Pages

Saturday, November 24

Malam Kenangan Terindah

Malam semalam bertempat di Lipis Centrepoint Hotel, kelab Staf PPD Lipis telah menganjurkan majlis bagi meraikan En. Abidin Noh yang bersara wajib mulai semalam pada usia 56 tahun. En. Abidin merupakan staf yang paling lama berkhidmat di PPD Lipis iaitu mulai Jun 1978.

Majlis ini juga diadakan bagi meraikan En. Shamsudin Basir yang dinaikkan pangkat menjadi Guru Besar di SK Chemomoi, En. R Azmi yang bertukar ke SK Berchang, En. Azizan Adenan yang bertukar ke SK Jabor dan Pn Nurul Ain Rasul yang bertukar mengikut suami ke Selangor. Walau bagaimana pun En. R Azmi dan Nurul Ain tidak dapat hadir kerana sebab-sebab tertentu. En. R Azmi seperti semua maklum, malam semalam berlangsung upacara akad nikah beliau dengan gadis pilihan di Kampung Pagar Sasak.

Ingat nak candid deme ni tengah menyuap makanan. Bila nampak teman nak snap mula la posing ayu. Emm, tak tercapai misi teman.

Mende yang kelakar sangat tu abang Hus. Cerita Kopi Jantan ke? Kabornya kat PPD dah ada stockist kopi tu. Mudah la mendapatkan bekalan nanti.

En. Abidin bin Noh mula bertugas dalam Perkhidmatan Awam pada 1 April 1978 sebagai tukang cuci di SMK Orang Kaya Haji (waktu itu dikenali sebagai SEMARAK). Pada 19 Jun 1978 beliau bertukar ke Pejabat Pelajaran Daerah sebagai Pelayan Pejabat. Pada 16 Disember 1997 dinaikkan pangkat Pembantu Tadbir Rendah dan pada 3 Jun 2009 dinaikkan pangkat sekali lagi sebagai Pembantu Tadbir N17.

Romantisnya...dalam kesamaran cahaya lilin bertemankan isteri tercinta, En Abidin diberi kejutan kek hari jadi beliau yang ke-56. Selamat hari jadi abang Bidin. Semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki.

Tuan Haji Misnan bin Haji Mohd Damin, Pegawai Pelajaran Daerah menyampaikan hadiah Kelab Staf kepada En. Abidin Noh.

Steady abang Bidin nie...boleh gak nyanyi karaoke. Hak sorang tu, jangan citer la. berbakat besar tu. Kalau dia nyanyi lagu 'Biar Bulan Bicara' mau berdiri bulu kaki. Teman respect kat Ustaz Mail, sporting habis...dua buah lagu D'lloyd beliau sampaikan.

 Semoga majlis yang diadakan pada malam semalam menjadi Kenangan Terindah buat kita  semua.

Kepada abang Bidin, selamat menempuhi alam persaraan. Semoga masa-masa terluang selepas ini dapat digunakan sebaik mungkin. Kalau teringin nak makan roti canai double contact la Ustaz Mail dan Abang Jab. Kepada En. Shamsudin, semoga tanggungjawab yang diamanahkan kepada tuan dapat dilaksanakan dengan penuh komitmen dan keikhlasan. Buat R. Azmi, Azizan dan Nurul Ain, selamat bertugas di tempat yang baharu. Tahniah dan terima kasih kepada Pengerusi dan AJK Kelab Staf PPD Lipis di atas penganjuran majlis yang penuh bermakna ini. Kejayaan sesebuah organisasi ialah apabila semua pendukungnya memberi kerjasama dan ketaatan yang tidak berbelah bagi.

Dari KL ke Rompin

Pada 19 November 2012 saya telah menggantikan Tuan PPD ke Syarahan Perdana Intergriti dengan tema 'Judicial System and Rule of Law' yang diadakan di Institut Intergriti Malaysia, Kuala Lumpur. Syarahan disampaikan oleh YAA Tun Arifin bin Zakaria, Ketua Hakim Negara. Sebelum itu telah berlangsung forum yang bertajuk 'Kedaulatan Undang-Undang dan Kebebasan Institusi Kehakiman'. Ahli panel forum terdiri daripada YBhg. Profesor Emeritus Datuk Dr. Shad Saleem Faruqi, Profesor Kanan Undang-Undang UITM  dan YBrs. Ragunath Kasavan, mantan Presiden Badan Peguam Malaysia. Turut hadir dalam program ini ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi, mantan Perdana Menteri Malaysia yang ke-5.

Program yang bermula dari jam 9.30 pagi hingga 12.45 tengah hari ini, keseluruhannya dalam Bahasa Inggeris. Walaupun teman taklah mahir sangat BI nie, namun dapatlah juga teman faham maksud yang hendak disampaikan oleh ahli panel dan Ketua Hakim Negara itu. Teman tertarik dengan hujah YBrs. Ragunath Kasavan bahawa  peristiwa pemecatan Tun Mohamad Saleh Abas (mantan Ketua Hakim Negara) pada tahun 1988 oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4 merupakan titik hitam perundangan negara. Dr. Mahathir dilihat cuba mencampuri bidang kehakiman negara yang sepatutnya bebas daripada gangguan politik. Kepada anda semua, bacalah buku 'A Doctor in The House' atau ' Doktor Umum' untuk mengetahui penjelasan Dr. Mahathir tentang peristiwa itu. Elok juga jika kita mendengar dari kedua-dua pihak.

Dari Kuala Lumpur saya terus ke Rompin Beach Resort untuk Mesyuarat Sektor Pengurusan Sekolah. Katanya inilah julung-julung kalinya semua unit yang bernaung di bawah SPS dikumpulkan untuk bermesyuarat sekali. Alhamdulillah...dalam pelaporan setiap unit itu banyaklah imput baru yang teman perolehi untuk dijadikan panduan dalam melaksanakan tugas-tugas di PPD. Mesyuarat ini dipengerusikan oleh YBrs. Encik Wan Abdul Hamid Wan Mohamad, Ketua Sektor SPS dan Dr. Haji Tajuddin Mohd Yunus, Ketua Penolong Pengarah SPS.

Dalam duk sibuk bermesyuarat tu, sempat juga la kome melepas gian bermain woodball. Dah lama tak main, makanya banyaklah bola yang obe (terkeluar). Tabik kat tuan Ketua Sektor...nampaknya petang nie milik beliau. Ada gate tertentu hanya dua pukulan sahaja, terus masuk. Emm...teman seperti biasa la, tahap sederhana.

Wednesday, November 14

I think we need to change

Selepas membaca beberapa komen di dalam laman sosial FB, saya terpanggil untuk memperjelaskan satu perkara yang sememangnya menjadi amalan Unit Pengurusan Sekolah. Komen yang menarik perhatian saya untuk diulas di sini ialah berkaitan penggunaan Short Message Service (SMS) dalam menyampaikan info serta arahan kepada pihak sekolah. Bunyi komen itu, seolah-olah tidak berpuashati dengan arahan yang disampaikan melalui kaedah tersebut. SMS dihantar kepada pihak sekolah melalui dua cara, iaitu menerusi telefon bimbit pegawai berkenaan dan Infoblast. Ulasan tentang perkara ini akan saya lakukan dengan merujuk kepada pelaksanaan eDaftar Menengah kerana pada minggu terakhir persekolahan baru-baru ini tak kurang lima message telah saya hantar kepada Pengetua, Guru Besar dan Guru Penolong Kanan.

1. Pendaftaran eDaftar Menengah 
Taklimat berkaitan pengisian data eDaftar Menengah telah diberi kepada semua GPK HEM sebulan lebih awal oleh En. Khairul Azli, Pegawai ICT PPD Lipis. Seminggu sebelum tarikh tutup, saya telah memberi taklimat kepada Guru Besar di Regency Hotel sempena Mesyuarat Pengurusan Bil.3/2012 pada 16 Oktober 2012. Pada 29 Oktober saya dapati tiada perubahan kepada eDaftar Menengah tersebut, maka saya telah menghantar SMS kepada GB, GPK HEM dan Guru Kelas Tahun 6 menerusi Infoblast memohon mereka mengambil tindakan segera. Alhamdulillah menjelang 31 November hanya tinggal 5 sekolah lagi tidak menyiapkan pendaftaran tersebut. Saya terpaksa menghantar SMS menggunakan telefon bimbit saya kepada kelima-lima GB sekolah berkenaan agar segera menyelesaikan pendaftaran tersebut kerana pada 1 Nov 2012 saya akan bermesyuarat di Radius Hotel, Bukit Bintang untuk meluluskan penempatan Tingkatan 1. 

2. Mencetak Surat Penempatan Tingkatan 1 
Pada 5 November 2012 (Isnin) saya terpaksa ke Crystal Crown Hotel untuk Mesyuarat Verifikasi Data Opmen. Pagi itu saya sempat masuk pejabat sekejap, peluang itu saya ambil dengan menghantar SMS menerusi infoblast kepada GB dan GPK HEM untuk memaklumkan kepada Guru Kelas Tahun 6 supaya mencetak Surat Penempatan Tingkatan 1 dan didiedarkan kepada murid-murid. Pada 6 November 2012, ketika berada di Crystal Crown Hotel, semua PPPDM menerima surat daripada Unit Menengah JPN untuk disampaikan kepada sekolah-sekolah bagi memaklumkan arahan mencetak dan mengedarkan Surat Penempatan ke Tingkatan 1. Di dalam surat penempatan itu dinyatakan bahawa murid berkenaan dikehendaki membuat pengesahan pendaftaran di sekolah menengah pada 10 November 2012 (Sabtu). Memandangkan saya hanya akan berada di pejabat pada 8 November (Khamis), maka saya bimbang tidak sempat untuk menyampaikan surat JPN tersebut kepada sekolah. Oleh itu, pada 8 November 2012 (Rabu) saya telah menghantar SMS menggunakan telefon bimbit kepada semua Guru Besar meminta mereka mencetak dan mengedarkan surat penempatan Tingkatan 1 sebelum 10 Nov 2012. 

3. Pengesahan Penempatan Tingkatan 1 
Pada 6 November 2012 (Selasa) ketika berada di Crystal Crown Hotel itu juga kami menerima surat daripada Unit Menengah JPN untuk dipanjangkan kepada semua sekolah menengah bagi memaklumkan bahawa sekolah menengah diminta membuat pengesahan penempatan pada 10 November 2012. Oleh kerana masa yang singkat, maka saya telah menghantar SMS menggunakan telefon bimbit saya kepada semua Pengetua, GPK Pentadbiran dan GPK HEM berkenaan perkara tersebut. Balik daripada mesyuarat di Crystal Crown itu saya terus membuat salinan surat tersebut dan dimasukkan ke dalam pigeon hole semua sekolah menengah.
.
Infoblast adalah kemudahan terkini penghantaran SMS melalui internet ke telefon bimbit penerima

Rumusan 
Penggunaan SMS dalam menyampaikan info atau arahan bukanlah bermaksud kaedah rasmi yang digunakan sebelum ini ditinggalkan. Penggunaan surat-menyurat dalam menyampaikan maklumat dan arahan tetap digunakan. Namun dalam kes yang saya fokuskan ini, masa menjadi penentu segalanya. Memandangkan daerah Lipis ini luas dan penghantaran surat melalui pos sekurang-kurangnya akan mengambil masa tiga hari, maka saya memutuskan untuk menggunakan SMS untuk menyampaikan semua arahan berkaitan eDaftar Menengah. Penggunaan SMS di sini semata-mata untuk memastikan bahawa sekolah mendapat info dan arahan tersebut dengan cepat dan tindakan segera boleh dibuat. Ada orang bertanya, apa akan jadi jika penerima SMS tersebut ‘buat dek je’. Beliau boleh memberi alasan tidak menerima SMS dan kita pula tidak boleh membuktikan bahawa beliau menerima SMS kita. Beginilah, dalam kes eDaftar Menengah ini, saya telah menghantar SMS kepada 4 orang di sekolah iaitu GB, GPK Pentadbiran, GPK HEM dan Guru Kelas Tahun 6. Dalam empat orang ini, takkan seorang pun tak dapat? Saya lakukan semua ini bagi memastikan segala-galanya berjalan lancar dan pihak sekolah perlu ingat, apa yang kita lakukan ini adalah demi anak-anak murid kita. Jika kita tidak mengambil tindakan sepatutnya, masalah yang timbul akan ditanggung oleh anak-anak murid kita juga. Sama ada arahan tersebut melalui kaedah rasmi atau tidak rasmi tetapi jika matlamatnya adalah untuk kebaikan, apa salahnya kita buat. Jika kurang maklumat, sukar untuk melaksanakan arahan tersebut, telefon sahaja saya atau pegawai yang berkaitan. Konsepnya mudah sahaja, jangan menyulitkan perkara yang mudah. Saya rasa sudah tiba masanya the latest technology of communication  diterima pakai sebagai wadah perhubungan antara PPD dan pihak sekolah. I think we need to change.

Friday, November 9

Perhimpunan Guru Muda 1Malaysia Zon Timur 2012

 Pada 8 November 2012 (Khamis) telah berlangsung Himpunan Guru Muda 1Malaysia Zon Timur yang telah diadakan di SMK Padang Enggang, Kota Bharu Kelantan. Seramai 30 orang guru muda (berumur 30 tahun ke bawah) telah dipilih mewakili daerah Lipis ke perhimpunan tersebut. Teman terpaksa menjadi ketua kontinjennya. Kalau nak diikutkan, memang terasa letih betul sebab teman baru sahaja sampai dari Kuala Lumpur kerana menghadiri Mesyuarat Verifikasi Data Opmen di Crystal Crown Hotel. Namun nak buat macam mana hujung-hujung tahun ni semua pegawai sibuk. Kenalah teman berkorban sikit. Kami  bertolak pada pukul 11.15 malam, 7 November 2012 dengan menaiki bas SMK Clifford.  Ingat dalam bas dapatlah teman mereloh, rupa-rupanya abang driver kita kuat borok pula. Emm...sedar tak sedar dah sampai rupanya. Sampai di Kota Bharu sekitar jam 4.30 pagi kami terus ke Masjid Kubang Kerian untuk mandi dan solat.

Selesai solat subuh, kami bergerak ke SMK Padang Enggang. Dalam perjalanan kami singgah di Restoran Kak Nah, Jalan Pasir Hor untuk bersarapan pagi. Walaupun mengikut programnya, sarapan pagi disediakan di tapak perhimpunan, namun risau juga kalau berharap sangat, takut-takut tak ada. kelaparan pula kome nanti. Emm...sedap pulak nasi dagang kak Nah nie. Aroma kari ikan tongkolnya sudah semerbak hingga keluar restoran.

SMK Padang Enggang baru setahun dibuka. Patutlah teman cari dalam Google Map tak jumpa-jumpa. Tanya orang Kelantan pun tak tahu. Abang pilot kita pula, dua-dua tak biasa datang KB. Hai...nasib baiklah dalam rombongan guru-guru muda Lipis ni ada seorang yang berasal dari kawasan itu. Dialah yang jadi GPS kami.

Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia bergerak masuk ke khemah utama. Turut hadir dalam majlis ini ialah Dato' Sri Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia dan Dato' Mazlan, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian. Ucapan Tan Sri Haji Muhyiddin yang menarik ialah ketika beliau menyentuh tentang isu pertukaran. 'Seramai 2890 orang guru ingin mohon bertukar ke Kelantan sedangkan hanya 180 sahaja yang mohon untuk keluar. Orang kata Kementerian tak perihatin dengan permintaan guru-guru. Tolong beri nasihat kepada Menteri Pelajaran, macam mana hendak mengatasi masalah ini. Kalau siapa dapat saya nak bagi seribu'

Beramai-ramai menyanyikan lagu 'Satu Malaysia'. Semoga semangat yang ditunjukkan oleh guru muda dalam perhimpunan ini akan berterusan ke bilik darjah masing-masing. Sesungguhnya cabaran pendidikan masa depan adalah lebih besar dan lebih menuntut pengorbanan dari insan yang bernama 'guru'. Selamat berjuang adik-adikku.

Sempena program GM1M ini, berbagai acara diadakan. Acara-acara tersebut ialah acara berbentuk permainan dan pameran. Aduhai...syahdu betul mendengar kemerduan suara tukang karut dikir barat. Lama dah teman tak dengor dikir barat ni.

Surat khabar free untuk semua orang, Utusan Malaysia dan Sinar Harian.

Terima kasih kepada semua guru muda Lipis yang telah menyertai perhimpunan tersebut. Malangnya ada beberapa orang guru yang disenaraikan untuk turut serta dalam perhimpunan itu tidak menghadirkan diri di saat bas akan bertolak. Sepatutnya kalau tak dapat pergi, maklumlah kepada pihak PPD, boleh kita tukar orang lain. Emm...tak taulah teman nak kabor apa dalam situasi ini. Fikir-fikirlah wahai guru muda...
Terima kasih juga buat En. Nazar dan En. Hamid pemandu bas kita yang bersengkang mata memandu sehingga sampai ke destinasi yang dituju.

Monday, November 5

Pengesahan Pendaftaran Tingkatan 1


Salam tuan/puan, tahun ini buat pertama kali kita akan melaksanakan penempatan murid Tahun 6 ke Tingkatan 1 secara atas talian. Oleh itu, berbagai kesulitan dijangka akan timbul, namun saya percaya kita dapat mengatasinya. 

Antara perubahan ketara yang berlaku ialah : 
1. Surat Penempatan ke Tingkatan 1 akan dicetak oleh sekolah rendah. 
2. Pengesahan pendaftaran akan dibuat oleh sekolah menengah secara atas talian. 
3. Proses rayuan juga akan dibuat secara atas talian

Jabatan Pelajaran Pahang telah menetapkan tarikh pengesahan pendaftaran ke Tingkatan 1 ialah pada 10 November 2012 (Sabtu). Murid-murid Tahun 6 akan menerima surat penempatan ke Tingkatan 1 yang mengarahkan mereka membuat pengesahan pada 10 November 2012 ke sekolah yang telah ditetapkan. Apabila murid-murid ini sampai ke sekolah menengah pada 10 November itu, sekolah menengah dikehendaki mengesahkan pendaftaran mereka secara online. 

Panduan untuk pengesahan : 
1. Login APDM 
2. Klik menu Permohonan 
3. Klik e-Daftar Menengah 
4. Pilih sekolah rendah murid tersebut (Senarai nama murid akan dipaparkan)
5. Di bahagian tepi ada butang 'Pengesahan' dan 'Rayuan'.  Klik butang 'pengesahan' jika  
    pelajar tersebut ingin membuat pengesahan. Jika pelajar itu tidak bersetuju dengan 
    sekolah tersebut dan ingin menukar sekolah klik butang 'rayuan'.

 Pada 10 November 2012 inilah seeloknya pihak Sekolah Menengah mengambil kesempatan untuk mengedarkan senarai keperluan pengajian 2013, borang permohonan asrama dan lain-lain yang berkaitan.

Rayuan Penempatan :
Bagi pelajar yang tidak bersetuju dengan penempatan sekolah menengah yang telah diluluskan itu, mereka hendaklah membuat rayuan secara atas talian juga. Caranya ialah, pada 10 November 2012 ini, mereka hendaklah pergi ke sekolah menengah yang telah ditetapkan itu (seperti tercatat dalam surat), kemudian maklumkan kepada guru yang bertugas bahawa mereka ingin membuat rayuan.

Pertukaran Pelajar :
1. Pelajar yang ingin menukar sekolah dalam daerah dikehendaki membuat rayuan secara online (telah diterangkan di atas).
2. Pelajar yang ingin bertukar antara daerah dan negeri, pihak sekolah menengah dikehendaki menyediakan borang pertukaran (Jadual Ketiga) kepada pelajar-pelajar berkenaan. Pelajar-pelajar tersebut kemudiannya membawa borang pertukaran tersebut ke Pejabat Pelajaran Daerah di mana mereka ingin bertukar.

SEMOGA TAHUN DEPAN KITA AKAN LEBIH MANTAP