Pada hari sabtu (19 Sept) yang lalu, saya sekeluarga pulang ke Kampung Mela (sebuah kampung di daerah Lipis) bagi mengadakan kenduri tahlil dan jamuan hari raya di rumah arwah Chu Bian (bapa saudara isteri saya). Rumah itu kini didiami oleh Pak Cik Atan iaitu adik kepada arwah Chu Bian yang selama ini bergelandangan di Kelang, Selangor. Turut balik untuk majlis tersebut ialah kakak-kakak dan adik-adik ipar serta anak-anak saudara. Majlis yang diadakan secara gotong-royong bersama penduduk kampung Mela itu berjalan dengan lancar. Terima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan bagi menjayakan majlis ini.
Sunday, September 19
Sunday, September 12
Balik Kampung
Sempena Aidil Fitri tahun ni, saya ambil cuti 3 hari awal iaitu pada 7 September (Selasa) untuk pulang beraya di kampung. Kampung saya terletak di Kampung Pelubang, Mukim Bukit Tinggi, Jitra Kedah. Kami sekeluarga bertolak dari Kuala Lipis tepat pukul 1.00 tengah hari dan sampai di Kedah pada pukul 10.00 malam. Perjalanan melalui jalan Betau ke Ringlet dan turun ke Simpang Pulai sepatutnya lebih cepat, namun perjalanan sering terganggu kerana anak kedua saya, Ruzaini Imran asyik muntah sahaja. Dia tidak tahan dengan jalan yang berbengkang-bengkok antara Brinchang ke Simpang Pulai. Kesian betul tengok dia, sampai menangis-nangis.
Alhamdulillah, perjalanan di lebuh raya agak lancar kerana kereta masih belum banyak. Mungkin orang-ramai masih belum pulang beraya di kampung. Pulang awal 2 hari sebelum sambutan hari raya Aidil Fitri, memberi peluang kepada saya berbuka puasa bersama kedua-dua ibu bapa saya. Kepulangan saya telah menggembirakan hati mereka, ianya tergambar melalui riak ceria wajah mereka. Kesempatan balik awal ini juga saya gunakan untuk bershoping baju raya anak-anak di Sauoq Al-Bukhari, Alor Setar dan membeli beras pulut di Bukit Kayu Hitam.
Pada hari raya pertama, kami tidak ke mana-mana hanya menunggu tetamu datang ke rumah sahaja. Ramai juga jiran-jiran dan sanak saudara datang. Pada hari raya kedua, saya membawa emak saya berjalan-jalan ke rumah ibu-ibu dan bapa-bapa saudara. Seronok juga dapat jumpa sepupu-sepupu yang dah lama tak jumpa. Ada yang dah tak kenal pun. Pada hari raya ketiga, kami bertolak balik ke kuala Lipis.
Bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana merahmati perjalanan pulang kami sekeluarga. Tiada perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.
Nasib baik ada 'packing' juadah untuk berbuka kalau nak harap berbuka kat RNR memang tak merasa la, orang ramai sangat.Wednesday, September 1
Tika Ramadan di penghujungnya...
Di kesempatan yang ada ini, saya sekeluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada semua warga pendidik daerah Lipis serta pengunjung-pengunjung laman blog ini. Semoga Syahwal tahun ini dapat kita raikan dalam suasana yang gembira dan penuh kasih sayang. Kepada yang memandu untuk pulang beraya di kampung, berhati-hati dan bersabarlah agar kita selamat sampai. Thursday, August 19
Majlis Berbuka Puasa Kelab Staf PPD Lipis
Semalam (19 Ogos 2010) Kelab Staf PPD Lipis telah menganjurkan majlis berbuka puasa yang telah diadakan di kantin SK Clifford. Majlis tersebut telah dihadiri oleh semua staf bersama keluarga masing-masing. Majlis dimulakan dengan tahlil ringkas yang dipimpin oleh Ustaz Hamzah. Semoga majlis sebegini dapat meningkatkan hubungan antara staf dan menjadi pemangkin kepada budaya kerja berpasukan. Kepada semua Ajk Kelab Staf saya ingin merakam ribuan terima kasih di atas kerjasama tuan-tuan dan puan-puan dalam menjayakan majlis ini.

Kursus Kajian Tindakan
Thursday, August 12
Selamat Menyambut Ramadan al-Mubarak
Selamat menyambut Ramadan al-Mubarak kepada semua warga pendidik di daerah Lipis. Semoga di bulan yang mulia ini, kita diberi kekuatan dan kesabaran dalam melaksanakan ibadah puasa yang telah diwajibkan ke atas kita oleh Allah swt. Walaupun berada dalam keadaan lapar dan dahaga, dengan komitmen yang tidak pernah goyang kita akan tetap melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita. Puasa tidak menjadikan kualiti kerja kita semakin menurun sebaliknya memberi kita kekuatan serta keinsafan terhadap peranan kita sebagai pendidik. Keikhlasan dalam melaksanakan tugas adalah kunci utama kepada keberkatan dan keberkatanlah yang membawa kepada kejayaan.Thursday, August 5
Program Intervensi Pelajar (PIP)
Hari ini (5 Ogos 2010), saya mewakili PPD Lipis ke Majlis Penutupan Rasmi Kem Intensif Program Intervensi Pelajar (PIP) tahun 2010 daerah Lipis yang telah diadakan di Pusat Kokurikulum Kampung Lalang. Majlis yang dirasmikan oleh Dato' Abu Jamal b. Nordin, Pegawai Daerah Lipis itu turut dihadiri Tuan Haji Abdul Ghani bin Abd Rahman, Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan negeri Pahang. Program yang dilaksanakan selama 4 hari 3 malam itu disertai oleh 39 orang murid sekolah-sekolah menengah daerah Lipis. Objektif program ini ialah untuk menyedarkan pelajar tentang kehidupan yang lebih baik, melahirkan pelajar yang berakhlak mulia dan meningkatkan motivasi pelajar. Semoga program seumpama ini dapat menyedarkan pelajar-pelajar tentang bahaya dadah dan langkah-langkah menghindarinya. Sayangi diri, sayangi semua. Bersama perangi gejala dadah.
Sunday, August 1
Majlis Memaknakan Aksara Kata
( muat turun gambar ini di http://www.mediafire.com/?8efvp29otblf8ji ) Pada 29 Julai 2010 (Khamis) mengambil kesempatan kehadiran Tuan Haji Murat bin Ab Jalil, Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Jabatan Pelajaran Pahang ke daerah Lipis, satu majlis bagi meraikan persaraan beliau telah diadakan di Bilik Mesyuarat SMK Orang Kaya Haji. Majlis yang diberi nama Majlis Memaknakan Aksara Kata ini selain bertujuan untuk meraikan persaraan Tuan Haji Murat juga bertujuan memberi pendedahan kepada Pengetua, Guru Besar dan Guru Penolong Kanan Pentadbiran sekolah-sekolah murid asli tentang adat resam dan pantang larang orang asli. Untuk menyempurnakan tujuan tersebut, pihak PPD Lipis telah menjemput wakil JHEOA iaitu Encik Acong Goji untuk menyampaikan ceramah. Tuan Haji Murat dalam ucapan beliau berharap semua pentadbir sekolah-sekolah murid asli melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada mereka dengan sebaik mungkin. Dasar yang dibuat oleh kerajaan berkaitan masa depan orang asli sudah jelas dan sangat cantik, terpulanglah kepada guru-guru untuk merealisasikan hasrat kerajaan itu. Walaupun majlis pada petang itu agak sederhana, namun cukup bermakna sekali. Semoga apa yang disampaikan oleh Encik Acong itu akan menjadi panduan guru-guru dalam melaksanakan tugas mereka di perkampungan orang asli. Kepada Tuan Haji Murat, kami di PPD Lipis mengucapkan selamat bersara.

Subscribe to:
Posts (Atom)














