Pages

Tuesday, June 29

Jamuan Perpisahan Staf PPD Lipis

Pada 29 Jun 2010 (Selasa) bertempat di dewan Susuran Rasa telah diadakan majlis perpisahan sempena pertukaran 3 orang staf PPD Lipis. Majlis yang bermula pada pukul 8.00 malam itu, bertujuan meraikan En. Ab Karim bin Abdullah, En. Wan Zohairi bin Wan Abd Hamid dan Cik Rohaya binti Alias. En. Ab Karim bertukar ke IPGM Tengku Ampuan Afzan sebagai pensyarah, En. Wan Zohairi bertukar ke SK Relong sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum dan Cik Rohaya mendapat tawaran menjadi guru di SK Penjom. Majlis pada malam itu juga mengambil kesempatan meraikan En. Fikri dan Cik Nik Syamsina yang telah tamat praktikal di PPD Lipis selama 6 bulan. AJK Kelab Staf mengucapkan selamat berjaya di tempat baru kepada mereka yang bertukar.

Monday, June 28

Laporan Aset Dan Stor Suku Tahun Kedua 2010

SEMUA PENGETUA DAN GURU BESAR
Tuan,
PENGHANTARAN LAPORAN DATA ASET DAN STOR SUKU TAHUN KEDUA (APRIL-JUN) 2010 KE PEJABAT PELAJARAN DAERAH LIPIS
Dengan segala hormatnya adalah dimaklumkan bahawa saya telah diarahkan merujuk kepada perkara di atas.
2. Sehubungan dengan itu, dipohon kerjasama daripada pihak tuan untuk mengemukakan laporan data aset dan stor suku tahun kedua (April-Jun) 2010 bagi sekolah tuan sebelum 6 Jun 2010 untuk dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Aset Alih Kerajaan (JKPAK) bil. 2/2010, Jabatan Pelajaran Pahang.
3. Format laporan adalah seperti dalam Lampiran atau boleh dimuat turun dari laman sesawang http://www.mediafire.com/?gdm0tdme4tz . Sebarang pertanyaan boleh hubungi En. Mohd Fazli bin Abd Hamid, Pegawai Aset Pejabat Pelajaran Daerah Lipis.
4. Kerjasama daripada pihak tuan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.
Sekian, terima kasih.
* Surat asal telah diletakkan di dalam "pigeon-hole" PPD Lipis pada 29 Jun 2010 (Selasa)

Thursday, June 10

Perjumpaan Guru-Guru SK Senderut dengan PPD Lipis

Murid-murid asli SK Senderut : Mampukah pendidikan menjamin masa depan yang lebih baik kepada mereka?

Satu siri perjumpaan dengan guru-guru SK Senderut telah diatur sebagai salah satu langkah untuk mempertingkatkan prestasi murid-murid asli di sekolah berkenaan. Program yang diilhamkan oleh Tuan Haji Basirun (PPD Lipis) ini telah dimulakan dengan kumpulan pertama pada 9 Jun yang lalu. Daripada 6 orang guru yang disenaraikan, hanya 3 orang guru sahaja yang dapat hadir. Mereka ialah En. Kamarul Bahari, En. Mahasan dan En, Wan Airil. Tiga orang guru lagi tidak dapat hadir kerana telah bertukar sekolah mulai 1 Jun dan seorang guru telah melangsungkan perkahwinan pada tarikh tersebut. Antara aktiviti yang dilaksanakan semasa program perjumpaan ini ialah Membaca Diri (En. Rahmin bin Mahasan, Penolong PPD Pengurusan Sekolah), Audit Akademik (En. Hazimin bin Nordin, Penolong PPD Bahasa), Konsultasi Aur (En. Rushdan bin Nordin, Kaunselor) dan Sesi Bersama Timbalan PPD Lipis (En. Hamdan bin Harun). Diharapkan program ini diterima baik oleh guru-guru SK Senderut dan menjadi penjana ke arah meningkatkan kecemerlangan di sekolah berkenaan. Semoga usaha kita ini diberkati Allah dan akhirnya kecemerlangan yang kita cari itu, akan muncul jua. Kepada wira pendidik di SK Senderut, titis keringat kalian yang tumpah dalam usaha menjayakan manusia ini akan sentiasa dihargai.

"Lakukanlah apa yang kita dibayar untuk melakukannya"

Timbalan PPD Lipis, En Hamdan bin Harun memberi kata-kata nasihat kepada 3 orang guru SK Senderut dalam slot Sesi Bersama Timbalan PPD

Monday, May 31

Program Peningkatan Kualiti Kepimpinan & Pengurusan

Pada 24 dan 25 Mei 2010 bertempat di Bilik Mesyuarat SMV Sultan Haji Ahmad Shah Kuala Lipis telah berlangsung Program Peningkatan Kualiti Kepemimpinan dan Pengurusan Pengetua & Guru Besar Sekolah-Sekolah Daerah Lipis. Program selama 2 hari itu turut dihadiri oleh Tuan Haji Abdul Hamid bin Abu Bakar, Timbalan Pengarah JPP. Antara Ketua-Ketua Sektor yang turut hadir ialah En. Zainuren (KSPS), En. Jalani (KSPA), Tuan Haji Mohd Nor (KSPI), Pn. Hajah Zabedah (KSJK) dan En. Jamal Musa (KSP&K). Pada malam 24 Mei telah diadakan Jamuan Memaknakan Rasa sempena meraikan Tuan Haji Abdul Hamid (Timbalan Pengarah) yang akan bersara pada bulan Julai nanti.
Tuan Haji Basirun, PPD Lipis menyampaikan cenderahati kepada Tuan Haji Mohd Nor bin Md Tahir, Ketua Sektor Pendidikan Islam selepas menyampaikan ceramah bertajuk 'Kepimpinan Berkualiti Dan Pengurusan Kewangan Berhemah'.

Sebahagian Pengetua dan Guru Besar yang hadir
Tuan Haji Abdul Hamid bin Abu Bakar, Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang dan Encik Zainuren bin Hj Mohd Nor, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah turut serta bermain woodball dalam program riadah yang dianjurkan.

Sunday, May 30

Deerland Kuala Gandah

Hari isnin, 24 Mei yang lalu saya membawa anak ke Hospital Temerloh untuk appointment. balik dari Temerloh anak-anak ajak singgah di Kuala Gandah. Sebenarnya saya dah pernah bawa dia orang ke 'Elephant Orphanage Sanctuary' dan Deerland Kuala Gandah ni. Namun, kebetulan untuk mengisi masa lapang, dalam perjalanan balik ke Lipis, kami singgahlah di Deerland Kuala Gandah. Deerland ni merupakan 'private zoo' yang terletak lebih kurang 10 minit perjalanan dari susur keluar lebuhraya (Lanchang). Untuk masuk ke zoo ni, pelancong akan dikenakan bayaran sebanyak RM5 bagi orang dewasa dan RM3 bagi kanak-kanak. Haiwan yang terdapat di dalam zoo ini tidaklah banyak sangat. Namun, apa yang menariknya tentang zoo ini ialah kita boleh berada rapat dengan haiwan-haiwan ini. Kita boleh memberi rusa makan, bergambar dengan ular sawa dan memegang beruang.
memberi makan rusa suatu aktiviti yang menyeronokan di Deerland ni
(tapi jangan sampai putus jari dah le)


Ikhwan Hariz beraksi dengan ular sawa (geli weh...)

Ruzaini Imran memegang burung puyuh (spesis ni je yang dia sanggup pegang)

Program BAKSU Jabatan Pelajaran Pahang

Badan Kebajikan dan Sukan Jabatan Pelajaran Pahang (BAKSU) telah memilih Lipis sebagai destinasi program amal mereka bagi tahun ini. Program yang dikenali sebagai Konvoi Amal Bermotosikal itu tiba di Kuala Lipis pada 21 Mei 2010. Peserta konvoi seramai hampir 70 orang itu telah disambut oleh pegawai-pegawai PPD Lipis dan wakil MGB Lipis di hadapan SMK Kerambit dan seterusnya diiring hingga ke IPGM Tengku Ampuan Afzan. Pada 22 Mei, peserta konvoi ini telah mengadakan kerja amal dan sukan rakyat di Kampung Kemahang. Keesokan harinya sebelum bertolak balik ke kuantan, peserta konvoi ini telah diraikan oleh YB Dato' Abdul Rahman, ADUN Padang Tengku di Kampung Tempoyang. Tepat pukul 10.30 pagi, peserta konvoi ini telah bertolak balik.
Peserta konvoi bergambar bersama YB Dato' Abdul Rahman

Tuan Haji Basirun, PPD Lipis turut menyertai konvoi BAKSU

YB Dato' Abdul Rahman melepaskan peserta-peserta Konvoi Amal Bermotosikal Jabatan Pelajaran Pahang

Wednesday, May 26

Hari Guru Warga PPD Lipis

Pada 21 Mei 2010 (Jumaat) Kelab Staf PPD Lipis telah menganjurkan sambutan Hari Guru. Semua warga PPD Lipis termasuk kakitangan bukan guru terlibat dalam sambutan ini. Program yang bermula pada pukul 8.30 pagi itu didahului dengan nyanyian lagu 'Negaraku' dan 'Guru Malaysia' oleh semua pegawai dan staf. Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan PPD dan ceramah motivasi oleh En. Rushdan Nordin, Kaunselor PPD Lipis. Selepas berhenti rehat untuk minum pagi, majlis diteruskan dengan penceritaan pengalaman oleh 3 orang pegawai yang berpengalaman, diklamasi sajak dan berbalas pantun. Majlis diakhiri dengan cabutan nombor bertuah dan bertukar-tukar hadiah. Program yang julung-julung kali diadakan ini walaupun agak ringkas namun cukup bermakna bagi semua warga PPD Lipis.
Pegawai-pegawai dari kalangan guru menyanyikan lagu 'Guru Malaysia'

Tuan Haji Basirun, PPD Lipis memotong kek sempena sambutan Hari Guru

Penyampaian sajak oleh Azrul & Geng

En. Abd Manaf menyampaikan sajak 'Hati Seorang Guru' dengan penuh semangat

Acara berbalas pantun yang disertai oleh En. Rokeman, En. Hazimin, En. Ramli, Puan Zaini, Puan Farina dan Cik Norhidaiyu

Tuesday, May 18

SK Senderut

Semalam (18 Mei 2010) saya bersama Pn. Zaini (Penyelia Kokurikulum) dan Pn. Samsiah (Penyelia ICT) telah melawat SK Senderut (sekolah orang asli). Tujuan lawatan tersebut ialah untuk mengenalpasti lokasi tapak untuk pembinaan kabin bilik darjah. Turut sama dalam lawatan tersebut ialah kontraktor terbabit dan Pembantu Teknik Awam, Jabatan Pelajaran Pahang. Kami bertolak dari PPD Lipis pada pukul 8.30 pagi dan sampai ke SK Senderut pada pukul 11.30 pagi. Perjalanan masuk ke sekolah tersebut dari simpang jalan utama (Simpang Tersang) sejauh 35 km sangat mencabar. Hanya kenderaan pacuan 4 roda dan motosikal sahaja boleh melalui jalan tersebut. Jika hari hujan keadaan akan bertambah rumit, kenderaan pacuan 4 rodapun mungkin tidak lepas. Kami bersyukur, walaupun langit agak gelap namun hujan tidak turun. Kesukaran jalan berlekuk-lekak itu agak terubat apabila dapat menyaksikan pemandangan yang menarik dengan sungai yang bersih. Sepanjang perjalanan itu juga, kami dapat menyaksikan perkampungan orang asli dan kebun tanaman mereka.

Sesampai di SK Senderut, kami disambut oleh tuan Guru Besar, Encik Ismail bin Haji Daud. Selepas berbual-bual di pejabat beliau, kami dibawa melihat tapak yang dicadangkan untuk pembinaan kabin tersebut. Pembinaan kabin yang akan menempatkan dua bilik darjah ini diharapkan dapat mengatasi masalah kekurangan bilik darjah di sekolah ini. Dengan jumlah murid hampir mencecah 600 orang keadaan bilik darjah di sekolah ini memang agak kritikal. Murid-murid terpaksa bersesak-sesak dalam bilik darjah yang sempit. Kami kemudiannya dibawa oleh Guru Besar ke dewan makan asrama untuk makan tengah hari.

Saya mengambil peluang lawatan ini untuk membuat sedikit pemantauan terhadap beberapa perkara terutama yang membabitkan komitmen guru-guru terhadap tugas masing-masing. Saya telah berbual-bual dengan beberapa orang guru untuk mendapat gambaran secara umum tentang proses P&P di sekolah tersebut. Seramai 17 orang guru lepasan ijazah (DG41) telah ditempatkan di sekolah ini. Semoga dengan ilmu yang mereka ada tahap pendidikan kanak-kanak orang asli ini dapat ditingkatkan. Kami bertolak balik pada pukul 2.00 petang. Takut juga nak balik lewat memandangkan langit semakin gelap, bimbang kalau-kalau tersangkut tengah-tengah hutan pula nanti. Dalam perjalanan pulang kami singgah sembahyang di Masjid Sungai Koyan dan 'pekena' teh tarik di salah sebuah gerai yang terdapat di situ. Pukul 6.00 petang kami sampai ke PPD Lipis.
.
Peta kedudukan SK Senderut
.
Jalan tanah merah yang sangat mencabar (nak patah pinggang rasanya)

Air sungai yang jernih dan bersih

Pintu masuk ke Sekolah Kebangsaan Senderut

kereta penuh lumpur (kena basuh kat kedai ni)

Cikgu Monei a/p Guntang sedang mengajar Tahun 1
(teringat cerita Haji Bakhil, Cikgu Murni...)

Berbincang dengan Guru Besar, En. Ismail b. Haji Daud

Menikmati jamuan yang disediakan oleh pihak sekolah