"Anak Nadi Aspirasi Kita - Pendidikan Anak Tanggungjawab Bersama"
Hari ini teman menghadiri Majlis Pelancaran Sarana Ibu Bapa & Sarana Sekolah Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC). Majlis ini bermula jam 9.30 pagi dan berakhir pada jam 4.00 petang. Setiap daerah diwakili oleh 3 orang pegawai dari Pejabat Pelajaran Daerah dan 6 orang ahli PIBG bagi 5 buah sekolah terpilih.
Majlis ini sepatutnya dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia. Namun, atas sebab-sebab yang tidak diketahui beliau telah diwakili oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir Dr Wee Ka Siong.
Teman mewakili Tuan PPD Lipis yang tidak dapat hadir kerana terlibat dengan taklimat pengurus pilihan raya. Turut hadir bersama teman ialah Tuan Haji Zulfahkri Idris, Penolong PPD Perhubungan dan Ustaz Ismail Yahya, Penyelia Agama Islam. Emm...sempat juga la teman posing kat luar dewan.
Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah sebagai inisiatif kebangsaan bagi meningkatkan penglibatan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta ke arah bersatu dan menyokong satu matlamat iaitu membantu murid berjaya. Penglibatan anda mampu mengubah sistem pendidikan negara ke arah kecemerlangan dan kemenjadian murid seperti yang diharapkan. Program ini adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 - 2025.