Pages

Sunday, March 13

Terima kasih

Salam untuk semua,


TERIMA KASIH kepada guru dan staf SK Pagar Sasak yang telah mengambil inisiatif untuk menceriakan persekitaran sekolah sepanjang cuti pertengahan semester pertama ini (14 - 18 Mac 2016).

TERIMA KASIH kepada Cikgu Norshahrin dan Cikgu Zulkifli, guru pelatih IPGM Tengku Ampuan Afzan Kampus Kuala Lipis di atas sumbangan yang diberi sepanjang menjalani program praktikum di SK Pagar Sasak mulai 15 Februari hingga 11 Mac 2016.

TERIMA KASIH kepada En. Mohamad Zabidi bin Abdullah, Guru Besar SK Mela dan En. Sauti bin Mamat, Pegawai Polis Pondok Polis Pagar Sasak di atas jemputan menghadiri kenduri kahwin anak masing-masing pada 12 Mac 2016.

TERIMA KASIH kepada warga SK Felda Chegar Perah di atas jemputan menyaksikan Majlis Tilawah Al-Quran (MTQ) Peringkat Zon Padang Tengku pada 10 Mac yang lalu. Bersama Ustaz Halim bin Ismail, Penolong PPD J-Qaf Pejabat Pendidikan Daerah Lipis.

TERIMA KASIH kepada BTPN Pahang di atas taklimat berkaitan Program Nilam dan Vle Frog yang telah diadakan di PPD Lipis. Bersama sahabat lama, En. Rushdan yang sama-sama pernah menjawat jawatan Penyelaras PKG sekitar tahun 1998.

TERIMA KASIH kepada Panitia Pendidikan Islam SK Pagar Sasak kerana menganjurkan Program Solat Sunat Gerhana Matahari pada 9 Mac 2016.

TERIMA KASIH kepada En. Ab Yazi bin Juhat, Guru Besar SK Felda Kechau 1 di atas jamuan yang menyelerakan sempena Kejohanan Olahraga Zon Padang Tengku yang diadakan pada 25 Februari 2016.

TERIMA KASIH kepada En. Azhar bin Ahmad, Pegawai Jasa Lipis yang sudi hadir bagi merasmikan Mesyuarat Agung PIBG SK Pagar Sasak pada 24 Februari 2016 bagi mewakili YB Dato' Haji Abdul Rahman bin Mohamad, Ahli Parlimen Lipis.

TERIMA KASIH kepada En. Wan Kamarul Mazlan (Pembantu Rendah Awam R4) dan En. Aminuddin Yusof (GPK HEM) di atas usaha bersungguh-sungguh menyiapkan Pondok Pengawal di pintu utama SK Pagar Sasak. Terima kasih juga kepada YB Dato' Mustafa Long, ADUN Padang Tengku, PIBG SK Pagar Sasak dan orang perseorangan yang telah menyumbang dana bagi membina pondok pengawal ini.


Friday, February 5

Memburu cemerlang

Tiada ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah tanpa mengharapkan anak tersebut berjaya. Begitu juga pihak sekolah, tiada guru yang masuk mengajar di dalam kelas tanpa bermatlamat untuk melihat anak-anak murid mereka berjaya dengan cemerlang. Atas sebab itulah, maka berbagai program kita rancang dan laksanakan untuk memastikan kejayaan dapat direalisasikan. Seperti tahun-tahun yang lalu, tahun ini juga hampir 15 program teman rancang bersama guru-guru untuk dilaksanakan demi memastikan UPSR tahun ini melonjak naik. Pada pagi Jumaat, 5 Februari yang lalu, teman telah bentangkan program-program tersebut kepada ibu bapa murid-murid Tahun 6. Antara program yang akan dilaksanakan ialah Projek Anak Angkat. Teman mendapat dua orang anak angkat iaitu Haziq (baju biru) dan Hakimie (baju putih). Peranan ibu dan ayah angkat ini ialah memberi perhatian serta dorongan kepada anak-anak murid ini agar mereka sentiasa merasakan diri mereka diambil berat. Teman berharap sangat agar semua program ini dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan memberi hasil yang membanggakan buat PASAK.

Perbincangan bersama-sama sekolah-sekolah yang berada dalam kumpulan Lipis 7 Projek 5P (Projek Pengupayaan Pemimpin Pendidikan Pahang) iaitu SK Relong, SK Batu Yon, SK Kechor Tui dan SK Pagar Sasak. Perbincangan untuk menyiapkan program kecemerlangan mata pelajaran Bahasa Inggeris. Kena siap segeralah projek sebab 5 Februari dah nak hantar kepada Tuan Timbalan PPD.

Bengkel 5P di PPD Lipis. Sekolah teman berada dalam kumpulan Lipis 7 bersama-sama SK Kechor Tui, SK Relong dan SK Batu Yon. Semua GB memerah otak memikirkan program terbaik yang akan dilaksanakan di sekolah.

Menghadiri taklimat pembugaran DTP 2.0 dan Projek Pengupayaan Pemimpin Pendidikan Pahang (5P) pada 29 Februari di PPD Lipis. In shaa Allah, pelaksanaan projek ini dapat meningkatkan kecekapan Guru Besar dalam menerajui kejayaan sekolah. Em...dalam apa keadaan sekali pun, biar sukar atau terbeban...GB mesti bersikap dan berfikiran positif.

Berkunjung ke SK Kechor Tui untuk menyaksikan pertandingan bola baling perempuan Zon Padang Tengku yang diadakan pada 28 Februari 2016. Bergambar di hadapan sekali tu tuan rumah saudara Baharom. Di sebelah kanan teman Pengerusi Zon Padang Tengku, Cikgu Ab Yazi, Guru Besar SK Felda Kechau 1 dan di sebelah beliau Guru Besar SK Gua, Cikgu Zali.

Sekolah teman menerima kunjungan Tuan Timbalan PPD Lipis, En. Hassan Basri bin Shamsudin. Nasihat, teguran serta pandangan beliau akan menjadi panduan bagi teman dalam mengemudi sekolah ke arah mencapai kecemerlangan. UPSR 2015 membawa cerita duka buat sekolah teman. Walaupun berjaya menamatkan kemarau 5A, namun peratus lulus dan GPS yang agak rendah meletakkan sekolah teman antara sekolah yang berada di rangking bawah. Program yang sama dan guru yang sama, belum tentu menghasilkan keputusan yang sama. Faktor kelainan kebolehan murid juga perlu diambil pertimbangan. Mungkin inilah faktor yang teman dan guru-guru SK Pagar Sasak gagal mengesannya.

Bersama dengan saudara Baharom (Guru Besar SK Kechor Tui) dan Cikgu Din (Guru Besar SK Teluk Gunung) pada 27 Januari 2016. Kedua-dua mereka berkunjung ke sekolah teman untuk menyaksikan pertandingan bola baling lelaki peringkat Zon Padang Tengku 2016. Dah dua tahun SK Pagar Sasak menjadi tuan rumah pertandingan bola baling ini. Tahun depan rasanya nak ubah permainan lainlah pulak.

Monday, January 18

Selamat datang 2016

Tumpang sekaki Majlis Makan Malam sempena Program Hari Keluarga SK Relong (sekolah orang rumah) pada 15 Januari 2016 di De-Rhu Beach Resort, Kuantan. Di kiri teman tu Guru Besar tuan rumah, Haji Ishak Mohamad dan di kanan teman Ghazali Jaafar, Guru Besar SK Gua (kebetulan isteri beliau guru di SK Relong).

Majlis makan malam ini juga turut meraikan salah seorang guru yang akan bersara iaitu Pn. Hajah Norlida (isteri kepada Tn. Haji Suhaimi, mantan Guru Besar SK Padang Tengku).

Pada 13 Januari 2016 telah berlangsung Taklimat dan Bengkel Pembelajaran Abad 21 di sekolah teman, SK Pagar Sasak.

Taklimat PA21 ini disampaikan oleh Pn. Mek Nah binti Bakar, SISC+ PPD Lipis. Banyak ilmu yang telah beliau kongsikan dengan kami. Semoga pelaksanaan PA21 di SK Pagar Sasak akan direalisasikan dengan jayanya.

Mesyuarat Zon Padang Tengku di SK Kechau Tui. Membincangkan program-program sukan dan permainan serta kokuria yang akan dilaksanakan pada tahun 2016. Mesyuarat ini turut mengekalkan En. Ab Yazi, Guru Besar SK Felda Kechau 1 sebagai pengerusi, En. Mohd Khairi, Guru Besar SK Merapoh sebagai Timbalan Pengerusi, En. Ghazali Jaafar, Guru Besar SK Gua sebagai setiausaha dan melantik Pn. Sarimah, Guru Besar SK Padang Tengku sebagai bendahari menggantikan En. Rani Akob yang telah berpindah ke Zon Bandar Kuala Lipis.

Perhimpunan pertama sesi persekolahan 2016 pada 4 Januari.

Teman mengambil peluang menyampaikan amanat kepada semua murid serta guru-guru. Tahun baru, azam kenalah baru juga.

Program orientasi murid-murid Tahun 1 dan prasekolah pada 13 Disember 2016.

Semoga taklimat yang disampaikan oleh pihak sekolah dapat difahami oleh semua ibu yang hadir.

Mesyuarat Pengurusan Bil. 1/2016. Banyak keputusan serta persetujuan telah dicapai dalam mesyuarat ini.

Mesyuarat yang diadakan pada 30 Disember ini diharapkan dapat menetapkan halatuju terbaik kepada SK Pagar Sasak.


Monday, December 28

Padang Besar, Perlis

Salam untuk semua,

Dua minggu yang lalu, teman sekeluarga pulang bercuti di kampung. Semenjak arwah ayah dah tak ada, kenalah kerap balik untuk menziarahi mak yang barangkali masih terasa kehilangan ayah teman. Teman cuti mulai 16 hingga 18 Disember 2015. Malas nak balik waktu cuti Krismas 25 hari bulan yang lalu, bimbang highway jem pulak. Dah berumur ni, tak larat dah nak terperap dalam kereta berjam-jam. Dalam tak jem pun dah 9 jam dari Kuala Lipis ke kampung teman di Kedah. Kalau jem, macam balik raya hari tulah...12 jam. Naik kematu tumit menekan minyak.

Dah terlanjur balik kampung tu, terasa pulak nak jalan-jalan ke Padang Besar, Perlis. Rasanya mau 10 tahun dah teman tak berkunjung ke situ. Padang Besar ialah pekan berhampiran sempadan daerah Songkla, Thailand. So, boleh fahamlah jenis-jenis barang yang dijual kat sini. Made in Thailand belakalah...macam kat Bukit Kayu Hitam, Pengkalan Kubur dan Rantau Panjang.

Dari rumah mak teman ke Padang Besar tu cuma 1 jam perjalanan je. Sekarang ni dah ada jalan terus ke Padang Besar tak perlu lagi melalui bandar Arau ataupun bandar Kangar. Melalui highway Plus Utara Selatan terus je ke Bukit Kayu Hitam, selepas melepasi bandar Changlun akan nampak susur keluar ke Lebuhraya Changlun - Kuala Perlis, follow je lebuhraya tu. Drive lebih kurang 10 minit akan nampak Universiti Malaysia Perlis di sebelah kanan, keluar dari lebuhraya ambil jalan nak menuju ke universiti tersebut dan terus jelah. Jalan tu akan terus ke Padang Besar.

Lokasi utama aktiviti berjual beli kat Padang Besar ini terletak di sekitar bangunan Arked Niaga. Memang crowded betullah keadaan di sekitar kawasan perniagaan ini. Banyak betul orang berniaga, cuma barang-barangnya hampir sama sahaja iaitu pakaian, perkakas dapur dan makanan kering. Teman tak dayalah nak meronda setiap kedai tu. Cari pot duduk lepak layan handphone, biar orang umah dengan my youngest son jelah yang jalan-jalan cari barang.

Pergi berjalan tak bawa cameraman, kena ambil gambar sendirilah. Nak harapkan my youngest son, em...memang tak boleh. Bukan saja tak suka bergambar, nak minta tolong ambil gambar pun tak nak. Monopod tertinggal pulak tu...

Terasa lapar, boleh menjamu selera di kedai-kedai makan yang ada di perkarangan Arked Niaga ini. Jangan risau, gaya percakapannya peniaga-peniaga ni orang Malaysia belaka. Kalau loqhat Thailand tu, was-was jugalah teman. Aduhai, kecur air liur menengok laksa penang tu...pepalih sedap.

Antara barang-barang yang orang umah beli. Bagi peminat masakan Thai tentu tahu kegunaan benda ni kan. Em...lesung kayu untuk menyediakan somtam. Balik nanti bolehlah mencuba somtam buatan sendiri. Haha...jangan jadi hiasan dalam almari sudahlah.

Sunday, December 13

Bengkel Immersion di IAB Bandar Enstek

Salam buat semua,

Pada 1 hingga 4 Disember baru-baru ini, teman dikehendaki hadir ke Institut Aminuddin Baki, Kampus Induk Komplek Pendidikan Nilai, Bandar Enstek. First time sampai sini, tu yang tersesat-sesat tu. Pakai Waze pun boleh tersilap jalan juga. Selalu kalau datang area sebelah sini sampai Nilai 3 je, beli kain.Tak pernah lajak sampai ke Bandar Enstek ni.

Bersama Tuan Haji Ishak bin Mohamad, Guru Besar SK Relong yang telah dilantik sebagai Principal Coach teman. Sepanjang 4 hari berbengkel di sini, semua Guru Besar baharu ambilan 2014 dan 2015 dikehendaki menyiapkan Perancangan Strategik sekolah masing-masing. Dalam menyiapkan Perancangan Strategik ini, kami akan dibantu oleh Principal Coach masing-masing.

Berbaju biru, Encik Ab. Yazi bin Juhat, Guru Besar SK Felda Kechau 1 merangkap Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Lipis. Beliau hadir sebagai Principal Coach (PC) kepada Pn. Siti Aishah binti Omar, Guru Besar SK Teluk Gunung. Selain Tuan Haji Ishak dan En. Ab Yazi, turut dilantik sebagai PC ialah En. Muhd Hasbi bin Ibrahim (GB SK Berchang) yang menjadi PC kepada En. Borhan bin Long, Guru Besar SK Jeram Landak dan En. Abdul Rani bin Akob (GB SK Kuala Telang) yang menjadi PC kepada En. Shawaluddin bin Abu, Guru Besar SK Kuala Medang.

Alhamdulillah...selesai 4 hari kat sini. Perancangan Strategik pun hampir 90 peratus siap. Balik nanti nak kena murnikan sebab hari Jumaat 11 Disember dah nak kena emailkan kepada Pengurus Bengkel. Em...sebelum balik tu, sempat jugalah bergambar dengan Pn. Aniza binti Wahab (GB SK Jengka 25), Pn. Siti Aishah binti Omar (GB SK Teluk Gunung) dan En. Ab Yazi bin Juhat (GB SK Felda Kechau 1)

Kepada yang berhajat untuk melihat Perancangan Strategik sekolah teman bolehlah berkunjung ke Laman Blog berikut :


(sebarang kekurangan terhadap Perancangan Strategik tersebut, teman mohon banyak-banyak kemaafanlah ye)

Tuesday, November 24

Mesyuarat MGB Daerah Lipis Kali Ke-29

Salam untuk semua,


Biar gambar berbicara...

En. Rani bin Akob, Setiausaha MGB Daerah Lipis memulakan majlis perasmian mesyuarat. Segak bergaya AJK MGB kita ni...macam mesyuarat koperasi pulak.

En. Nor Ahmad bin Abd Rahim, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Lipis menyampaikan ucaputama. Banyak harapan yang beliau sandarkan kepada MGB Lipis untuk memacu kecemerlangan pendidikan daerah. In shaa Allah, tuan.

Sebahagian Guru Besar yang hadir. Hai, depan betul GB SK Kampung Keledek duduk...Cikgu Khaty

En. Ab Yazi bin Juhat, Pengerusi MGB Daerah Lipis menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Tuan KPPD.

Slot kedua hari ini, taklimat penataran format baru UPSR. Teman diminta menjadi pengacara majlis. Kebetulan yang akan menyampaikan taklimat tersebut adalah mantan bos teman sewaktu bertugas sebagai Penolong PPD Menengah dulu.

Tuan Haji Mohd Razali Mustafar, Ketua Sektor Penilaian dan Peperiksaan JPN Pahang dijemput khas untuk menyampaikan taklimat berkaitan format baru UPSR yang akan dilaksanakan mulai 2016. Beliau dibantu oleh En. Muhammad Isa Harun, Penolong Pengarah PBS Menengah.

Semoga taklimat ini memberi pemahaman yang lebih jelas kepada kita semua tentang format baru peperiksaan UPSR.

Pengerusi MGB Lipis, En. Ab Yazi menyampaikan cenderamata kenang budi kepada Tuan KS di atas kesudian memenuhi jemputan untuk menyampaikan taklimat.

Sedikit info tentang Majlis Guru Besar Daerah Lipis :

Pengerusi : En. Ab Yazi bin Juhat (SK Felda Kechau 1)
Timbalan Pengerusi : En. Muhd Hasbi bin Ibrahim (SK Berchang)
Setiausaha : En. Rani bin Akob (SK Kuala Telang)
Bendahari : En. Jasmawari bin Majid (SK Kuala Lanar)

Majlis Makan Malam Sekalung Budi Sejambak Kasih

Salam untuk semua,
Malam 23 November, bertempat di Hotel Heritage Cameron Highlands, Majlis Guru Besar (MGB) Daerah Lipis telah menganjurkan Majlis Makan Malam sempena meraikan Guru Besar-Guru Besar yang telah dan akan bersara.

Majlis ini diadakan bagi meraikan Guru Besar-Guru Besar yang bersara pada tahun 2014 dan 2015.

Antara Guru Besar yang diraikan pada malam ini ialah Tn. Haji Molok (SK Kerambit), Pn. Hajah Norizan (SK Tempoyang), En. Badaruddin (SK Tanjung Besar), En. Zainal Kamarudin (SK Relong) dan En. Jamaludin (SK Clifford). Dua orang tidak dapat hadir iaitu En. Malik (SK Kuala Medang) dan En. Aziz Bakar (SK Kuala Koyan).

Alhamdulillah, ramai juga ahli-ahli MGB yang dapat hadir.

Doa makan dah dibaca...tunggu apa lagi tuan-tuan GB semua...jalanlah.

Em...dah kenyang belaka, kita dengar ucapanlah pula yer...

Guru Besar yang bersara (dari kiri) Tuan Haji Molok, En. Hasami, En. Rosmi dan En. Badaruddin.

Tuan KPPD, En. Nor Ahmad bin Abd Rahim dan isteri turut hadir.

Tuan KPPD menyampaikan cenderamata kepada Pn. Noraziah, Guru Besar SK Felda Chegar Perah yang akan bersara pada bulan Disember ini.

Hadiah khas kepada Guru Besar yang mana sekolah mereka terpilih sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan. Sekolah-sekolah tersebut ialah SK Tempoyang, SK Penjom, SK Wan Ibrahim dan SK Chat. Tahniah semua.