Pages

Monday, February 23

Jitra : Balik kampung

Salam untuk semua,

Cuti sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, teman sekeluarga mengambil kesempatan pulang menziarahi emak di kampung. Rumah emak teman letaknya di Kampung Pelubang Mukim Bukit Tinggi, Jitra, Kedah. Selepas ayahanda teman kembali kerahmatullah Oktober yang lalu, inilah kali pertama teman pulang ke kampung. Semoga kepulangan ini mampu menghilangkan kesunyian emak teman setelah kehilangan sahabat hidup yang menemani beliau selama ini.

Di kampung sekarang baru lepas menuai. Kalau dulu, inilah ketikanya kami bermain wau atau mencari sepat benua dalam lopak air. Arwah ayah teman dahulu pandai membuat wau, terutama 'Wau Jala Budi'. Kegembiraan berlari di atas batas bendang sambil menarik tali wau sudah tak dapat dirasai lagi...semua telah menjadi kenangan.

Dah lama tak berkunjung ke Kompleks Bebas Cukai Bukit Kayu Hitam. Disebabkan cuti perayaan Tahun Baru Cina ni hampir 2 jam tersangkut kat pusat imigresen. Emm...ramai betul rakyat Malaysia yang nak ke Thailand.

Boleh beli coklat 'Daim' dan 'Almond Gold' kat sini. Harga rasanya lebih kurang dengan beli kat Langkawi.

Kalau nak beli produk Thailand, boleh dapatkan di gerai-gerai sekitar kawasan free duty tersebut. Beras pulut, emping, beras wangi dan lain-lain lagi. Tak boleh beli banyak sangat, nanti nak keluar kena tax pulak.

Setiap kali balik kampung mesti nak kena pergi market Jitra. Banyak barangan basah dan kering dijual di sini.

Cuma, harga ikan temenung (orang Lepeh kabo ikan pelaling) yang menarik minat teman. Berapa agaknya harga ikan ini di tempat anda?

Pada hari Sabtu, emak teman ajak pergi makan kenduri di Sungai Layar, Sungai Petani. Anak sepupu kahwin. Jauh tu...mau sejam juga nak sampai. Jarang-jarang balik, elok jugalah berjalan-jalan ke rumah saudara-mara.

Sepupu teman, Md Badri (anak Pak Ngah teman) menikahkan anak beliau tiga orang sekaligus. Dua lelaki dan seorang perempuan. Emm...zaman ekonomi dunia tak menentu ni, molek sangat le ambil langkah berjimat cermat.

Nak merasa jugalah bergambar di hadapan pelamin. Duduk di sebelah kiri, emak teman dan di sebelah kanan tu kakak teman.

On the way balik Lipis. Berhenti rehat di RnR Dataran Sungai Perak. Perjalanan balik yang betul-betul mencabar kesabaran. Biasa hanya mengambil masa 9 atau 10 jam sahaja tetapi kali ini, hampir 13 jam. Naik kebas tumit kaki menekan pedal minyak. Hati pun 'panas' juga bila dalam jem macam tu, ada juga immoral drivers yang menggunakan laluan kecemasan untuk potong Q. Pelik juga, sepanjang perjalanan dari Alor Setar hingga Kuala Lumpur melalui highway Utara Selatan langsung tiada pemantauan oleh pihak polis. Mustahil untuk pantau sepanjang jalan, namun di tempat-tempat tertentu seperti berhampiran plaza tol atau susur keluar rasanya perlu di tempat anggota polis untuk memastikan perbuatan potong Q ini tidak berlaku. Kadang-kadang terasa menjadi orang 'baik' ni merugikan pulak. Apa-apa pun syukur, teman dan keluarga selamat sampai.

Ok...Arigato gozaimasu

Friday, February 13

Mesyuarat Agung PIBG SK Pagar Sasak

Salam buat semua,

Pada 12 Februari yang lalu, sekolah teman telah mengadakan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-36.

Tetamu khas yang dijemput untuk merasmikan mesyuarat kali ini ialah YB Dato' Mustapa bin Long, Ahli Dewan Undangan Kawasan Padang Tengku. Turut hadir bersama beliau ialah En. Azhar bin Husin, Penghulu Mukim Kechau.

Teman menyampaikan ucapan yang mengfokaskan kepada kerjasama ibu bapa dengan pihak sekolah. Teman juga memperingatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka hadir ke sekolah setiap hari, termasuk untuk Kelas KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain). Rugi sangatlah jika ibu bapa membiarkan anak-anak membuang masa di rumah sedangkan di sekolah terdapat kelas mengaji al-Quran, fardhu ain dan amali solat.

YB Dato' Mustapa Long menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-36 SK Pagar Sasak. Banyak juga nasihat yang YB Dato' lontarkan kepada ibu bapa. Terutama tentang kehadiran anak-anak ke kelas KAFA.

En. Baharudin bin Hj Wahid, Naib Yang Dipertua PIBG menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada YB Dato'. Terima kasih YB Dato' kerana hadir juga ke sekolah kome. YB Dato' terpaksa meninggalkan majlis lebih awal kerana beliau terpaksa menghadiri satu majlis lagi di Kampung Relong.

Acara seterusnya diambil alih oleh En. Azhar Husin, Penghulu Mukim Kechau. Beliau menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada AJK PIBG sesi 2014.

Terima kasih Tok Penghulu.

Mesyuarat diteruskan setelah berhenti seketika untuk menikmati jamuan ringan. Alhamdulillah mesyuarat berjalan lancar tanpa ada isu-isu panas yang dibangkitkan. Proses pelantikan AJK baharu bagi sesi 2015 juga berjalan lancar. Tahniah kepada En. Baharudin Haji Wahid di atas pelantikan beliau sebagai YDP PIBG SK Pagar Sasak. Semoga kerjasama antara ibu bapa dengan pihak sekolah dapat berlangsung dalam suasana harmoni dan berimpak tinggi.