikan, sotong dan udang goreng tepung menjadi pilihan kami sekeluarga. Harga makanan kat sini pun berpatutan, 5 orang makan tak sampai RM50.
Keesokan harinya sebelum bertolak balik ke Kuala Lipis, kami berkunjung ke Pasar Payang, destinasi yang wajib dikunjungi setiap kali datang ke Terengganu. Jumlah pelancong yang agak ramai menyebabkan agak sukar untuk meletak kereta. Selesai membeli belah di Pasar Payang kami ke perkampungan Losong untuk membeli keropok lekor. Dah siap membeli keropok kami bertolak balik ke Kuala Lipis melalui Kuala Berang.

Wednesday, November 3

Mesyuarat Pertukaran Guru Pahang

Pada 1 hingga 3 November 2010, saya telah menghadiri Mesyuarat Pertukaran Guru-Guru Pahang di Hotel Dynasty Kuala Lumpur. Dari PPD Lipis, pegawai yang turut hadir ialah En. Rahmin bin Mahasan, Penolong PPD Pengurusan Sekolah dan En. Ibrahim bin Aziz, Penyelia Kanan Sekolah Rendah. Mesyuarat tersebut bertujuan menyelaraskan pertukaran guru antara negeri dan daerah. Pegawai-Pegawai KGSK daerah diminta hadir bersama bagi membantu Penolong PPD Pengurusan Sekolah dan Penyelia Kanan Sekolah Rendah membuat penempatan guru yang bertukar masuk ke daerah masing-masing. Mesyuarat selama hampir 3 hari itu turut dihadiri oleh En. Yahya bin Zainal Abidin, Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang.

En. Zainuren bin Hj. Mohd Nor, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JP Pahang sedang menyampaikan ucaputama. Di sebelah kanan beliau ialah Hj. Tajudin (KPP Pengurusan Sekolah) dan di sebelah kiri beliau ialah Hj. Razali Mustafa (Ketua Unit Pengurusan Sekolah Menengah)