Pages

Thursday, August 7

Mesyuarat Penyelarasan Sekolah Contoh (Model Co)


Pada 25 Julai yang lalu, saya telah mewakili Unit Pengurusan Sekolah PPD Lipis ke Mesyuarat Penyelarasan Program Sekolah Contoh (Model Co) di Kementerian Pelajaran Malaysia, Putrajaya. PPD Lipis merupakan antara 12 PPD rintis yang dikehendaki melaksanakan program Model Co ini. Program yang mula dilaksanakan di Putrajaya dan Cyberjaya pada tahun 2005 serta diikuti oleh 12 PPD rintis pada tahun 2006 akan dimantapkan menjelang tahun 2010. Hal ini penting kerana program ini merupakan salah satu strategi KPM bagi merealisasikan cabaran teras ke-3 dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) iaitu 'Memperkasakan Sekolah Kebangsaan'.

Konsep Sekolah Contoh Model Co ialah Perkongsian Pintar Dalam Satu Pasukan yang bertujuan untuk mencapai kecemerlangan murid menerusi program / aktiviti bersama beberapa buah sekolah. Bidang yang boleh dikongsi bersama ialah Kurikulum, Kokurikulum dan Sahsiah. Kekuatan atau kelebihan sesebuah sekolah dapat digunakan untuk membangunkan sekolah-sekolah lain dalam pasukannya. Manakala kelemahan sesebuah sekolah dalam sesuatu bidang pula dapat diatasi dengan memohon bantuan daripada sekolah-sekolah lain yang mempunyai kelebihan dalam bidang tersebut.

Sebagai satu-satunya PPD di negeri Pahang yang melaksanakan program ini, PPD Lipis dikehendaki menyebarkan konsep program ini ke daerah-daerah lain di negeri Pahang. Sebelum langkah itu diambil, PPD Lipis akan terlebih dahulu memantapkan pelaksanaannya di peringkat daerah Lipis supaya boleh dijadikan Benchmarking oleh daerah-daerah lain.

No comments: