Pages

Monday, July 2

my explanation


Minggu lepas, satu aduan telah dibuat ke atas diri saya selaku Ketua Unit Pengurusan Sekolah dan Encik Hussaini bin Haji Ibrahim iaitu pegawai yang bertanggungjawab menguruskan pengambilan guru ganti. Pengadu telah membuat aduan ke KPM mengatakan kami tidak membenarkan pengambilan guru ganti atas dasar peruntukan telah habis dan keputusan tersebut dibuat tanpa merujuk kepada JPN. Kami diberi tempoh 7 hari untuk menjawab pertuduhan ini.
.
Sebelum saya menjelaskan kedudukan sebenar apa yang berlaku, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengadu. Aduan pengadu itu menjadi titik tolak untuk saya melihat semula secara menyeluruh sistem pengurusan guru ganti yang kami praktikkan selama ini. Sistem ini telah digunapakai semenjak tahun 2008 lagi iaitu semasa saya memegang jawatan Pegawai Khas KGSK. Sebelum ini tiada masalah yang timbul. Namun setelah munculnya aduan ini, maka mahu tidak mahu sistem ini perlu disemak dan sebarang kelemahan perlu dibaiki. Insyaallah...dalam mesyuarat pengurusan yang akan datang, saya akan bentangkan perubahan-perubahan yang akan dilakukan terhadap sistem pengambilan guru ganti ini. Jika nanti perubahan-perubahan tersebut sedikit menyulitkan pihak sekolah, saya minta maaf. Bukan bermaksud saya ingin melepas geram tetapi itulah yang sepatutnya saya lakukan sejak dahulu lagi. Mungkin selama ini kita menggunakan kaedah 'anak beranak' di mana hanya dengan satu panggilan telefon sahaja guru ganti sudah boleh mengajar di sekolah.
.
Pernah suatu ketika, seorang Guru Besar menghubungi saya pada pukul 8.45 malam memaklumkan seorang guru beliau telah selamat bersalin anak kedua dan beliau bertanyakan kepada saya bolehkah guru ganti diambil? Saya minta lima minit kepada beliau untuk menyemak baki peruntukan (saya sentiasa membawa pulang laptop ke rumah). Lima minit kemudian saya menelefon Guru Besar tersebut dan memaklumkan bahawa peruntukan masih ada dan dia boleh mengambil guru ganti. Keesokan harinya, ketika saya menelefon semula Guru Besar tersebut untuk membuat conformation, Guru Besar tersebut memberitahu saya bahawa guru ganti itu sudah datang mengajar. Surat permohonan guru ganti, surat cuti bersalin dan resume guru ganti tersebut hanya sampai kepada saya dua minggu kemudian.
.
Pendekatan ini telah melompat beberapa prosidur yang sepatutnya dilakukan dahulu. Namun, atas kepercayaan dan keyakinan bahawa segala-galanya akan berjalan dengan baik, maka prosidur-prosidur wajib ini telah dikemudiankan. Hari ini, cara yang digunakan itu telah mendedahkan diri saya kepada kekhilafan. Sistem yang kelihatan cekap pada mulanya akan usang juga akhirnya. Oleh itu, cara baru perlu difikirkan agar relevan dengan situasi semasa.

Bagi memastikan urus tadbir yang berkredibiliti, maka dengan moto efisien dan dinamik (cekap dan pantas) kami telah membangunkan perisian SisGanti 1.0 menggunakan kemudahan Microsoft Excell.
.
Menjadi hasrat kami di Unit Pengurusan Sekolah untuk melihat daerah Lipis cemerlang dalam pencapaian akademik. Untuk cemerlang, proses pengajaran dan pembelajaran mestilah berjalan dengan baik iaitu guru mengajar dan murid belajar. Untuk itu, kami seboleh mungkin memastikan setiap kelas ada guru untuk mengajar. Atas sebab itulah maka kami 'merelakan' proses pengambilan guru ganti melompat beberapa prosidur bagi memastikan kekosongan guru di sekolah dapat diisi dengan seberapa segera yang boleh. Dan itulah yang kami lakukan selama ini. Pihak kami juga tiada pilih kasih dalam melayan semua permohonan guru ganti daripada sekolah-sekolah di bawah tanggungjawab kami. Semua adalah sama dan semua sekolah adalah penting.  Untuk memastikan keadilan berlaku maka kami terpaksa melaksanakan First-come, first-served. Bagi yang terkemudian hakikat perlu diterima bahawa ‘rezeki anda belum ada’.
.

Kami berpegang teguh bahawa peruntukan yang diturunkan kepada kami adalah punca kuasa untuk meluluskan pengambilan guru ganti. Atas sebab itulah maka pada bulan Januari 2012 tiada sekolah dibenarkan mengambil guru ganti kerana peruntukan hanya turun pada 1 Februari 2012. Kami juga akan menangguhkan pengambilan guru ganti apabila peruntukan yang diberi itu habis dibelanjakan. Walaupun kami ada memohon peruntukan tambahan daripada JPN, namun selagi peruntukan itu tidak diturunkan maka kami tidak 'berani' untuk meluluskan permohonan sekolah untuk mendapatkan guru ganti. Pendekatan ini diambil bagi memastikan kami tidak berbelanja melebihi peruntukan yang dibenarkan. Menyedari betapa pentingnya pengawalan kewangan guru ganti ini, maka semua urusan termasuk menyediakan surat lantikan, mendapatkan tanda tangan PPD serta membuat salinan photostat dilakukan sendiri oleh pegawai. Walaupun agak leceh, namun inilah kepuasan bekerja yang kami perolehi bagi menjamin proses p&p di sekolah berjalan lancar.
.

Ada yang berkata, eloklah aduan ini dibuat...biar menggelepar sikit orang PPD.
Orang PPD tu, siapa? Saya seorang sahaja. Pegawai-pegawai lain tidak akan rasa apa-apa kerana ini bukan bidang tugas mereka. Selepas saya benarkan urusan guru ganti ini berlanjutan sehingga di luar waktu pejabat hingga kadang-kadang mengganggu my personal life dan jika ini belum cukup memuaskan hati semua orang...sukar untuk dibayangkan 'pengorbanan' yang bagaimana lagi perlu dilakukan.

Bagi pasukan bola sepak yang salah seorang pemain dibuang padang kerana mendapat kad merah, mereka terpaksalah berjuang juga dengan jumlah pemain yang kurang daripada pihak lawan. Pemain yang tinggal terpaksa bekerja lebih sedikit bagi mengimbangi kekosongan yang ditinggalkan oleh rakan mereka itu. Namun kita sering melihat bagaimana pasukan yang kurang pemain ini akhirnya muncul sebagai pemenang. Segalanya bergantung kepada pengurus, jurulatih dan kapten pasukan. Kita boleh sentiasa mengeluh, guru tidak cukup, opsyen guru tidak betul, guru tidak pandai mengajar, bilik darjah uzur dan macam-macam lagi. Namun percayalah tiada apa-apa yang akan berubah dengan asyik mengeluh.
.

" Kebijaksanaan seseorang bukan ditentukan oleh gulungan ijazah yang diperolehinya, melainkan ditentukan oleh cara bagaimana dia berfikir "
...Dr. D.J. Schwartz (The Magic Of Thingking Big)

No comments: