Pages

Saturday, May 24

Sambutan Hari Guru Pahang 2014

Salam untuk semua...

Pelancaran Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2014 diadakan di Taman Tasik Raub. Majlis disempurnakan oleh Puan Hajah Rashidah binti Md Arif, Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang.

Sempena majlis pelancaran ini telah diadakan program senam seni. Dah berumur ni, banyaklah pergerakan yang teman tak dapat nak ikut.

Selain acara senam seni, turut juga diadakan ialah acara 'fun ride'. Teman tak menyertai acara ni...tak ada basikal.

Team memasak daerah Lipis yang disertai oleh Puan Saimah dan Puan Hapsah dari SMK Panglima Garang Abdul Samad telah berjaya mendapat tempat kedua, naib johanlah tu. Tahniah dan terima kasih kerana sudi mengambil bahagian.

Tahniah juga kepada team woodball...walaupun tak dapat johan atau naib johan, namun penyertaan kita dalam pertandingan ini adalah bukti sokongan kepada tuan rumah Hari Guru tahun ini.

Pertandingan golf di Kelab Golf Bentong...nampak ada penyertaan dari Lipis. Dalam gambar kelihatan En. Aziz, GPK Pentadbiran SMK Kuala Lanar je...En. Malik, Guru Besar SK Kuala Medang tak nampak pulak. Emm...mungkin tak menjadi sasaran jurukamera kut.

Pada 23 Mei telah diadakan Jamuan Makan Malam Simfoni Kasih di Dewan Jubli Perak Raub. Tetamu kehormat pada malam ini ialah YB Dato' Abd Aziz bin Haji Mat Kiram, ADUN Batu Talam.

Bergambar dengan sahabat teman Haji Mie, Penolong PPD Pengurusan Sekolah Menengah Rompin. Terima kasih Raub...makanan sedap, layanan istimewa.

24 Mei...hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2014 di Dewan SM Sains Tengku Abdullah, Raub. Setiap daerah menghantar 40 orang peserta yang terdiri daripada Pengawai PPD, Pengetua, Guru Besar, guru senior dan guru muda. Terima kasih kepada semua yang hadir, especially dari Lipis.

Sebelum masuk ke dalam dewan, sempat jugalah teman meronda-ronda melihat pameran.

Bersama sahabat teman Tuan Haji Basri, Penolong PPD Pengurusan Sekolah Menengah Jerantut.

Dato' Haji Shahiruddin bin Ab. Moin, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang (ADUN Dong) mewakili Dato' Seri Diraja Haji Adnan bin Yaakob, Menteri Besar Pahang diarak masuk untuk menyempurnakan majlis perasmian.

Tokoh Guru negeri Pahang 2014, Dato' Yahya Zainal Abidin, mantan Pengarah Pendidikan Pahang.

Tahniah kepada daerah Raub di atas penganjuran yang cemerlang. Walaupun terdapat beberapa kesilapan teknikal namun tidaklah sampai mencacatkan acara yang berlangsung. Teringat teman tahun 2012 sewaktu Lipis menjadi tuan rumah, segala-galanya nampak sempurna sehinggalah berlaku kesilapan memberi hadiah di saat majlis hampir berakhir. Tak guna menyalahkan sesiapa...yang penting post mortem perlu dibuat mengapa kesilapan itu berlaku. Apabila punca diketahui, maka dapatlah kita lebih berhati-hati pada masa hadapan. Tahun depan giliran daerah Bentong pula menjadi tuan rumah.


Mesyuarat Pengurusan Pendidikan Daerah Lipis

Salam untuk semua...

21 hingga 23 Mei 2014 yang lalu, teman telah dipertanggungjawabkan mengurus mesyuarat Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah daerah Lipis. Mesyuarat tersebut diadakan di Hotel Grand Continental Kuala Lumpur.

Tuan PPD menyampaikan cenderamata kepada Tuan Haji Zaberi, Ketua Penolong Pengarah Sektor Jaminan Kualiti, Jabatan Pelajaran Pahang setelah beliau menyampaikan taklimat berkaitan SKPM dan GROW. 

Tuan PPD sedang mengalu-ngalukan kehadiran Puan Hajah Rashidah binti Md Arif, Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang. Terima kasih Puan Timbalan kerana sudi hadir ke mesyuarat ini.

Taklimat oleh Encik Amiruddin bin Sahudi, Yang DiPertua PIBG SK Setiawangsa. PIBG sekolah ini telah menerima Anugerah PIBG Cemerlang peringkat Kebangsaan. Emm...kalau semua YDP sekolah-sekolah di daerah Lipis boleh mencontohi beliau pastinya PIBG benar-benar dapat berperanan sebagai rakan kongsi yang sama-sama berganding bahu bagi meningkatkan kecemerlangan sekolah.

Selepas sehari suntuk berada di dewan mesyuarat, tibalah masanya untuk melegakan ketegangan. Bermain bowling di Ampang Superbowl, Berjaya Times Square. 

Tak berapa menjadi malam ni, teman hanya dapat sekali je strike. Tuan Haji Azizan, Pengetua Kolej Vokasional SHAS Kuala Lipis nampak hebat...banyak strike dapat.

Slot terakhir sebelum bertolak pulang ke Kuala Lipis. Tuan Haji Misnan bin Haji Mohd Damin, Pegawai Pendidikan Daerah Lipis menyampaikan amanat dan halatuju pendidikan daerah Lipis. Teman harap mesyuarat selama 3 hari 2 malam ini dapat memberi manfaat kepada semua Pengetua dan Guru Besar yang hadir. Sebarang kecacatan serta kekurangan sepanjang bermesyuarat di sini, teman memohon ribuan ampun dan maaf.

Terima kasih kepada Dr. Ting kerana sudi menyampaikan taklimat dan Puan Rosimawati di atas pertolongan menguruskan kehadiran Encik Amiruddin ke mesyuarat ini. Terima kasih juga buat rakan-rakan organisasi yang turut membantu, Tuan Haji Zulfakhri, Puan Zarina Manja, Encik Shahrom, En. Shahwaluddin, Encik Ahmad Daniar dan Encik Hairul Nizam.

Selamat bersara Mr. Ong dan Datin Hajah Normahiyah

Pada 19 Mei yang lalu teman dijemput menghadiri mesyuarat MPSM daerah Lipis yang diadakan di Hotel Centrepoint Kuala Lipis.

Teman sampai lewat sikit sebab menghadiri Sambutan Hari Guru peringkat PPD Lipis.

Selepas mesyuarat telah diadakan majlis meraikan persaraan Datin Hajah Normahiyah (mantan Pengetua SMK Seri Lipis) dan Encik Ong Chye Beng (mantan Pengetua SMK Chung Hwa). Tuan Haji Misnan, Pegawai Pendidikan Daerah Lipis turut dijemput untuk majlis ini. 

Tuan PPD menyampaikan hadiah persaraan kepada Datin Hajah Normahiyah.

Kepada Encik Ong Chye Beng dan Datin Hajah Normahiyah, selamat menempuhi alam persaraan. Beg besar tu...bolehlah pergi melancong keluar negara.

Friday, May 16

Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2014

Tarikh : 15 Mei 2014 (Khamis)
Acara : Senamrobik
Lokasi : Padang SM Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur

Acara senamrobik di SM Sains Seri Puteri, Kuala Lumpur. Turut sama Timbalan Pengarah Pendidikan Pahang, Puan Hajah Rashidah binti Md. Arif.

Bersama sahabat-sahabat dari Lipis, Encik Aminullah (GPK Kokurikulum SMK Kerambit), Encik Jasmawari (Guru Besar SK Jeram Landak) dan Encik Hamdan (Penyelaras Sekolah Model Khas K9 SK Betau).

Tarikh : 15 Mei 2014 (Khamis)
Acara : Pameran Pendidikan
Lokasi : PWTC, Kuala Lumpur

Pintu masuk ke Pameran Pendidikan di PWTC

Booth Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. Tahniah kepada daerah Temerloh dan Pekan kerana turut terlibat menjayakan pameran ini.

Tarikh : 15 Mei 2014 (Khamis)
Acara : Forum Pendidikan
Lokasi : PWTC, Kuala Lumpur

Ahli panel yang terlibat petang ini ialah Dato' Seri Devamani, Datuk Norizan Bapoo dan Dr. Jessica Ong. Moderatornya pula ialah Syed Munawar (yang selalu keluar kat televisyen tu)

Selepas hampir dua jam mengikuti forum ini, apa yang dapat teman simpulkan daripada pendapat yang dilontarkan oleh ahli-ahli panel ialah guru-guru tidak dapat mencambahkan kreativiti mereka untuk mencipta inovasi disebabkan kekangan kerja-kerja perkeranian yang terpaksa mereka lakukan di sekolah. Emm...hari tu ada ura-ura KPM akan melantik Pembantu Guru Sambilan di sekolah-sekolah. Apa terjadi dengan perancangan itu ye?

Tarikh : 15 Mei 2014 (Khamis)
Acara : Malam Erti Budi
Lokasi : PWTC, Kuala Lumpur


Pertama kali dapat masuk dewan makan PWTC yang luas ini.

Jamuan makan malam yang sungguh ceria. Kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali benar-benar menjadikan majlis ini penuh bermakna. Persembahan yang disajikan juga amat menghiburkan. Wilayah Kuala Lumpur jadi tuan rumah, makanya banyaklah artis-artis terkenal mengambil bahagian.

Tarikh : 16 Mei 2014 (Jumaat)
Acara : Pelancaran Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2014
Lokasi : PWTC, Kuala Lumpur

Hari ini 16 Mei, teman ingin mengucapkan Selamat Hari Guru buat semua insan yang bergelar pendidik. Kepada rakan-rakan di PPD Lipis, semoga hari ini mampu mengembalikan nostalgia saat kita bertungkus-lumus mengajar di bilik darjah suatu ketika dahulu. Walaupun kini kita tidak lagi mengajar, namun darah guru tetap mengalir di dalam tubuh kita.

Berdiri menyambut ketibaan Tan Sri Muhyiddin Yasin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran.

Untuk kali ini, amat sukar untuk teman menahan air mata dari mengalir keluar. Saat Tan Sri Muhyiddin Yasin ditemukan dengan bekas guru beliau suatu ketika dahulu, rasa sebak segera menyelebungi isi dewan. Rasanya tiada yang tidak tersentuh dengan situasi ini. Syukur kepada Allah SWT kerana mewujudkan perasaan ini...semoga ianya mampu menyedarkan kita, betapa tugas yang sedang kita laksanakan ini bukanlah sebarangan tugas.

TAHNIAH kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di atas penganjuran yang cemerlang. TERIMA KASIH di atas layanan mesra yang telah dipamerkan.

RAUB, MU TUNGGU AKU DATANG

Monday, May 12

Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang 2014

Semalam (12 Mei), bertempat di Bilik Mesyuarat SM Sains Tengku Abdullah Raub telah berlangsung Mesyuarat JK Induk Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Pahang Bilangan 2/2014. Mesyuarat ini diadakan bagi mendengar laporan persediaan daerah Raub selaku tuan rumah sambutan kali ini. Mesyuarat ini juga bertujuan menyelaraskan beberapa perkara berkaitan penyertaan daerah-daerah dalam acara-acara yang akan diadakan sempena sambutan tersebut. Antara acara-acara yang bakal diadakan nanti ialah seperti berikut :

BIL
AKTIVITI
LOKASI
TARIKH / MASA
1
Pra Pelancaran Hari Guru Pahang
Senam Seni
Taman Tasik Raub
17 Mei 2014 (Sabtu)
7.30 Pagi
2
Jambori Berbasikal / Fun Ride
Taman Tasik Raub
17 Mei 2014 (Ahad)
9.00 Pagi
3
Pertandingan Memancing
Kolam Memancing Kampung Kundang Patah, Raub
18 Mei 2014 (Ahad)
9.00 am – 1.00 pm
4
Derma Darah & Pemeriksaan Kesihatan
SJKC Chung Ching
18 Mei 2014
8.00 am – 2.00 pm
5
Ziarah Prihatin
Pesara Guru, Guru Pencen & Waris Guru
20 – 22 Mei 2014
(Selasa – Khamis)
6
Pertandingan Memasak
PPD Raub
22 Mei 2014 (Khamis)
2.00 pm – 5.00 pm
7
Bacaan Yaasin, Solat Hajat dan Tahlil
Masjid Sultan Abu Bakar Raub
22 Mei 2014 (Khamis)
7.00 pm – 9.00 pm
8
Forum Pendidikan dan Dialog PPPM
SMK Gali
22 Mei 2014
2.00 pm – 5.00 pm
9
Pertandingan Woodball
SM Sains Tengku Abdullah Raub
23 Mei 2014 (Jumaat)
4.00 pm
10
Majlis Makan Malam Negeri
Dewan Jubli Perak Raub
23 Mei 2014 (Jumaat)
7.00 pm – 9.00 pm
11
Sambutan Perayaan Hari Guru
SM Sains Tengku Abdullah Raub
24 Mei 2014 (Sabtu)
8.00 am – 12.00 pm
12
Pameran Pendidikan
SM Sains Tengku Abdullah Raub
24 Mei 2014 (Sabtu)
8.00 am – 12.00 pm
13
Pertandingan Golf
Kelab Golf Bentong
25 Mei 2014 (Ahad)
8.00 am

Sunday, May 4

Tingkatan Enam (Prauniversiti)

Pada 28 hingga 30 April yang lalu, teman telah menghadiri Mesyuarat Pengurusan Tingkatan Enam di Capitol Hotel, Kuala Lumpur. Mesyuarat ini bertujuan untuk menyelaraskan beberapa perkara berkaitan pendaftaran pelajar Tingkatan Enam bagi sesi 2014/2015. Di daerah Lipis terdapat tiga buah sekolah yang menawarkan pengajian prauniversiti ini iaitu di SMK Clifford, SMK Seri Lipis dan SMK Kuala Lanar. Di SMK Clifford terdapat 2 jurusan iaitu Sains dan Kemanusiaan. Manakala di SMK Seri Lipis dan SMK Kuala Lanar hanya terdapat satu jurusan sahaja iaitu jurusan Kemanusiaan. Bagi pelajar SMA Al-Maidah Addiniah Padang Tengku yang ditawarkan jurusan Agama, mereka dikehendaki ke Pejabat Pendidikan Daerah Jerantut untuk ditempatkan di SMKA Tengku Ampuan Hajjah Afzan Pahang (TAHAP) Jerantut. 

Berikut adalah SOP (standard operating procedure) berkaitan penempatan dan pertukaran pelajar Tingkatan 6.

A. PENEMPATAN
Semua pelajar mesti melapor diri pada 5 Mei 2014 (Isnin) di sekolah yang telah ditetapkan di dalam surat tawaran. Bagi pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri, MRSM dan SM Vokasional yang berjaya ke Tingkatan 6 tetapi tiada nama sekolah dinyatakan dalam surat tawaran dikehendaki datang ke Pejabat Pendidikan Daerah untuk dibuat penempatan.

B. RAYUAN
Bagi pelajar-pelajar yang tidak berjaya kerana jumlah mata gred bagi 3 mata pelajaran terbaik (mengikut kumpulan subjek yang ditetapkan) melebihi 12 (Kemanusiaan) dan 18 (Sains) boleh membuat rayuan secara online atau mengisi borang manual di PPD. Walau bagaimanapun pelajar tersebut mestilah mendapat sekurang-kurangnya 3 kepujian termasuk Bahasa Melayu dan lulus Sejarah. Keutamaan akan diberi bagi pelajar yang menunjukkan kecemerlangan dalam kokurikulum.

C. PERTUKARAN SEKOLAH
1. Pertukaran antara negeri dan daerah
Pelajar dikehendaki pergi ke sekolah yang ditetapkan di dalam surat tawaran dan isi borang bertukar sekolah (P.U(A)275). Borang yang sudah siap diisi itu hendaklah dibawa sendiri ke PPD berkenaan. Seandainya pelajar tersebut sudah berpindah sebelum keputusan dikeluarkan dan menjadi satu kesulitan untuk datang semula ke negeri atau daerah asal, memadailah dengan membawa surat tawaran Tingkatan 6 ke PPD berkenaan.

2. Pertukaran dalam daerah
Pertukaran dalam daerah hanya akan dipertimbangkan selepas tarikh pendaftaran. Ini bermaksud, semua pelajar mesti mendaftar diri di sekolah yang ditetapkan dan mengisi borang pertukaran (P.U(A)275). Perlu diingatkan bahawa pelajar mesti terus berada di sekolah tersebut sehinggalah keputusan pertukaran diketahui. Keputusan samada lulus atau tidak akan diputuskan dalam Mesyuarat Panel yang akan diadakan dua minggu selepas tarikh pendaftaran. Hanya alasan-alasan yang munasabah sahaja akan diberi pertimbangan.

D. MENOLAK MATRIKULASI
Pelajar-pelajar yang menolak ke Matrikulasi dan ingin memohon ke Tingkatan 6 dikehendaki mengisi Borang T6BRU (yang boleh didapati di PPD).

E. PERTUKARAN JURUSAN
Pertukaran jurusan boleh dibuat di sekolah dengan sokongan Pengetua.

Jika ada apa-apa kemusykilan berkaitan Tingkatan 6 bolehlah menelefon atau datang ke PPD Lipis.