Pages

Tuesday, September 15

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Semua pegawai dan staf PPD Lipis mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada seluruh warga pendidik di daerah Lipis. Semoga hari raya tahun ini akan disambut dengan meriah serta memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT di atas limpah rezekinya. Bagi yang balik beraya di kampung, selamat bertemu dengan keluarga tersayang dan memandulah dengan berhati-hati.

MAJLIS BERBUKA PUASA

Kelab Staf PPD Lipis telah menganjurkan majlis berbuka puasa pada 15 September 2009, bertempat di kantin SK Clifford. Majlis tersebut turut dihadiri Puan Samsiah binti Hj. Suradin, PPD Lipis serta suami. Semua staf dan ahli keluarga masing-masing telah berkumpul sejak pukul 6.30 petang lagi bagi beramah mesra serta berkenal-kenalan sementara menunggu waktu berbuka. Majlis seumpama ini diharapkan dapat mengeratkan lagi tali silaturrahim di kalangan staf-staf PPD lipis.


Pn. Samsiah (PPD Lipis) dan suami
En. Hamdan - Timbalan PPD Lipis

En. Rokeman - Ketua Unit Akademik

En. Izhar dan keluarga

En. Hasbullah - Penolong Akauntan

En. Rahmin, En. Jasma dan En. Azman

Mengambil juadah untuk berbuka







BENGKEL MOTIVASI

Pada 11 hingga 13 September 2009, Pejabat Pelajaran Daerah Lipis telah mengadakan Bengkel Motivasi dan Kaunseling di Hotel Sri Malaysia, Kuantan. Bengkel ini telah dihadiri seramai 39 orang pegawai dan staf PPD Lipis. Pn. Samsiah binti Hj Suradin, PPD Lipis dan En. Hamdan bin Harun, Timbalan PPD Lipis turut juga hadir dalam bengkel tersebut. Bengkel yang diterajui oleh Tuan haji Md Noor bin Saad dari PPD Rompin dengan dibantu oleh En. Rosdan bin Nordin, Pegawai kaunseling PPD Lipis memberi penekanan kepada membina semangat berpasukan bagi mewujudkan sebuah organisasi yang mantap dan saling membantu.
Tuan PPD dalam ucapan penutupan bengkel, mengharapkan bengkel selama 2 hari itu, dapat membina semangat berpasukan yang utuh dalam kalangan pegawai dan staf di PPD Lipis. Semoga dengan hubungan mesra dan saling membantu itu, PPD Lipis dapat memantapkan pengurusan dan seterusnya dapat menggembeling seluruh tenaga pendidik di daerah Lipis bagi mencapai keputusan yang terbaik pada masa depan.

Pn. Samsiah binti Hj. Suradin, PPD Lipis menyampaikan ucapan penutupan

Tuan Haji Mohd Nor bin Saad, fasilitator bengkel

Acara "ice breaking"

Peserta Bengkel yang hadir

Menyanyi lagu "Masihkah kau ingat" sambil bergandingan tangan

En. Hamdan bin Harun, Timbalan PPD turut mengambil bahagian dalam semua aktiviti yang dijalankan

Majlis Penyampaian Sijil Penyertaan

Thursday, May 28

Mesyuarat Pengurusan PPD Lipis 2009


Mesyuarat Pengurusan Pengetua dan Guru Besar Daerah Lipis kali kedua telah diadakan pada 26 hingga 28 Mei 2009, bertempat di Hotel Brisdale Kuala Lumpur. Mesyuarat ini bertujuan memberi maklumat-maklumat terkini kepada Pengetua dan Guru Besar dalam melaksanakan peranan mereka sebagai ketua dan pemimpin sekolah. Dua orang penceramah luar telah dijemput iaitu En. Mazzam b. Bakar dari Kementerian Pelajaran Malaysia dan En. Wan Abdullah dari Jemaah Nazir Raub.
Puan Samsiah binti Suradin, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis, turut hadir bagi menyempurnakan majlis penutupan mesyuarat. Dalam ucapan penutup, beliau menekankan peri pentingnya semua pengetua dan guru besar kembali segar dan ghairah dalam melaksanakan tugas masing-masing. Pengetua dan guru besar yang sudah hampir bersara tidak boleh hilang semangat dan hanya menjadi "kayu mati" yang menunggu tarikh bersara sahaja. Motivasi diri perlu dipertingkatkan agar dapat mempengaruhi guru-guru agar lebih bersemangat dan penuh ghairah untuk mendidik anak murid.

Lawatan YB Dr. Fuad Zakashi ke SK Titom

Pada 6 Mei 2009, YB Dr Fuad Zakashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia telah mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah orang asli daerah Lipis. Antara sekolah yang dilawati beliau ialah SK Betau, SK Lenjang dan SK Titom. Lawatan tersebut untuk melihat dengan lebih dekat proses pengajaran dan pembelajaran serta keperluan fizikal sekolah-sekolah orang asli. Dr. Fuad dan isteri telah bermalam di asrama SK Titom. Dr. Fuad berkesempatan bertemu dengan masyarakat orang asli Titom bagi menyampaikan hasrat beliau agar masyaakat orang asli memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak mereka. Saya bersama En. Abdul Manaf (Pegawai HEM PPD Lipis) dan En. Idzhar (Pembantu Tadbir) masuk awal 2 hari ke SK Titom. Tujuan kami ialah untuk menyelia persiapan sekolah dalam menyambut rombongan Timbalan Menteri nanti.

Perjalanan ke SK Titom dengan kenderaan pacuan 4 roda memang mencabar. Jalan tanah merah yang berdebu dan bukit yang agak tinggi memang memeritkan. Semua orang mengeluh sakit pinggang bila sampai di SK Titom.

Saya dan En. Abd Manaf (Pegawai HEM) terpaksa makan nasi dengan sardin sahaja. Tak apalah, asalkan tidak kebulur

Pertandingan Kompang

Pada 30 April 2009 Daerah Lipis telah menjadi tuan rumah Pertandingan Kompang Peringkat Negeri Pahang. Pertandingan ini telah diadakan di Dewan Jubli Perak Kuala Lipis.

Sunday, April 19

Kursus Pengucapan Awam & Kewangan

PPD Lipis telah mengadakan Kursus Pengucapan Awam pada 17 hingga 19 April 2009, bertempat di Concorde Inn KLIA, Sepang. Kursus selama 2 hari ini telah dihadiri oleh semua pegawai dan staf PPD Lipis. Pn. Samsiah binti Suradin, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis juga turut hadir pada majlis penutupan kursus. Penceramah kursus ini ialah Encik Rahmin bin Mahasan, Ketua Unit Pengurusan Sekolah PPD Lipis. Beliau menyampai teknik-teknik pengucapan awam yang berkesan. Para peserta kursus kemudiannya dikehendaki menyampaikan ucapan awam masing-masing sebagai latihan. Slot kewangan pula dijalankan secara forum, dimana 6 orang staf kewangan terdiri daripada En. Hasbullah, Tn. Hj. Othman, En. Mohd Shahril, En. Ayub, Pn. Ina, Cik Rohaya dan Cik Wani diminta menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan oleh peserta-peserta kursus. Forum tersebut telah dipengerusikan oleh En. Hussaini b. Hj Ibrahim, Pegawai PPDa PPD Lipis. Semua peserta kursus telah diberi sijil penyertaan.

En. Rahmin bin Mahasan sedang menyampaikan ceramahnya.


Forum Kewangan dipengerusikan oleh En. Hussaini bin Hj Ibrahim.

Sunday, April 12

Seminar Integriti Warga Pendidik Daerah Lipis



Seminar Integriti Warga Pendidik Daerah Lipis telah diadakan pada 11 April 2009 bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Benta. Seminar yang bermula pukul 8.30 pagi itu telah dihadiri oleh Pengetua, Guru Besar, Penolong Kanan, Kaunselor dan guru-guru agama Islam sekolah-sekolah daerah Lipis. Dianggarkan jumlah peserta yang hadir ialah seramai 300 orang. Seminar yang dianjurkan oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan langkah kerajaan untuk mempertingkatkan tahap integriti rakyat Malaysia. Guru sebagai penyebar maklumat akan bertindak sebagai agen bagi menerap dan mengembangkan budaya integriti terbaik dalam kalangan murid-murid. Semoga dengan penerapan awal ini, kita dapat melahirkan generasi yang berintegriti tinggi.

Tiga orang penceramah telah terlibat dalam seminar ini. Mereka terdiri daripada En. Mohamad Diah ( Pengarah IIM ), En. Abdullah ( Kaunselor PPDJB ) dan Dato Raof ( mantan Timbalan KPPM ). Seminar yang berakhir pada pukul 1.30 petang itu, mendapat sambutan baik daripada para peserta. Rata-rata peserta kursus berpuashati dengan kandungan seminar. Puan Samsiah binti Suradin., PKC., Pegawai Pelajaran Daerah Lipis juga berpuashati dengan perjalanan seminar dan sambutan yang diberikan oleh peserta-peserta seminar.