Pages

Tuesday, March 4

Mistake

Sudah hampir dua tahun setengah teman memegang jawatan Penolong PPD Pengurusan Sekolah (Menengah). Selama tempoh ini, banyak keputusan berkaitan pertukaran dan penempatan guru, pertukaran dan penempatan pelajar, cadangan pelantikan Guru Besar dan Guru Penolong Kanan telah teman buat. Beratus surat dan dokumen telah teman tandatangani. Termasuk yang tidak berkaitan dengan pendidikan seperti pengesahan dokumen permohonan nikah cerai, permohonan tanah, permohonan kerja, pinjaman bank dan sebagainya. Seharusnya dengan pengalaman yang ada ini, teman menjadi semakin cekap dan tentu sekali lebih cermat dalam membuat keputusan. Namun, masalah yang mendatang seringkali juga masalah baru yang teman tidak pernah hadapi. Oleh itu, kadang-kadang  dalam membuat keputusan bagi perkara-perkara sebegini, teman tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Ada juga perkara yang teman tahu salah tetapi atas pertimbangan tertentu dan mengambil pandangan orang lain, perkara itu diputuskan juga dalam keadaan yang silap.

Keputusan yang silap ini, barangkali cuma satu peratus sahaja daripada sekian banyak keputusan yang telah teman buat. Mungkin kurang daripada itu. Namun, ada kalanya kesilapan yang kecil ini berubah menjadi besar kerana terangkat menjadi high profile cases yang sepatutnya diputuskan di peringkat yang lebih tinggi. Benarlah kata peribahasa 'jerat tidak pernah lupakan pelanduk'. Mungkin merasa sudah mahir maka teman tidak merujuk pendapat lain yang lebih berwibawa untuk dipercayai. Tindakan tidak berhati-hati ini menyebabkan kesilapan akhirnya tercipta dan langkah pembetulannya amatlah berliku. Hanya pada Allah teman memohon, agar diberi ketahanan mental dan fizikal dalam mendepani situasi mencabar ini.

(update : 14 Mac 2014)
Kes teman ni, barangkali sedang memasuki fasa kedua. Sepucuk surat daripada pihak atasan memohon penjelasan, mengapa kesilapan ini berlaku? Emm...sungguh tak sangka selepas berkhidmat hampir 25 tahun dan mendapat 3 kali Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), teman terpaksa menjawab surat ini. Jarum jam bagaikan terhenti, dunia hening seketika...jauh di lubuk hati teman, bangkit beberapa persoalan. Siapakah yang tergamak menulis surat ini kepada teman? Tidak pernahkah kita berkongsi bilik hotel saat menghadiri mesyuarat bersama? Atau tidak pernahkah kita makan semeja sambil berbual tentang isu-isu pendidikan? Untuk seketika waktu, I don't know how to answer this question. Terasa kosong dan kecewaNamun, satu panggilan telefon yang teman terima lewat malam semalam bagaikan 'pelampung' untuk teman berpaut saat terkapai-kapai di tengah lautan. Sungguh terharu teman rasakan. Kepada Tuhan yang menghadirkan waktu ini...Terima kasih.

(update : 30 Mac 2014)
Masa untuk bersedih mengenangkan kesilapan yang telah dilakukan sudah seharusnya pergi. Cahaya penyelesaian sudah mula kelihatan berbalam-balam di hujung jalan. Insyaallah sedikit masa lagi segala kekusutan akan terurai. Kini, masa untuk bangkit semula. Seluruh kudrat dan pemikiran perlu difokuskan untuk menyelesaikan permasalahan yang timbul dalam kalangan guru-guru di sekolah. Akhir-akhir ini, saban hari pejabat teman dikunjungi oleh warga pendidikan. Daripada peringkat pengurusan sekolah hinggalah kepada kakitangan bawahan. Harapan yang tinggi disandarkan kepada teman, agar masalah mereka dapat diselesaikan. Insyaallah selagi teman punya pemikiran yang waras dan tubuh badan yang sihat, semua permintaan, keluhan dan harapan akan cuba dipenuhi. Cuma masa sahaja menjadi penentunya.

********

Pada 24 hingga 25 Februari yang lalu, teman bersama semua Penolong PPD Menengah terlibat dengan Mesyuarat Verifikasi Data eOperasi yang telah diadakan di Pejabat Pendidikan Daerah Cameroon Highlands. Sepanjang 3 hari bermesyuarat di sini, kami menginap di Hotel Century Resort, Tanah Rata. Gambar nie, ketika menikmati makan tengah hari di salah sebuah restoran di Ringlet. Menu best kat sini ialah kari kepala ikan dan kari kambing. Terima kasih kepada sahabat teman Adha and the gang di atas layanan baik serta jamuan istimewa ini.

Semalam (16 Mac) teman menghadiri Karnival Dakwah Peringkat Daerah Lipis 2014. Program ini telah diadakan di SMK Seri Lipis dan SK Tempoyang. Majlis Penutupan telah disempurnakan oleh Dato' Abdul Rahman, Ahli Parlimen Lipis. Tahniah kepada pasukan yang berjaya. Semoga pertandingan peringkat antara daerah nanti, Lipis akan mencapai kejayaan yang cemerlang.

Majlis perpisahan sahabat teman, saudara Razak Penolong PPD Rompin yang bertukar ke Jabatan Pelajaran Pahang sebagai Ketua Unit Pembangunan. Majlis diadakan di Capitol Hotel Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Pengurusan Sekolah Pada 17 hingga 19 Mac 2014. Kepada saudara Razak selamat bertugas di tempat baru.

Jamuan makan malam di Asrama Pusat SMK Kuala Lanar, turut hadir Tuan Haji Wan Abdul Hamid, Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Tuan Haji Misnan, Pegawai Pendidikan Daerah Lipis, pegawai-pegawai dari JPN dan PPD. Tuan KS berada di Lipis untuk menghadiri Taklimat Sekolah Kecemerlangan yang berlangsung selama 2 hari iaitu pada 20 dan 21 Mac.