Pages

Thursday, May 28

Mesyuarat Pengurusan PPD Lipis 2009


Mesyuarat Pengurusan Pengetua dan Guru Besar Daerah Lipis kali kedua telah diadakan pada 26 hingga 28 Mei 2009, bertempat di Hotel Brisdale Kuala Lumpur. Mesyuarat ini bertujuan memberi maklumat-maklumat terkini kepada Pengetua dan Guru Besar dalam melaksanakan peranan mereka sebagai ketua dan pemimpin sekolah. Dua orang penceramah luar telah dijemput iaitu En. Mazzam b. Bakar dari Kementerian Pelajaran Malaysia dan En. Wan Abdullah dari Jemaah Nazir Raub.
Puan Samsiah binti Suradin, Pegawai Pelajaran Daerah Lipis, turut hadir bagi menyempurnakan majlis penutupan mesyuarat. Dalam ucapan penutup, beliau menekankan peri pentingnya semua pengetua dan guru besar kembali segar dan ghairah dalam melaksanakan tugas masing-masing. Pengetua dan guru besar yang sudah hampir bersara tidak boleh hilang semangat dan hanya menjadi "kayu mati" yang menunggu tarikh bersara sahaja. Motivasi diri perlu dipertingkatkan agar dapat mempengaruhi guru-guru agar lebih bersemangat dan penuh ghairah untuk mendidik anak murid.

Lawatan YB Dr. Fuad Zakashi ke SK Titom

Pada 6 Mei 2009, YB Dr Fuad Zakashi, Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia telah mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah orang asli daerah Lipis. Antara sekolah yang dilawati beliau ialah SK Betau, SK Lenjang dan SK Titom. Lawatan tersebut untuk melihat dengan lebih dekat proses pengajaran dan pembelajaran serta keperluan fizikal sekolah-sekolah orang asli. Dr. Fuad dan isteri telah bermalam di asrama SK Titom. Dr. Fuad berkesempatan bertemu dengan masyarakat orang asli Titom bagi menyampaikan hasrat beliau agar masyaakat orang asli memberi keutamaan kepada pendidikan anak-anak mereka. Saya bersama En. Abdul Manaf (Pegawai HEM PPD Lipis) dan En. Idzhar (Pembantu Tadbir) masuk awal 2 hari ke SK Titom. Tujuan kami ialah untuk menyelia persiapan sekolah dalam menyambut rombongan Timbalan Menteri nanti.

Perjalanan ke SK Titom dengan kenderaan pacuan 4 roda memang mencabar. Jalan tanah merah yang berdebu dan bukit yang agak tinggi memang memeritkan. Semua orang mengeluh sakit pinggang bila sampai di SK Titom.

Saya dan En. Abd Manaf (Pegawai HEM) terpaksa makan nasi dengan sardin sahaja. Tak apalah, asalkan tidak kebulur

Pertandingan Kompang

Pada 30 April 2009 Daerah Lipis telah menjadi tuan rumah Pertandingan Kompang Peringkat Negeri Pahang. Pertandingan ini telah diadakan di Dewan Jubli Perak Kuala Lipis.