Pages

Sunday, November 21

Pelancaran ISIS (Intergrated Student Information System)

Majlis Pelancaran Program ISIS, Portal Pengurusan Akademik Pejabat Pelajaran Daerah Lipis telah disempurnakan oleh YH Dato' Haji Abdul Aziz bin Haji Abdul Latiff, Pengarah Pelajaran Pahang pada 19 November 2010 di Dewan Tun Abdul Razak, Sekolah Menengah Clifford. Majlis yang bermula pada pukul 3.00 petang itu turut dihadiri Encik Zainuren bin Haji Mohd Nor, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Tuan Haji Mohd Nor bin Md Tahir, Ketua Sektor Pendidikan Islam dan Hajah Zabedah binti Haji Osman, Ketua Sektor Jaminan Kualiti. Alhamdulillah, walaupun masih dalam suasana menyambut Hari Raya Aidiladha, namun kehadiran para jemputan amat menggalakkan. Pihak PPD Lipis mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah bertungkus lumus bagi menjayakan majlis ini. Walaupun tempoh persediaan agak singkat, cuma seminggu sahaja, namun atur cara majlis dapat dilaksanakan dengan lancar. Sememangnya terdapat kelemahan-kelemahan kecil di sana sini, namun secara keseluruhanya ianya nampak baik.

Ketibaan YH Dato' Pengarah di sambut oleh Tuan PPD Lipis dan para jemputan

Persediaan pentas agak sederhana, namun masih nampak meriah

Sebahagian jemputan yang hadir

Kiosk yang disediakan untuk memberi penerangan kepada tetamu VIP tentang pengoperasian ISIS

YH Dato' Pengarah dibawa melawat kiosk bagi mendapat gambaran jelas tentang ISIS

Encik Wan Zohairi (JU ISIS) sedang memberi taklimat kepada Encik Zainuren, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah

Bergambar beramai-ramai sebelum YH Dato' berlepas pulang ke Raub

Wednesday, November 17

Memancing di Tersang 3

Sempena cuti Hari Raya Aidiladha semalam, saya sekeluarga mengikuti biras saya ke rumah adiknya di Felda Tersang 3. Perjalanan ke Tersang 3 dari Kuala Lipis hanya memakan masa 35 minit sahaja (50 km). Seronok tengok kawasan perkampungan Felda ni, selain tanaman kelapa sawit kita boleh melihat tanaman buah-buahan di sini. Bagi anak-anak yang tidak pernah melihat pokok salak, bolehlah mengenali pokok yang penuh duri ni. Kalau ada buah yang dah masak boleh petik dan makan terus. Namun, yang paling menyeronokkan di sini tentulah pengalaman memancing di kolam. Bunyi kocakan air tahkala ikan melompat di permukaan air menimbulkan semangat yang bukan kepalang. Namun setelah hampir 2 jam memancing hanya 2 ekor ikan keli sahaja yang memakan umpan.

Mengambil buah salak ni kena berhati-hati. Banyak sangat duri. Kalau yang dah masak tu rasa manis tetapi kalau yang masih muda tu...kelat la.

Memancing ni kena la bersabar. Tambah-tambah pula waktu tengah hari. Ikan biasanya makan waktu pagi dan petang sahaja.

Dah naik lenguh Ruzaini Imran memancing, tak dapat-dapat ikan.

Jaga-jaga Mamat, nanti kena sengat ikan keli tu.

Setelah puas mengeliling kolam, akhirnya dapat juga la si Mamat ni, seekor ikan keli.

Besar weh...ikan keli ni. Masak apa sedap? Kalau tanya saya tentulah goreng berlada.

Tuesday, November 9

Trip to Kuching

Pada 23 hingga 25 Oktober 2010 yang lalu, saya bersama 5 orang rakan-rakan sejawatan ( Pegawai KGSK ) mengadakan lawatan ke Sarawak. Lawatan ini telah lama dirancang, sejak awal tahun lagi tetapi oleh kerana hendak menunggu harga tiket kapal terbang yang murah maka bulan Oktober baru dapat pergi. Kami berlepas dari LCCT pada pukul 3.50 petang dan sampai ke lampangan terbang Kuching sekitar jam 6.20 petang. Sepanjang di Kuching kami menginap di Hotel Harbour View. Petang itu, selepas berehat seketika kami mengunjungi pasar malam Satok. Pasar malamnya samalah dengan pasar malam di semenanjung, cuma banyak kraftangan tangan Sarawak dijual di sini. Untuk memudahkan pengangkutan semasa di sana, kami menyewa van Fregio dengan bayaran RM1200 untuk 3 hari (siap dengan pemandu sekali).
Bersama Mahadir (Temerloh) dan Faizal (Raub) kat LCCT...Sabar menunggu waktu berlepas
Dah sampai pun...pertama kali menjejakkan kaki di bumi Kenyalang. Bersama Bakri (Maran) dan Zaki (Bentong - selaku ketua rombongan)
Berhenti makan di salah sebuah gerai di Pasar Satok. Menu yang lain sikit kat sini ialah Nasi Ayam Penyek. Best juga la...banyak ulam.
Kalau nak beli barang-barang keluaran Indon, boleh la mengunjungi pasar Serikin. Perjalanannya hampir 1 jam juga la dari bandar Kuching. Semua peniaga kat sini orang Indon walaupun kawasan pasar ini sebenarnya dalam kawasan Malaysia. Yang bagusnya dia orang ni, bila kita tawar harga kemudian berubah fikiran tidak jadi beli, dia orang tak marah. Kalau kat Petaling Street buat macam ni...mau kena maki punya.
Bergambar di kedai pasu Yong Huat Heng
Di kedai kek lapis Dayang Salhah. Yang bestnya kat kedai ni, sebelum membeli, kita dibenarkan merasa dahulu kek-kek yang hendak dibeli. Terdapat pelbagai jenis kek lapis dengan bermacam nama dijual di sini. Antaranya ialah kek lapis masam manis, oreo dan yang terkini kek lapis Lady Gaga. Bakri ni merasa ke, makan tengah hari ni...
Bersantai di Waterfront sambil menonton seniman jalanan mengadakan persembahan. Mendengar bunyi flute dan kocakan air pendayung sampan serta sayup-sayup lagu sayang Sarawak dinyanyikan...betul-betul menyentuh perasaan.

Menaiki sampan untuk menyeberangi sungai Santubong. Perkara pertama yang perlu diberi perhatian bila kaki melangkah masuk ke dalam sampan ini ialah jaket keselamatan.
Di Perkampungan Budaya Negeri Sarawak. Bergambar di pintu gerbang sahaja, tak masuk kerana harga tiket agak mahal RM60 seorang.

Bergambar di Kuching Waterfront dengan berlatarkan bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Dah letih berjalan kat Kuching, tiba la masa untuk mengucapkan selamat jalan. Waktu pergi tak sempat nak bergambar, waktu balik ambil peluang la bergambar puas-puas kat dalam kapal terbang. Bukan selalu dapat naik. Ketua rombongan kata 'the next trip' ke Kota Kinabalu...kena kumpul duit mulai sekarang la.

Sunday, November 7

Bersantai di Kuala Terengganu

Sempena cuti Deepavali baru-baru ini, saya membawa keluarga bercuti ke Terengganu. Perancangan untuk membawa anak-anak melawat Terengganu ini telah lama saya war-warkan kepada mereka. Sebab itulah, walaupun mendapat perkhabaran bahawa cuaca di Terengganu kurang elok, hujan setiap hari, saya nekad juga membawa mereka ke sana. Turut sama dalam percutian itu ialah mak mertua dan kakak ipar saya. Perjalanan dari Kuala Lipis ke Kuala Terengganu melalui jalan Felda Aring memakan masa hampir 6 jam. Perjalanan menjadi lambat kerana kerosakan jalan yang agak teruk di sepanjang jalan Felda Aring. Sampai di Kuala Terengganu kami terus 'check in' di hotel yang saya 'booking' melalui telefon.

Semalaman di Kuala Terengganu kami memilih untuk tinggal di YT Midtown Hotel. Hotel ni tarafnya dua bintang je tapi kebersihan dan kelengkapannya kira ok la. Dulu saya pernah menghadiri kursus ICT anjuran Jabatan Pelajaran Pahang kat sini. Hotel ni tengah buat promosi, rate semalaman cuma RM88 sahaja berbanding harga biasa RM130.

Selepas berehat hampir 2 jam bagi menghilangkan 'pening kepala' dengan keadaan jalan yang teruk tu, kami bergerak ke destinasi lawatan yang pertama, Taman Tamadun Islam di Pulau Wan Man. Untuk masuk ke dalam kawasan monumen masjid-masjid utama di dunia, kita dikenakan bayaran RM15 untuk orang dewasa dan RM8 untuk kanak-kanak. Rasa kagum terputik dalam hati bila melihat keindahan monumen masjid-masjid yang terdapat di situ. Bergambar sakanlah kita orang. Dalam ralit berposing tiba-tiba hujan turun, berlari la mencari perlindungan. Nasib baik kami telah hampir menamatkan lawatan tersebut. Sementara menunggu hujan sidang, kami menjamu selera di cafe yang disediakan di situ.

Bergambar di hadapan replika Taj Mahal yang merupakan simbol kasih sayang Maharaja Mughal kelima, Shah Jehan kepada isterinya, Mumtaz Mahal.

Ruzaini Imran dan ibunya bergambar di hadapan replika Masjid Nabawi. Kawasan masjid ini merupakan kawasan kedua paling suci bagi umat Islam.

Ruzaini Imran bersama dengan ibu saudara ( Kak Yati ) dan neneknya ( Wan Esah )

Di hadapan Masjid Kristal


Selepas letih berjalan di Taman Tamadun Islam, kami mengunjungi Restoran Lempeng yang terletak di tepi pantai jalan menuju ke Marang. Bila dah datang Terengganu ni, menunya tentulah yang berkaitan dengan laut. Ikan, sotong dan udang goreng tepung menjadi pilihan kami sekeluarga. Harga makanan kat sini pun berpatutan, 5 orang makan tak sampai RM50.
Keesokan harinya sebelum bertolak balik ke Kuala Lipis, kami berkunjung ke Pasar Payang, destinasi yang wajib dikunjungi setiap kali datang ke Terengganu. Jumlah pelancong yang agak ramai menyebabkan agak sukar untuk meletak kereta. Selesai membeli belah di Pasar Payang kami ke perkampungan Losong untuk membeli keropok lekor. Dah siap membeli keropok kami bertolak balik ke Kuala Lipis melalui Kuala Berang.

Wednesday, November 3

Mesyuarat Pertukaran Guru Pahang

Pada 1 hingga 3 November 2010, saya telah menghadiri Mesyuarat Pertukaran Guru-Guru Pahang di Hotel Dynasty Kuala Lumpur. Dari PPD Lipis, pegawai yang turut hadir ialah En. Rahmin bin Mahasan, Penolong PPD Pengurusan Sekolah dan En. Ibrahim bin Aziz, Penyelia Kanan Sekolah Rendah. Mesyuarat tersebut bertujuan menyelaraskan pertukaran guru antara negeri dan daerah. Pegawai-Pegawai KGSK daerah diminta hadir bersama bagi membantu Penolong PPD Pengurusan Sekolah dan Penyelia Kanan Sekolah Rendah membuat penempatan guru yang bertukar masuk ke daerah masing-masing. Mesyuarat selama hampir 3 hari itu turut dihadiri oleh En. Yahya bin Zainal Abidin, Timbalan Pengarah Pelajaran Pahang.

En. Zainuren bin Hj. Mohd Nor, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah JP Pahang sedang menyampaikan ucaputama. Di sebelah kanan beliau ialah Hj. Tajudin (KPP Pengurusan Sekolah) dan di sebelah kiri beliau ialah Hj. Razali Mustafa (Ketua Unit Pengurusan Sekolah Menengah)