Pages

Tuesday, April 26

Reunion XPKG Lipis

Salam untuk semua,

Semalam teman hadir ke Pejabat Pendidikan Daerah Lipis untuk mendengar taklimat berkaitan Penilaian Bersepadu Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPP) dan Mesyuarat Hari Guru Peringkat Daerah Bilangan 2/2016. Mulai tahun ini, prestasi guru-guru tidak lagi dinilai menggunakan LNPT sebaliknya ditukar kepada PBPPP. Taklimat yang diberikan kepada semua Pengetua dan Guru Besar ini bertujuan memastikan proses penilaian difahami dan dapat dilaksanakan dengan betul. Menjadi tanggungjawab kepada semua PGB untuk memberi taklimat kepada GPK dan guru-guru di sekolah masing-masing.

Sambutan Hari Guru Peringat Daerah Lipis akan diadakan pada 20 Mei 2016, hari Jumaat pukul 2.30 petang. Sekolah teman diberi tanggungjawab bersama dengan SMK Seri Lipis dan SK Kechor Tui untuk menguruskan jamuan tetamu yang hadir. Dalam mesyuarat tersebut, teman telah membentangkan menu, peralatan dan budget yang diperlukan. Semoga sambutan Hari Guru tahun ini akan berjalan dengan lancar.

Bersama bekas rakan sekerja ketika sama-sama mengajar di SK Penjom dan sama-sama juga pernah bertugas sebagai Pegawai Penyelaras PKG Kuala Lipis. Tuan Haji Mohd Noor bin Ghazali sudah lama bersara sebagai kakitangan awam. Jawatan akhir beliau ialah Pegawai Data Pejabat Pendidikan Daerah Lipis. Hari ini 23 April 2016 kami bertemu bagi meraikan perkahwinan anak perempuan beliau, Izyan. Namun dukacita, isteri beliau Cikgu Rohani (juga pernah menjadi rakan setugas teman ketika mengajar di SK Wan Ibrahim) agak kurang sihat. Doa teman, Tuan Haji Mohd Noor dan Cikgu Rohani sentiasa mendapat perlindungan dan rahmat Allah swt.

Menemani anak-anak Pasak menikmati jamuan minum pagi pada 24 April 2016. Mereka hadir pada hari Ahad ini untuk mengikuti program kecemerlangan Bahasa Melayu yang disampaikan oleh Cikgu Abdul Wahab bin Tan dari SK Tersang 1, Raub (selanjutnya di skpslipis.blogspot.com). Tahniah dan terima kasih anak-anak muridku, walaupun kalian terpaksa mengorbankan cuti hari Sabtu dan Ahad, namun demi mengejar ilmu pengetahuan kalian tetap datang juga ke sekolah. Inilah ciri-ciri yang perlu ada pada setiap anak-anak Pasak tidak kira di tahun berapa mereka belajar. Landscape pencapaian sekolah ini akan berubah jika setiap daripada kita...murid, guru dan ibu bapa sanggup berkorban dan melaksanakan tanggungjawab dengan sepenuh hati. Setiap daripada kita percaya bahawa tiada jalan mudah untuk berjaya...jika kesukaran ini kita mampu hadapi, in shaa Allah...PASAK MAMPU MELONJAK.

Reunion XPKG Lipis bersama mantan KPP BTPN Pahang, Tuan Haji Mohd Raauf bin Hj. Jali (sekarang Ketua Sektor SPK Jabatan Pendidikan Pahang). Turut bersama En. Baharum bin Bakar, Guru Besar SK Kechor Tui (mantan Penyelaras PKG Kuala Tembeling). Pertemuan yang tidak dirancang, kebetulan Tuan KS berada di Lipis untuk slot ucaputama program taklimat PAJSK di Pejabat Pendidikan Daerah Lipis. Kesempatan berkumpul semula...teman selaku Penyelaras PKG Kuala Lipis, Zalid Penyelaras PKG Padang Tengku dan saudara Wan Zohairi Penyelaras PKG Benta. Pertemuan dengan Tuan KS mengembalikan nostalgia 17 tahun yang lalu ketika teman bertugas di PKG Kuala Lipis (menumpang bangunan di SMK Orang Kaya Haji...sehingga sekarang). Waktu itu betul-betul one man show...tidak ada pembantu. Semua kerja kena buat sendiri. Dari mencuci tandas hinggalah mengendalikan mesyuarat. Sekarang Alhamdulillah, PKG sudah mempunyai seorang Pembantu Tadbir N17 dan Juruteknik Komputer. Pegawai Penyelaras (sekarang dipanggil Pegawai Teknologi Pendidikan) pun sudah ada dua orang.

Bengkel Pemurnian Projek 5P (Projek Pengupayaan Pemimpin Pendidikan Pahang) di SK Relong pada 19 April 2016. Program ini disertai oleh Guru Besar dan guru Bahasa Inggeris sekolah-sekolah Kumpulan UPSR Lipis 7  iaitu SK Pagar Sasak, SK Kechor Tui, SK Relong dan SK Batu Yon. Tujuan bengkel ini ialah untuk membuat penambahbaikan program 5P setelah mendapat teguran serta idea daripada KS Akademik JPN Pahang, Puan Asiah binti Hamzah. Kekurangan ketara yang kumpulan kami lakukan semasa membuat pembentangan pada 5 April dahulu ialah tidak memasukkan program-program untuk murid. Program yang kami rancang hanya berfokus kepada peningkatan kompetensi guru sahaja. Walaupun kami memilih skop guru dalam Projek 5P ini, namun kami perlu juga menyatakan program yang dibuat untuk murid. Ini demikian kerana hasil akhir yang ingin dilihat adalah pencapaian murid-murid bukan pencapaian guru. Harap-harap pembentangan kali kedua pada Mei ini, pihak Panel Penilai akan lebih berpuashati dengan kumpulan kami. Semoga target Pahang Top 3 mampu tercapai.

Saturday, April 9

Melawat Muzium Sungai Lembing

Salam untuk semua,


Hujung minggu yang lalu, teman sekeluarga berjalan-jalan ke Kuantan. Kebetulan tak ada perancangan nak ke mana-mana, ambil peluanglah berkunjung ke Muzium Sungai Lembing. Hampir 43 km juga dari bandar Kuantan. Untuk masuk ke muzium ini dikenakan bayaran sebanyak RM2.00 seorang. Kanak-kanak tak pastilah teman, free kut.

Antara jentera lama yang digunakan untuk melombong bijih timah di Sungai Lembing. Berdasarkan maklumat yang teman baca, Lombong Sungai Lembing ini dibuka sekitar tahun 1906. Uik...lama tu, tak lahir lagi teman.

Sebelum melawat di dalam bangunan, tengok-tengok dulu fakta-fakta sejarah yang terdapat di luar bangunan.

Bergambar bersama my eldest son, Ikhwan Hariz di hadapan replika terowong Sungai Lembing. Banyak bahan sejarah yang dipamerkan dalam muzium ini. Bagi pencinta sejarah, berbaloi untuk berkunjung ke muzium ini.

Hah, ini baru pemandangan di dalam bangunan. Tak banyak ambil gambar kat dalam bangunan muzium ni. Kalau asyik ambil gambar je, tak sempatlah nak baca maklumat-maklumat sejarah yang dipamerkan.

Selesai melawat muzium, kami melawat lokasi terowong Sungai Lembing pula. Di sinilah bijih timah dilombong.

Kalau nak masuk ke dalam tunnel dikenakan bayaran RM16 kalau tak silap teman. Mungkin bayaran untuk naik train.

Inilah pintu utama untuk masuk ke dalam terowong Sungai Lembing. Sejuk terasa bila berdiri di hadapan pintu terowong ni.

Nak melawat ke dalam terowong tu tak boleh berjalan kaki, kena nak train ni. Bayarannya seperti yang teman sebut kat atas tadilah.

Em...the last memories of Sungai Lembing Tin Mines, bergambar dengan replika pekerja lombong.

Kepada yang ingin melawat Muzium Sungai Lembing jangan risau tentang makanan. Anda boleh mengisi perut di medan selera yang disediakan. Mee jawa kat sini boleh tahan juga...


Monday, April 4

Dia dijemput pulang...

Salam untuk semua...


Tanggal 22 Mac 2016 bersamaan 13 Jamadilakhir 1437 Hijrah, insan yang kupanggil emak, telah kembali mengadap penciptanya. Aku tidak sempat berada di sampingnya saat nafas akhir ditarik keluar Izrail. Berita pemergiannya kuterima saat dalam perjalanan pulang setelah menerima perkhabaran bahawa mak sedang nazak. Sesampai aku di kampung, aku hanya mampu menatap tubuh mak yang telah kaku. 
Setahun setengah yang lalu ayah pergi meninggalkan kami dan hari ini giliran emak pula yang pergi. 
Tuhanku, rahmatilah roh kedua-dua insan berjasa ini. Terangilah kubur mereka dengan nur rahmatmu, luaskanlah kubur mereka saujana mata memandang dan wangikanlah kubur mereka berdua dengan wangian dari syurga...

Terima kasih mak, untuk setiap titik air susumu yang mengalir dalam darahku. Tanpanya, aku tak mampu untuk hidup mengharungi cabaran kehidupan ini. Semoga dirimu serta arwah ayah tenang di sana...

Terima kasih kepada semua yang telah memberi pertolongan ketika menguruskan jenazah mak tempohari dan sudi datang bertahlil di rumah kami.

Budi baik kalian hanya Allah yang mampu membalasnya. 
Al-Fatihah buat mak dan ayahku...